SHAH ALAM - Anggota polis di semua peringkat diingatkan supaya menjaga integriti dan imej pasukan dengan tidak mengambil sebarang bentuk rasuah sekiranya disogok oleh sindiket perjudian dalam talian.
Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, anggota polis perlu sentiasa istiqamah memantau dan mengambil tindakan terhadap semua kegiatan haram oleh sindiket yang terlibat.
"Pegawai dan anggota polis perlu jaga integriti, jangan terbabit rasuah, jangan cemari pasukan dan uniform yang dipakai,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.
Menurut Musa, Polis Diraja Malaysia (PDRM) perlu mempertingkatkan pemantauan dan sentiasa mengambil tindakan tegas bagi membanteras kegiatan sindiket perjudian dalam talian.
"Anggota polis di setiap daerah perlu mengetahui kegiatan haram yang berlaku di kawasan masing-masing,” tegasnya.
Beliau memberitahu, sindiket perjudian dalam talian berkemungkinan akan menghentikan operasi buat sementara waktu setelah media mendedahkan kegiatan haram mereka.
"Selain itu, sindiket berkenaan akan menutup premis sementara waktu setelah menyedari polis melakukan operasi serta serbuan,” katanya.
Sinar Harian pada Sabtu melaporkan aktiviti kedai mesin judi dalam talian dikesan kembali aktif selepas digempur PDRM secara besar-besaran pada hujung Januari lalu.
Sindiket perjudian dalam talian masih menggunakan taktik sama seperti awal tahun ini iaitu menggunakan komputer riba dan tablet yang mempunyai aplikasi perjudian dalam talian seperti ‘jackpot’.
Tinjauan Sinar Harian mendapati premis perjudian dalam talian itu masih beroperasi di tingkat atas lot kedai serta dalam pusat sukan snuker.
Klik di sini untuk terus membaca