SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan kembali bersidang hari ini untuk mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengetepikan sabitan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Mahkamah Persekutuan kembali bersidang hari ini untuk mendengar rayuan terakhir Datuk Seri Najib Tun Razak bagi mengetepikan sabitan terhadapnya dalam kes penyelewengan dana RM42 juta milik Syarikat SRC International Sdn Bhd (SRC).

Sekiranya gagal dalam rayuan tersebut, Najib yang juga bekas Perdana Menteri Malaysia keenam itu bakal berdepan 12 tahun penjara dan denda RM210 juta.

Perkembangan yang berlaku dalam minggu pertama perbicaraan ternyata menimbulkan ketidakpastian terhadap kemungkinan bakal berlaku pada minggu terakhir prosiding rayuan berkenaan.

Perkara itu sekali gus meningkatkan lagi debaran dirasai oleh bukan sahaja seluruh rakyat Malaysia, malah masyarakat antarabangsa yang mengikuti rapat perbicaraan tersebut kerana ia adalah antara skandal terbesar pernah berlaku di dunia.

Jumaat lalu, peguam Najib, Hisyam Teh Poh Teik mengulangi pendiriannya kepada panel lima anggota Mahkamah Persekutuan yang diketuai Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat bahawa beliau tidak akan mengemukakan hujahan lisan untuk anak guamnya.

Tindakan tersebut diambil hanya sehari selepas beliau membuat permohonan kepada mahkamah untuk menarik diri daripada perbicaraan itu dengan alasan pihaknya perlu diberikan masa wajar bagi mengkaji dan melakukan persiapan sebelum mengemukakan hujahan rayuan.

Hakim bagaimanapun menolak permohonan Hisyam yang baru sahaja dilantik Najib, hanya tiga minggu sebelum perbicaraan akhir.

Susulan itu, mahkamah kemudian mengarahkan prosiding rayuan akhir itu dimulakan dengan hujahan daripada pihak pendakwaan (responden) yang diketuai Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk V Sithambaram dan ia telah diselesaikan pada Jumaat lalu.

Untuk rekod, permohonan Hisyam pada minggu pertama perbicaraan bagi memasukkan bukti baharu dan menangguhkan perbicaraan itu selama tiga hingga empat bulan turut ditolak mahkamah.Dengan mengambil kira keengganan Hisyam untuk mengemukakan hujah lisan itu, beberapa pengamal undang-undang berpendapat bahawa mahkamah tertinggi itu boleh membuat keputusan serta-merta walaupun tiada hujahan daripada peguam bela Najib.

Peguam, Mohamed Haniff Khatri Abdulla berkata, ini kerana mahkamah boleh membuat keputusan berdasarkan hujahan bertulis difailkan sebelum ini oleh pasukan pembelaan Najib di Mahkamah Rayuan tahun lalu.

Menurutnya, ia juga boleh dibuat berdasarkan petisyen rayuan difailkan oleh peguam cara Najib sebelum ini pada 25 April lalu yang menyenaraikan 94 alasan mengapa Najib perlu dibebaskan.

Pada masa sama, Sithambaram ketika menggulung hujahannya Jumaat lalu turut berkata, mahkamah boleh terus sahaja membincangkan keputusan mereka sekiranya tiada hujahan bertulis atau lisan baharu bekas Perdana Menteri itu.

Memetik undang-undang kes, Sithambaram berhujah bahawa terdapat duluan bagi mahkamah untuk ‘meneruskan dengan sewajarnya’ kerana pihak pembelaan telah menyatakan bahawa mereka tidak bercadang memfailkan sebarang hujahan baharu bagi rayuan tersebut.

Untuk rekod, Najib telah disabitkan bersalah pada 28 Julai 2020 bagi kesemua pertuduhan dalam kes berkenaan oleh Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali Mohd Nazlan.

Ia melibatkan kesalahan tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT), tiga pertuduhan pengubahan wang haram, satu pertuduhan menyalahgunakan kuasa melibatkan dana SRC, yang merupakan bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). Perbicaraan di Mahkamah Tinggi itu berlangsung selama lebih kurang setahun tiga bulan.

Sementara itu, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Abdul Karim Abdul Jalil pada 8 Disember tahun lalu mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dalam kes tersebut terhadap Najib selepas lapan bulan bersidang.

Mahkamah sebelum ini menetapkan sehingga 26 Ogos ini untuk mendengar rayuan akhir berkenaan.

Klik di sini untuk terus membaca