SHAH ALAM - Nama Zainab Mohd Salleh menjadi bualan rakyat Malaysia sejak semalam selepas didedahkan sebagai 'jerung besar' skandal kapal tempur pesisir (LCS). Pendedahan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Nama Zainab Mohd Salleh menjadi bualan rakyat Malaysia sejak semalam selepas didedahkan sebagai 'jerung besar' skandal kapal tempur pesisir (LCS).

Pendedahan tersebut dibuat oleh Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli yang turut mengaitkan Zainab sebagai isteri kepada Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Abd Latiff Ahmad.

Berikutan tsunami politik tanah air selepas berakhirnya Pilihan Raya Umum ke-14, Dr Abdul Latiff yang merupakan Ahli Parlimen Mersing dari UMNO menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan kini dilantik sebagai Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Semakan Sinar Premium menerusi platform Facebook pada pagi Isnin mendapati Zainab, CFO Dialog bukanlah isteri kepada Dr Abd Latiff.

Foto pada profil Facebooknya mendapati Zainab CFO Dialog bergambar dengan lelaki lain dan mempunyai keluarga sendiri.

Tindakan mengaitkan Zainah CFO Dialog sebagai jerung dan isteri Dr Abd Latiff menyebabkan menjelang tengah hari Isnin, beliau memadamkan akaun Facebook tersebut.

Ini diikuti dengan status penafian oleh Dialog Berhad yang memaklumkan Zainab merupakan pasangan kepada Dr Noor Azmi Mat Adenan iaitu seorang doktor pakar yang berkhidmat di salah salah sebuah pusat perubatan swasta terkenal di ibu negara.

Anak perempuan Zainab CFO Dialog, Syaza Nazura kemudian turut menafikan dakwaan bahawa ibunya adalah wanita yang dinamakan terbabit dalam kontroversi projek pembinaan LCS.

Menurutnya, kebetulan nama ibunya sama dengan nama individu yang dinyatakan dalam laporan itu, namun hakikatnya kedua-dua mereka adalah orang yang berbeza.

Menyedari kesalahan yang dibuat, pemilik akaun twitter yang mengaitkan Zainab CFO Dialog memadamkan statusnya.

"Merujuk kepada laporan berita yang tular berkaitan siasatan projek LCS, saya menegaskan bahawa Zainab Mohd Salleh bukan isteri saya seperti mana yang dinyatakan dalam berita tersebut," kata Dr Abd Latiff.

Persoalan terbesar ketika ini siapakah Zainab Mohd Salleh sebenarnya?

Ini kerana berdasarkan laporan Laporan audit forensik dalaman oleh pihak Boustead Heavy Industries Corporation Berhad (BHIC), nama Zainab Mohd Salleh memang disebut pada muka surat 95 dan 96.

Pada muka surat 96 laporan audit forensik yang baru dinyahklasifikasi daripada sulit kepada terbuka pada Isnin menyatakan Zainab Mohd Salleh sebagai pasangan kepada Abdul Latiff Ahmad.

Timbul juga persoalan adakah benar Abdul Latiff yang dinyatakan dalam laporan audit forensik BHIC adalah Timbalan Menteri Pertahanan yang dimaksudkan atau juga individu berbeza.

Tumpuan rakyat Malaysia kini terarah kepada Rafizi selepas beliau menggesa semua pihak, 'Jangan gelabah'.

Rafizi

Ini kerana beliau mendakwa Zainab Mohd Salleh (LCS) adalah individu yang berlainan, bukanlah Zainab CFO Dialog dan kekeliruan timbul adalah daripada tindakan seorang netizen.

Siapa Zainab Mohd Salleh, kata Rafizi akan didedahkan hari ini. Adakah Zainab didedah Rafizi benar atau salah, isteri Abd Latiff, sama-sama kita tunggu!

Klik di sini untuk terus membaca