SHAH ALAM - Sumpah mubahalah atau sumpah laknat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang menafikan penglibatannya dalam kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International sama sekali tidak akan mempengaruhi keputusan mahkamah.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Sumpah mubahalah atau sumpah laknat oleh Datuk Seri Najib Tun Razak yang menafikan penglibatannya dalam kes penyelewengan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International sama sekali tidak akan mempengaruhi keputusan mahkamah.

Pakar undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmod berkata, sumpah laknat tersebut adalah tidak relevan dan tidak terpakai di mahkamah sivil.

"Tentu sekali tidak kerana keterangan hanya akan terpakai di mahkamah sekiranya ia relevan, dan sumpah laknat oleh Najib adalah tidak relevan,” ujar Nik Ahmad Kamal kepada Sinar Premium pada Isnin.

Terdahulu pada Ahad, bekas Perdana Menteri keenam itu yang ditemani isteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan anak lelakinya, Nor Ashman telah melafazkan sumpah laknat di Masjid Kampung Baru menyatakan beliau tidak pernah mengetahui secara khusus atau sebaliknya bahawa dana bernilai RM42 juta itu datangnya daripada syarikat SRC secara langsung atau tidak, sehingga kini.

"Kedua, aku tidak pernah menerbitkan atau bersetuju untuk mewujudkan syarikat SRC untuk tujuan merangkumkan apa-apa dana bagi tujuan peribadi atau keluargaku.

"Ketiga, aku tidak pernah mengarahkan mana-mana anggota pengarah atau mana-mana pegawai SRC untuk menyelewengkan apa-apa dana syarikat SRC ke dalam akaun bank aku untuk apa-apa tujuan.

"Keempat, aku tidak pernah terlibat dalam mesyuarat Kabinet untuk meluluskan jaminan-jaminan kerajaan bagi pinjaman Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak RM4 billion kepada syarikat SRC bagi tujuan aku mendapatkan habuan haram sebanyak RM42 juta tersebut," kata Najib dalam lafaz sumpah itu.

NIK AHMAD KAMAL

Untuk rekod, ini bukan kali pertama Najib melafazkan sumpah laknat. Pada 2019, Najib pernah melafazkan sumpah bagi menafikan dakwaan pembabitannya dalam kes pembunuhan wanita Mongolia Altantuya Shaariibuu.

Pada 28 Julai 2020 pula, Najib melafazkan sumpah serupa berhubung kes SRC bagi menyatakan bahawa dia tidak tahu mengenai RM42 juta yang disalurkan ke akaunnya.

Beliau kemudiannya sekali lagi melafazkan sumpah laknat pada 8 Disember 2021 secara dalam talian bagi menyatakan tidak bersalah di atas tuduhan salah guna kuasa, pecah amanah dan pengubahan wang haram dana SRC International.

Dalam pada itu, Nik Ahmad Kamal turut menjelaskan bahawa sumpah laknat hanya diterima dalam kes-kes tertentu mahkamah Syariah misalnya dalam kes li'an iaitu kes suami yang menuduh isteri berzina tetapi tidak membawa empat orang saksi. Maka mahkamah akan meminta dia bersumpah laknat di mahkamah.

"Jika kita mengikuti kes ini, Najib telah memberi keterangan di mahkamah sama ada beliau tahu atau tidak wang SRC masuk ke akaun peribadinya.

"Itu saja keterangan yang relevan di Mahkamah Persekutuan sekarang. Jadi sumpah laknat di masjid semalam tiada kena mengena dengan kes beliau di mahkamah,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pekan itu kini dalam proses rayuan akhir di Mahkamah Persekutuan yang dijadual berlangsung pada Selasa bagi mengetepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta bagi kes penyelewengan dana SRC International.

Hukuman ditangguhkan sementara proses rayuan selesai.

Klik di sini untuk terus membaca