MISI pihak tertentu untuk membunuh Alexander Dugin iaitu seorang intelektual Rusia terkemuka yang juga ahli falsafah politik dan pemikir kontemporari selain dianggap di Barat mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin... Klik di sini untuk terus membaca

MISI pihak tertentu untuk membunuh Alexander Dugin iaitu seorang intelektual Rusia terkemuka yang juga ahli falsafah politik dan pemikir kontemporari selain dianggap di Barat mempunyai hubungan rapat dengan Presiden Rusia, Vladimir Putin pada Sabtu lalu berakhir dengan kegagalan.

Sebaliknya, bukan Dugin, 60, yang terbunuh tetapi anak perempuannya, Darya Dugina, 29, iaitu seorang wartawan wanita yang juga penyokong serangan tentera Rusia ke atas Ukraine.

Dugina menemui ajal selepas kenderaan Toyota Land Cruiser milik bapanya yang dipandu secara berseorangan meletup di Moscow.

Pada mulanya, mereka menghadiri perayaan keluarga di luar Moscow dan menurut laporan yang tidak disahkan bapa serta anak tersebut merancang untuk meninggalkan acara itu dengan menaiki sebuah kenderaan yang sama tetapi pada saat-saat akhir, Dugin memutuskan untuk menaiki kereta berasingan dengan Dugina.

Andrey Krasnov, seorang kenalan kepada keluarga tersebut memberitahu agensi berita TASS bahawa Toyota Land Cruiser yang merupakan kenderaan utiliti Lasak (SUV) dan dipandu Durgina itu sebenarnya adalah milik bapanya.

Menurut penyiasat, terdapat bahan letupan diletakkan di bawah tempat duduk pemandu kenderaan tersebut ketika ia dipandu dengan laju di daerah Odintsovsky di Moscow.

Lokasi letupan kenderaan SUV dipandu Darya Dugina disiasat di Moscow, Sabtu lalu. - Foto AFP

Penyiasat Rusia kemudian percaya kemalangan maut tersebut telah dirancang dengan teliti dan Jurucakap Kementerian Luar Rusia, Maria Zakharova berkata baru-baru ini bahawa jika terbukti Ukraine terlibat dalam kejadian itu, maka ia akan menunjukkan dasar keganasan yang dilaksanakan oleh negara berkenaan.

Selepas kejadian itu, ada yang membuat spekulasi bahawa kemasyhuran yang diraih oleh Dugin yang juga menyokong operasi ketenteraan dilancarkan ke atas Ukraine mungkin menjadi sebab kenapa beliau menjadi sasaran pembunuhan.

Dugin telah berada dalam radar media arus perdana Barat selama hampir sedekad lalu dan sejak permulaan krisis Ukraine pada tahun 2014, beliau sering digambarkan sebagai pemikir politik utama Rusia yang mempunyai hubungan rapat dengan kerajaan atau bahkan dengan Putin secara peribadi.

PEMIKIR

Beliau merupakan pemikir dan ahli akademik yang pertama kali muncul di kancah politik Rusia pada akhir tahun 1980-an dan awal 1990-an apabila menyertai penentangan terhadap pembaharuan politik, sosial dan ekonomi liberal pro-Barat yang dilakukan oleh bekas pemimpin Kesatuan Soviet, Mikhail Gorbachev dan bekas Presiden Rusia, Boris Yeltsin.

Pada tahun 1993, Dugin mengasaskan bersama Parti Bolshevik Kebangsaan (NBP) iaitu sebuah gerakan politik dan budaya yang berusaha untuk menggabungkan ultranasionalisme dan komunisme yang kelihatan tidak dapat didamaikan bersama-sama dengan Eduard Limonov dan pemuzik, Egor Letov.

Parti itu terkenal dengan serangan ke atas ahli-ahli politik dan tokoh awam lain di seluruh ruang pasca-Soviet, menduduki bangunan kerajaan untuk membantah neoliberalisme, reformasi ekonomi, rasuah, perluasan anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan isu-isu lain.

Namun, NBP akhirnya diharamkan oleh mahkamah Rusia pada tahun 2007 kerana aktiviti radikalnya menyebabkan Dugin meninggalkan parti tersebut pada tahun 1998 dan menjadi penasihat kepada seorang ahli politik Parti Komunis dan Pengerusi Dewan Rendah Perundangan Rusia dikenali sebagai Duma, Gennady Seleznev ketika itu.

Dalam tempoh itu, beliau menjadi Ketua Pusat Kepakaran Geopolitik mengenai isu keselamatan negara di Duma dan memberi syarahan mengenai geopolitik untuk kakitangan-kakitangan Am Rusia.

Dalam bukunya berjudul 'The Foundation of Geopolitics: The Geopolitical Future of Russia' atau Asas Geopolitik: Masa Depan Geopolitik Rusia yang diterbitkan pada tahun 1997, Dugin meramalkan pertumpahan darah akan berlaku di Ukraine.

Kedaulatan Ukraine adalah faktor negatif untuk geopolitik Rusia yang pada dasarnya, ia boleh mencetuskan konflik bersenjata dengan mudah, kata Dugin yang turut berhujah dalam buku tersebut bahawa dengan mengekalkan tahap autonomi tertentu, Ukraine harus diintegrasikan ke dalam negara Rusia.

BACAAN TENTERA

Buku itu berada dalam senarai bacaan tentera Rusia tetapi tidak ada petunjuk bahawa beliau pernah mempunyai pengaruh langsung terhadap dasar luar negaranya.

Beliau juga dengan penuh semangat menyokong keputusan Moscow untuk menyerap semula Crimea selepas semenanjung itu mengundi dalam referendum untuk meninggalkan Ukraine berikutan rampasan kuasa pada tahun 2014 di Kiev.

Dugin kemudiannya disenaraihitamkan oleh Amerika Syarikat (AS) dan Kanada dan pada tahun 2014, beliau bertindak meninggalkan Moscow State University iaitu tempatnya memimpin Jabatan Hubungan Antarabangsa selama lima tahun.

Beliau telah digelar sebagai ‘otak Putin’ kerana kononnya mempunyai pengaruh terhadap pandangan dunia Presiden Rusia tersebut dan elit pemerintah negara itu.

Majalah 'Foreign Policy' pernah memasukkan beliau dalam senarai 'Global Thinkers 2014' kerana mendalangi ideologi pengembangan Rusia.

Namun, realitinya ialah beliau sebenarnya tidak berpengaruh di Kremlin dan bukan tokoh arus perdana di Rusia.

Pengaruh Dugin terhadap Putin telah menjadi subjek spekulasi dengan beberapa pemerhati Rusia menegaskan bahawa pengaruhnya adalah penting.

Pada satu temu bual yang diadakan pada tahun 2015, Dugin mendedahkan bahawa beliau tidak mengenali Putin secara peribadi dan tidak mempunyai pengaruh ke atasnya serta tidak pernah menerima balasan kepada mana-mana surat yang dihantarnya kepadanya.

Justeru, punca yang menyebabkan beliau mahu dibunuh itu masih lagi menjadi tanda tanya. – Agensi

Klik di sini untuk terus membaca