SEJARAH telah membuktikan ramai pemimpin dunia yang telah tersungkur kerana rasuah.
Pemimpin ini telah dihakimi dan dihukum oleh undang-undang, susulan itu karier politik mereka musnah dan dihina rakyat sendiri.
Hari ini, Datuk Seri Najib Tun Razak diarahkan menjalani perintah 12 tahun penjara dan denda RM210 juta bermula hari ini selepas Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir bekas Perdana Menteri itu untuk mengetepikan sabitan hukuman dan denda yang dikenakan terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Selain Najib, berikut antara figura pemimpin antarabangsa yang berdepan dengan hukuman akibat salah laku yang dilakukan oleh mereka.
1. Bekas Presiden Amerika Syarikat, Richard Nixon
Nixon terlibat dalam Skandal Watergate, skandal pemimpin negara terbesar dalam sejarah Amerika Syarikat. Beliau dikaitkan dengan rasuah, salah guna kuasa dan menggunakan taktik kotor semasa kempen Pilihan Raya Presiden 1972.
Antaranya melalui intipan ke atas pejabat parti lawan dan melakukan gangguan terhadap aktivis serta tokoh pemimpin dari parti lawan.
Akibat skandal itu, Timbalan Presiden, Spiro Agnew meletak jawatan pada 10 Oktober 1973. Agnew dituduh di mahkamah kerana rasuah, kesalahan mengelak cukai (tax evasion) dan jenayah pengubahan wang haram.
Kemuncak Skandal Watergate apabila Nixon meletak jawatan pada 9 Ogos 1974.
Beliau menjadi Presiden pertama yang berbuat demikian dalam sejarah negara itu.
2. Bekas Perdana Menteri Jepun, Kakuei Tanaka
Tanaka terlibat dalam Skandal Lockheed yang berkaitan pembelian 21 pesawat Airbus oleh All Nipon Airways.
Tanaka ditangkap dan didakwa di mahkamah pada 16 Ogos 1976 kerana menerima suapan 500 juta Yen (A$2.1 juta) .
Rasuah bertujuan agar Tanaka mempengaruhi All Nippon Airways membeli 21 pesawat Airbus Lockheed’s L-1001 Tristar.
Pada 12 Oktober 1983, Tanaka disabitkan dengan kesalahan.
Beliau dijatuhkan hukuman empat tahun penjara dan denda 500 juta Yen.
Tanaka meninggal dunia pada 16 Disember 1993 ketika proses rayuannya masih belum selesai.
3. Bekas Presiden Filipina, Ferdinand Edralin Marcos
Semasa era pemerintahan Presiden Marcos selama 21 tahun, amalan kronisme amat ketara berlaku.
Sanak saudara dan kenalan rapat beliau dilantik mengetuai pelbagai agensi dan perbadanan.
Dianggarkan Presiden Marcos telah menggelapkan wang kerajaan sebanyak AS$5 bilion ke AS$10 bilion.
Beliau juga dikatakan telah mengumpulkan AS$15 bilion kekayaan peribadi, satu jumlah mengatasi lebih daripada separuh hutang negara.
Presiden Marcos dan isterinya, Imelda hidup mewah.
Rakyat Filipina bangkit memberontak sehingga terjadinya pilihan raya mengejut dan Revolusi Kuasa Rakyat (People Power Revolution) pada Februari 1986. Akhirnya Presiden Marcos digulingkan.
Beliau dan isteri melarikan diri ke Hawaii.
Presiden Marcos meninggal dunia dalam buangan di Honolulu, Hawaii, Amerika Syarikat pada 28 September 1989.
4. Bekas Presiden Republik Taiwan, Chen Shui-bian
Chen menjadi Presiden Taiwan selama dua penggal iaitu mulai 20 Mei 2000 hingga 20 Mei 2008.
Selepas sejam meletak jawatan sebagai Presiden, beliau ditahan oleh pihak berkuasa Taiwan kerana tuduhan rasuah dan salah guna kuasa.
Pada 13 Disember 2008, Chen dan isterinya dihadapkan ke mahkamah atas dakwaan melakukan penyelewengan dana khas presiden berjumlah NT$104 juta ($3.12 juta); dan menerima rasuah NT$11.73 juta berkaitan perolehan tanah kerajaan di Longtan serta sebuah lagi projek pembinaan.
Pada 11 November 2010, Republic of China Supreme Court menjatuhkan hukuman penjara selama 19 tahun ke atas Chen dan isteri.
Beliau menjadi ketua kerajaan pertama yang dipenjarakan dalam sejarah Taiwan.
5. Bekas Perdana Menteri Korea Selatan, Han Myeong-sook
Han merupakan wanita pertama yang dilantik sebagai Presiden Korea Selatan (19 April 2006 - 7 Mac 2007).
Pada 22 Disember 2009, Han dituduh di mahkamah kerana menerima rasuah berbentuk sumbangan politik yang tidak sah berjumlah AS$760,000 daripada seorang eksekutif syarikat pembinaan.
Sumbangan tersebut dikatakan untuk membiayai kempen pilihan raya Han untuk bertanding jawatan Presiden Korea Selatan pada tahun 2007.
Han disabitkan kesalahan dan dijatuhkan hukuman penjara dua tahun serta denda AS$741,800.
6. Bekas Presiden Indonesia, Mohamed Suharto
Pemerintahan Suharto selama 32 tahun dibayangi skandal rasuah, amalan kronisme, pemerintahan diktator dan penindasan. Transparency International menganggarkan jumlah penyelewengan yang dilakukan oleh Suharto adalah sekitar AS$15 bilion hingga AS$35 bilion.
Cubaan untuk mendakwa beliau atas kesalahan rasuah dan jenayah lain gagal kerana masalah kesihatan.
Pada 27 Januari 2008, Suharto meninggal dunia setelah mengalami masalah kompilasi jantung, paru-paru dan ginjal. Ketika itu, umurnya 86 tahun.
Pada 8 Julai 2015, Mahkamah Agong Indonesia mengarahkan enam anak Suharto dan Yayasan Beasiswa Supersemar membayar balik 4.389 trilion rupiah (AS$450 juta), iaitu wang yang pernah diseleweng semasa era pemerintahan diktator itu.
7. Lain-lain - Pemimpin-pemimpin dunia lain yang kecundang kerana rasuah termasuklah
Ehud Olmert (bekas Perdana Menteri Israel) yang terpaksa meringkuk di penjara selama 18 bulan;
Randy Duke Cunningham (bekas Ahli Dewan Perwakilan Amerika Syarikat), dipenjara lapan tahun empat bulan dan diarahkan membayar balik wang berjumlah AS$1.8 juta;
Alberto Fujimori (bekas Presiden Republik Peru) dipenjara enam tahun;
Slobodan Milosevic (bekas Presiden Serbia) yang meninggal dunia ketika perbicaraan terhadapnya masih berlangsung;
Mobutu Sese Seko (bekas Presiden Republik Congo) digulingkan oleh rakyat dan mati dalam buangan;
Thaksin Shinawatra (bekas Perdana Menteri Thailand) digulingkan oleh tentera dan hidup dalam buangan sehingga kini.