EMPAT tahun selepas didakwa melakukan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya sah ke penjara. Istana Kehakiman... Klik di sini untuk terus membaca

EMPAT tahun selepas didakwa melakukan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram membabitkan dana milik SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM42 juta, Datuk Seri Najib Tun Razak akhirnya sah ke penjara.

Istana Kehakiman di Putrajaya menjadi saksi bisu, Mahkamah Persekutuan pada Selasa menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadapnya.

Panel lima hakim diketuai Ketua Hakim Negara, Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan SRC terbabit.

Semua yang mengikuti rapat kes berprofil tinggi itu dari mula pasti maklum mantan Perdana Menteri keenam itu telah melalui proses perbicaraan yang bukan sahaja rumit tetapi juga memakan masa panjang selain turun naik mahkamah.

Bagi Najib, sejak mula didakwa pada 4 Julai 2018 segala usaha telah dilakukan bagi membela diri malah dalam pecutan terakhir beliau juga sempat melafazkan sumpah mubahalah atau sumpah laknat menafikan penglibatan beliau dalam kes terbabit.

Namun segala bukti relevan yang dikemukakan pendakwaan akhirnya membawa kepada kesimpulan, Najib didapati bersalah.

Berikut disertakan kronologi perbicaraan kes Najib yang dituduh menyeleweng dana SRC International.

FAKTA KES

1. Penyelewengan dana RM42 juta milik SRC melibatkan tujuh pertuduhan.

2. Najib didakwa atas tiga pecah amanah dan satu kes penyalahgunaan kuasa melibatkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC.

3. Di samping itu, beliau juga didakwa atas pertuduhan tambahan membabitkan penggubahan wang haram berjumlah RM47 juta melibatkan tiga akaun AmPrivate Banking miliknya.

PECAH AMANAH

1. Melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM27 juta.

2. Melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM5 juta.

3. Melakukan pecah amanah jenayah terhadap wang sejumlah RM10 juta.

PENGGUBAHAN WANG HARAM

1. Najib didakwa membabitkan diri dalam pengubahan wang haram dengan menerima wang berjumlah keseluruhan RM47 juta.

SALAH GUNA KUASA

1. Menggunakan jawatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan Malaysia untuk suapan bagi dirinya bernilai RM42 juta.

KRONOLOGI PENDAKWAAN

2018

4 JULAI - Najib didakwa buat pertama kali di Mahkamah Sesyen atas tiga pertuduhan pecah amanah dan satu pertuduhan salah guna kuasa berhubung dana SRC berjumlah RM42 juta.

-Kes kemudian dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

8 OGOS - Najib didakwa di Mahkamah Tinggi atas tiga pertuduhan pengubahan wang haram melibatkan dana sama (RM42 juta daripada SRC International).

10 OGOS - Mahkamah Tinggi menetapkan 33 hari bermula 12 Februari 2019 bagi perbicaraan tujuh tuduhan terbabit.

- Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib untuk mendapatkan perintah larangan supaya media dan orang awam tidak membicarakan mengenai merit kesnya.

18 DISEMBER - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Najib berhubung surat pelantikan Datuk Sulaiman Abdullah sebagai Pendakwa Raya Kanan.

2019

15 JANUARI - Najib menerusi firma guaman Messrs Shafee & Co telah menulis surat bertarikh 15 Januari kepada Mahkamah Tinggi memohon agar perbicaraan yang dijadualkan pada 12 Februari dilapangkan sementara menunggu tiga rayuan interlokutorinya di Mahkamah Rayuan.

17 JANUARI - Ketua Bahagian Pendakwaan Jabatan Peguam Negara, Manoj Kurup dalam surat bertarikh 17 Januari 2019 yang dihantar kepada Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali membantah permohonan pihak pembelaan untuk menangguhkan perbicaraan, menyatakan permohonan itu adalah remeh dan akan menyebabkan kelewatan yang tidak munasabah terhadap perbicaraan yang dijadualkan.

7 FEBRUARI - Najib dilepaskan tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di terhadap tiga tuduhan tambahan melibatkan diri dalam pengubahan wang haram berjumlah RM47 juta.

11 FEBRUARI - Mahkamah Rayuan membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sehingga rayuannya berhubung keputusan pendakwa raya menarik balik sijil perpindahan tujuh pertuduhan terhadapnya selesai.

14 FEBRUARI - Mahkamah Rayuan menetapkan 11 dan 12 Mac untuk mendengar empat rayuan Najib bagi membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi berhubung permohonan interlokutori Najib mengenai tujuh pertuduhan melibatkan dana SRC.

11, 12, 15 dan 18 MAC - Mahkamah Rayuan mendengar empat rayuan Najib.

21 MAC – Mahkamah Rayuan membenarkan penangguhan sementara perbicaraan Najib sehingga Mahkamah Persekutuan mendengar dan memutuskan tiga rayuan interlokutori yang sebelum itu ditolak oleh Mahkamah Rayuan.

-Mahkamah Rayuan menolak tiga rayuan Najib bagi mendapatkan perintah melarang media dan orang awam membincangkan merit kes jenayahnya dan akses kepada dokumen penyiasatan termasuk kenyataan saksi pada peringkat praperbicaraan mengenai penarikan balik sijil perpindahan pertuduhannya oleh Peguam Negara.

-Mahkamah sama bagaimanapun membenarkan rayuan Najib untuk mendapatkan salinan surat pelantikan Sulaiman mengetuai pendakwaan.

27 MAC – Panel tujuh hakim Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuan pendakwaan untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan yang membenarkan permohonan Najib untuk menangguhkan sementara perbicaraan sementara menunggu rayuannya berhubung permohonan interlokutorinya selesai.

28 MAC - Mahkamah Tinggi menetapkan perbicaraan kes pada 3 April.

3 APRIL - Perbicaraan bermula selama 58 hari.

11 NOVEMBER - Mahkamah Tinggi memerintahkan Najib membela diri terhadap kesemua tujuh pertuduhan kes SRC.

16 NOVEMBER - Najib gagal dalam permohonannya untuk menangguhkan perbicaraan untuk membela diri dalam kes SRC International dijadual bermula pada 3 Disember oleh Hakim Mahkamah Tinggi

3 DISEMBER - Najib membela diri dan 18 saksi pembelaan dipanggil memberi keterangan, prosiding selama 33 hari.

2020

11 MAC - Pihak pembelaan menutup kes.

1 JUN - Hujahan di akhir kes pembelaan selama lima hari.

5 JUN - Mahkamah Tinggi menetapkan 28 Julai bagi keputusan.

28 JULAI - Mahkamah Tinggi memutuskan Najib bersalah ke atas semua tujuh pertuduhan dihadapinya dan menjatuhi hukuman penjara selama 12 tahun serta denda RM210 juta.

30 JULAI - Najib kemukakan rayuan terhadap sabitan dan hukuman dikenakan terhadapnya.

2021

23 NOVEMBER - Mahkamah Rayuan menetapkan 8 Disember bagi keputusan rayuan.

7 DISEMBER - Mahkamah Rayuan memberi pilihan kepada Najib dan barisan pembelaannya sama ada menghadapi kemungkinan dipenjarakan atau prosiding diadakan secara zoom.

8 DISEMBER - Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur sebelum ini yang menjatuhkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta terhadap Najib.

2022

24 JANUARI - Najib memohon Peguam Diraja dari United Kingdom (UK) untuk mewakilinya bagi kes rayuannya.

31 MEI - Peguam Diraja dari UK, Jonathan James Laidlaw memohon kebenaran untuk mewakili Najib.

21 JULAI - Mahkamah Tinggi menolak permohonan Jonathan untuk mewakili Najib.

26 JULAI - Najib gugurkan Muhammad Shafee Abdullah dan melantik pasukan peguam baharu daripada Tetuan Zaid Ibrahim Sufian TH Liew & Partners bagi mewakilinya.

29 JULAI - Mahkamah Persekutuan menolak permohonan Datuk Seri Najib Razak untuk menangguhkan rayuan akhir.

15 OGOS - Mahkamah Persekutuan mendengar rayuan terakhir Najib.

16 OGOS - Mahkamah Persekutuan tolak permohonan Najib kemuka bukti baharu kes SRC.

18 OGOS - Najib kemukakan rayuan terakhir di Mahkamah Persekutuan untuk ketepikan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta yang dihadapinya.

19 OGOS - Masuk hari keempat pendengaran rayuan Najib, pendakwaan selesai hujah, pembelaan pilih tidak berhujah

- Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menetapkan 23 Ogos untuk meneruskan pendengaran rayuan

21 OGOS - Najib melafazkan sumpah mubahalah (sumpah laknat) di Masjid Kampung Baru KL

23 OGOS - Prosiding akhir rayuan Najib dalam kes SRC International

-Peguam utama Najib, mohon Ketua Hakim Negara,Tengku Maimun Tuan Mat tarik diri dari dengar prosiding rayuan

- Muhammad Shafee Abdullah kembali menjadi sebahagian daripada pasukan pembelaan buat Najib

- Najib gagal ketepikan Tengku Maimun daripada mendengar kes rayuan beliau - panel mendapati tiada sebarang tiada pertalian di antara catatan Facebook suaminya pada 2018 dengan rayuan Najib

- Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan salah yang dikenakan terhadap Najib dan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta yang dikenakan terhadap Najib sebelum ini

Klik di sini untuk terus membaca