SHAH ALAM - Baru-baru ini, rakyat Malaysia dikejutkan berita beberapa individu kehilangan wang dalam simpanan bank.
Bertitik tolak dari situ, timbul persoalan demi persoalan terhadap tahap keselamatan sesebuah bank di negara ini dalam menjaga simpanan para pelanggan mereka.
Banyak juga pihak tampil mendedahkan pernah melalui peristiwa duit mereka lesap dari akaun bank.
Ikuti laporan khas yang disediakan Sinar Harian mengenai kisah dan nasihat daripada pakar agar situasi seumpama itu tidak berulang.
KES 1 - Nafi muat naik aplikasi pelik sehingga data diceroboh
Seorang pakar perubatan, Dr Rafidah Abdullah menafikan ada memuat naik aplikasi yang pelik sehingga membolehkan data peribadi diceroboh daripada telefon bimbitnya.
Beliau mendedahkan telah kehilangan wang simpanan berjumlah RM13,000 dalam akaun sebuah bank tempatan pada Jumaat, dipercayai dipindahkan ke pihak ketiga tanpa menerima sebarang kod pengesahan transaksi (TAC).
"Saya menggunakan iPhone dan tidak memuat naik aplikasi pelik. Mungkin ada yang dapat maklumat saya. Saya sudah buang semua aplikasi di telefon dan reset.
"Saya sudah buat laporan polis dan bank mengenai kehilangan duit. Bank yang menerima duit saya, e-mel semua dan saya telah hantar laporan ke Bank Negara Malaysia (BNM). Saya sudah anggap duit itu bukan rezeki saya.
"Tetapi yang membimbangkan saya adalah ramai sungguh terkena scam dan hack begini. Sedih apabila makcik, pakcik dan rakyat hilang pendapatan serta simpanan mereka,” maklumnya dalam catatan di laman Facebook pada Sabtu.
Dr Rafidah juga meminta pihak bank terlibat untuk bertanggungjawab di atas apa yang berlaku, selain tidak menuding jari kepada pelanggan susulan kelemahan sekuriti bank tersebut.
"Sekuriti adalah tanggungjawab anda (bank) dan jangan hendak menuding jari serta salahkan pelanggan.
"Tak kiralah pelanggan tekan ‘link’ apa pun. Sekuriti bank perlu utuh dan ia tugas serta tanggungjawab anda.
"Kepada rakyat Malaysia, ayuh kita terus membuat bising sehingga mereka perketatkan sekuriti. Jangan biar kita dipersalahkan oleh bank kerana ini bukan salah kita,” tegasnya.
KES 2 - RM11,688 lesap dalam dua saat
Sementera itu, seorang pemilik Facebook bernama Lily Natty Elegance meluahkan rasa kecewa apabila duit RM11,668 dari akaun syarikatnya lesap dalam tempoh dua saat.
Lily Natty mendakwa dia tidak menerima apa-apa panggilan, khidmat pesanan ringkas (SMS) serta kod pengesahan transaksi (TAC) berhubung pengeluaran duit tersebut.
"Wang berjumlah RM11,668.16 hilang dalam dua saat, zero amount yang tinggal dari akaun syarikat terkini iaitu Ageless Haven Resources. Langsung tidak ada minta TAC, SMS, panggilan atau apa-apa.
"Saya hilang kepercayaan kepada bank tersebut kerana mereka tidak beri kerjasama. Seolah-olah, saya yang beri nombor TAC sedangkan tidak terima apa-apa SMS atau panggilan.
"Mereka (pihak bank) lepas tangan dan tak bertanggungjawab langsung. Saya juga tidak muat turun sebarang aplikasi,” katanya dalam catatan di laman Facebook pada Sabtu.
Wanita itu menjelaskan dia telah membuat laporan polis serta membuat aduan kepada bank terbabit, namun telah dimaklumkan bahawa telefon bimbitnya digodam oleh scammer.Tambahnya, bank tersebut memberi saranan kepada dirinya untuk menukar kata laluan, padam perbankan internet, selain melakukan urus niaga di kaunter.
KES 3 - Hilang RM163,000 dalam masa dua hari
Di Perak, deorang peniaga online yang merupakan mangsa scammer kehilangan RM163,000 menerusi empat akaun bank tempatan berbeza dalam masa dua hari.
Azura Adnan, 37, yang berasal dari Tronoh berkata, dia kemurungan selepas kehilangan hampir keseluruhan wang yang disimpan menerusi empat akaun bank tersebut pada 4 Julai lepas.
"Saya tidak boleh lupa sampai bila-bila apabila hilang RM163,000 dalam masa dua hari setelah ditipu scammer.
"Bank pun beritahu tidak boleh buat apa-apa sebab duit itu sudah dikeluarkan disebabkan saya memberikan nombor TAC tersebut kepada scammer tanpa sedar.
"Sesungguhnya scammer ini adalah manusia yang kejam dan hampir tiga minggu saya alami kemurungan yang amat teruk dan rasa hilang semangat untuk teruskan hidup tetapi saya reda dengan apa yang berlaku,” katanya.
Justeru, Azura menasihati agar berhati-hati dengan penipuan scammer serta memastikan duit disimpan di dalam bank terlibat mempunyai sekuriti yang tinggi.
"Kita kena lebih berhati-hati dan beringat untuk tidak terpedaya dengan penipuan scammer.
"Jangan sesekali menekan pautan yang mencurigakan atau mendedahkan maklumat peribadi,” ujarnya.
Klik di sini untuk terus membaca