SHAH ALAM - Sumpah mubahalah yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kala menjelangnya prosiding rayuan akhir beliau pada Selasa merupakan salah satu hak kebebasan bersuara seorang individu walaupun ia tidak... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sumpah mubahalah yang dilakukan oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di kala menjelangnya prosiding rayuan akhir beliau pada Selasa merupakan salah satu hak kebebasan bersuara seorang individu walaupun ia tidak akan mempengaruhi sebarang keputusan mahkamah.

Penganalisis Keselamatan dan Politik, Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr Noor Nirwandy Mat Noordin berkata, Najib bebas melakukan apa sahaja sebagai individu walaupun perkara itu tidak akan mengubah apa-apa bentuk sistem penghakiman yang telah disabitkan.

"Beliau mempunyai hak dan kebebasan bersuara tetapi negara ini juga tertakluk kepada sistem kehakiman yang harus kita hormati. Kita juga harus yakin dengan sistem perundangan yang telus dan jelas.

"Mungkin dengan mengangkat sumpah, akan ada kemungkinan yang wujud seperti perbicaraan semula atau menerima bukti-bukti baharu. Ini adalah kuasa mutlak budi bicara sistem pengakiman yang kita perlu pelihara dan percayai,” katanya kepada Sinar Premium pada Isnin.

Pada malam Ahad, Najib melafazkan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah di masjid berkenaan.

Di dalam sumpah itu, Najib menafikan pembabitan beliau di dalam kes SRC International Sdn Bhd (SRC) dan dana RM42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak sehingga kini.

Beliau juga mendakwa tidak mengarahkan mana-mana anggota atau pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akuan bank untuk apa-apa tujuan.

Mahkamah Persekutuan pada bila-bila masa bakal membuat ketetapan berhubung rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan, hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC.

Sebelum ini, dua permohonan dikemukakan pasukan pembelaan Najib pada Isnin dan Selasa lalu di hadapan panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat.

Permohonan pertama melibatkan cubaan Najib mengemukakan bukti baharu bagi mengaitkan latar belakang pembabitan bekas Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali dengan SRC.

Permohonan kedua pula adalah usaha pasukan pembelaan Najib untuk menangguhkan rayuan utama kes SRC bagi tempoh antara tiga hingga empat bulan atas alasan membuat persediaan kerana pasukan pembelaannya baharu dilantik.

Kedua-dua permohonan itu bagaimanapun ditolak oleh panel lima hakim yang bersidang.

TIDAK MALU

Ahli Parlimen Pekan itu menerusi hantaran di Facebook pada Khamis mengakui tidak malu untuk menyatakan dirinya benar-benar terdesak kerana tidak dapat mempertahankan diri dengan adil selepas permintaan peguam belanya, Hisyam Teh Poh Teik untuk mengecualikan diri ditolak Mahkamah Persekutuan.

Noor Nirwandy menambah, sebagai rakyat Malaysia, masyarakat tidak perlu mempersoalkan sistem kehakiman negara.

Pada malam Ahad, Najib Razak melakukan sumpah mubahalah di Masjid Kampung Baru selepas selesai solat hajat dan doa munajat bersama jemaah di masjid berkenaan.

"Kita perlu menghormati kedua-dua pihak dan cuba untuk tidak terlibat dengan mana-mana permainan persepsi atau propaganda politik untuk melaga-lagakan mantan Perdana Menteri dan institusi kehakiman negara.

"Isu politik dan kehakiman suatu benda yang berbeza. Kita tidak tahu apa sebenarnya yang terjadi dan meletakkan kepercayaan untuk membiarkan sistem kehakiman negara ini berjalan dengan baik,” katanya.

Dalam pada itu, penganalisis politik, Datuk Anbumani Balan pula berpandangan, sumpah mubahalah itu adalah cara terakhir Najib menuntut keadilan untuk membersihkan namanya dan keluarga.

FT MIC...Reporter to caption

"Sepertimana kita menghormati proses perjalanan mahkamah sebelum ini, beliau juga mempunyai pelbagai saluran untuk menyatakan pendirian serta pencerahannya di dalam kes ini.

"Itu hak beliau dan kita tidak boleh menafikannya. Apa yang pasti, apa jua keputusan mahkamah nanti semua pihak perlu menerimanya dengan baik,” katanya.

Selain itu, Anbumani Balan berkata, ini bukan kali pertama Najib membuat sumpah yang mana beliau juga pernah menafikan dakwaan mengenai penglibatannya berhubung pembunuhan seorang wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribuu pada Disember 2019 di masjid yang sama.

"Bersumpah ini merupakan satu tindakan yang berani kerana benar. Beliau tidak memiliki banyak pilihan lain ketika detik-detik terakhir di dalam kes SRC ini. Apakah persepsi dan penilaian rakyat ? Yang pasti itu terpulang kepada penilaian rakyat dalam kes ini,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca