MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), industri tembakau adalah ancaman besar tanpa disedari yang menyumbang kepada satu daripada punca pencemaran terbesar dunia. Industri berkenaan mendorong kepada aktiviti pemanasan global kerana... Klik di sini untuk terus membaca

MENURUT Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), industri tembakau adalah ancaman besar tanpa disedari yang menyumbang kepada satu daripada punca pencemaran terbesar dunia.

Industri berkenaan mendorong kepada aktiviti pemanasan global kerana membebaskan dua gas rumah hijau utama iaitu, karbon dioksida dan metana.

Setiap tahun sebanyak 2.6 bilion kilogram karbon dioksida dan 5.2 bilion kilogram metana dilepaskan ke udara akibat merokok.

Pengarah Promosi Kesihatan WHO, Ruediger Krech berkata, industri rokok bertanggungjawab ke atas kehilangan sebahagian 600 juta pokok setiap tahun, terutama apabila industri tembakau menggunakan 200,000 hektar tanah serta 22 bilion air setiap tahun.

Penanaman tembakau yang berleluasa juga membuatkan nutrien dalam tanah seperti potasium, fosforus dan nitrogen semakin merosot.

Dalam jangka panjang jika kerosakan tanah tidak dirawat, ia akan menyebabkan gangguan terhadap nutrien yang akhirnya berpotensi menukar persekitaran tanah kepada ekosistem padang pasir.

Lebih memburukkan keadaan, produk tembakau paling banyak dibuang di dalam planet ini, yang mana ia mengandungi lebih 7,000 bahan kimia toksik yang boleh mencemarkan alam sekitar.

Survei oleh Ocean Conservancy mendapati, puntung rokok merupakan sampah individu tertinggi di seluruh dunia. Di Amerika Syarikat sahaja, lebih 80 juta kilogram puntung rokok dipungut setiap tahun tidak termasuk pemetik api dan kotak rokok.

Malah, dianggarkan satu daripada anggaran 4.5 juta puntung rokok dibuang di lautan, sungai, laluan pejalan kaki dan pantai dikhuatiri boleh mencemar 100 liter air setiap tahun.

Produk seperti rokok, tembakau tanpa asap dan rokok elektronik turut menyumbang dengan ketara terhadap pencemaran plastik global.

Hal ini kerana, penapis rokok mengandungi mikroplastik iaitu serpihan kecil plastik yang dikesan di setiap lautan dan malah di dasar laut terdalam dunia, sekali gus membentuk pencemaran plastik kedua tertinggi di seluruh dunia.

Ternyata, penghasilan rokok menyebabkan pencemaran yang serius bermula daripada tembakau ditanam sehinggalah sebatang rokok dihasilkan.

Lebih membimbangkan, empat dari 10 orang di Malaysia yang bekerja dalam bangunan terdedah kepada asap rokok basi (sekunder) yang terhasil daripada produk hasil pembakaran tembakau seperti rokok, cerut dan paip.

Asap rokok diketahui salah satu punca bahan pencemar udara dalaman yang tinggi dengan menghasilkan 300 jenis gas toksik yang menyumbang kepada ‘Sindrom Bangunan Sakit’ (SBS).

Asap rokok yang terperangkap dalam persekitaran tertutup boleh mencemarkan kualiti udara dalaman sesebuah bangunan dan seterusnya menimbulkan masalah kesihatan termasuklah sakit kepala, kerengsaan mata dan kulit serta kekejangan.

Apatah lagi asap rokok boleh berada dalam ruang udara sesebuah bangunan termasuk tempat kerja selama kira-kira dua jam atau lebih walaupun tingkap dibuka.

Keadaan bertambah buruk apabila asap rokok bercampur dengan bahan pencemar udara lain disebabkan sistem pengudaraan termasuk penghawa dingin tidak diselenggara dengan baik.

Ini termasuklah Sebatian Organik mudah meruap (VOCs) seperti benzene, toluene dan choloroform; Bakteria seperti Pseudomonas sp. dan Streptococal pneumonia; Fungi seperti Blastomycosis dan Candida sp., serta Protozoa seperti Cryptosporidiosis dan pneumocyctis, yang kesemuanya boleh menjejaskan sistem pernafasan.

Ternyata, ruang merokok berasingan atau bilik yang mempunyai sistem pengalih udara yang canggih pun tidak mampu melindungi bukan perokok daripada bahaya asap rokok basi, mendorong KKM meletakkan sasaran pengurangan jumlah perokok sebanyak 5 peratus melalui sasaran 'Negara Bebas Asap Rokok' menjelang tahun 2045.

* Profesor Madya Dr Haliza Abdul Rahman ialah Ketua Laboratori Belia dalam Kepimpinan, Politik dan Kewarganegaraan Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) Universiti Putra Malaysia.

Klik di sini untuk terus membaca