SEJURUS selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa memutuskan yang hakim Mahkamah Tinggi tidak khilaf dalam menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana... Klik di sini untuk terus membaca

SEJURUS selepas Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa memutuskan yang hakim Mahkamah Tinggi tidak khilaf dalam menjatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atas Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana syarikat SRC International Sdn Bhd, bekas Perdana Menteri itu yang sedang berdiri di kandang tertuduh kelihatan terduduk di bangku manakala isterinya, Datin Seri Rosmah Mansor dilihat mengesat air mata menahan sedih dan hiba.

Suasana di dalam bilik perbicaraan yang penuh dengan ahli keluarga dan staf Najib turut suram apabila Rosmah duduk di sampingnya dengan ditemani dua anak mereka, Norashman serta Nooryana Najwa.

Manakan tidak, ini adalah saat-saat terakhir mereka bersama orang tersayang sebelum Najib dibawa masuk ke dalam kenderaan utiliti sukan (SUV) iaitu kenderaan khas berwarna hitam yang sudah pun sedia menanti dalam mod standby di belakang Istana Kehakiman yang tersergam indah dengan kubah bagaikan kubah masjid di tengah-tengah Presint 2, Putrajaya.

Ironinya, tidak jauh dari Istana Kehakiman itu tersergam indah Seri Perdana dan Perdana Putra iaitu kediaman dan pejabat rasmi Najib ketika beliau menjawat jawatan sebagai pemimpin nombor satu negara selama sembilan tahun.

Di situlah juga pelbagai peristiwa bersejarah ditakdirkan berlaku termasuklah skandal SRC dan 1MDB yang dilabelkan sebagai skandal kewangan terbesar dunia.

Meskipun keputusan telah diketahui lebih sejam, ahli keluarga, rakan dan penyokongnya, masih berada di dalam dan di sekitar mahkamah. Mereka cuba menenangkan Ahli Parlimen Pekan itu yang kelihatan sugul namun masih tenang menghadapi hari-hari yang suram dan yang paling besar serta bermakna ialah kehilangan kebebasan mutlak sebagai manusia.

Setakat jam 5.30 petang Selasa ketika komentar ini ditulis, Najib, 69, yang hadir di mahkamah dengan memakai sut hitam, tidak berganjak daripada kandang tertuduh.

Bagaimanapun, bekas Perdana Menteri itu kemudiannya dihantar ke Penjara Kajang. Itu pasti.

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak keluar dari Kompleks Mahkamah diiringi kenderaan Polis Diraja Malaysia (PDRM) selepas didapati bersalah. - Foto Bernama.

Di sana, Najib akan menjalani proses 12 tahun hukuman penjara. Tambahan kepada hukuman itu ialah, jika beliau gagal melunaskan denda yang berjumlah beratus juta ringgit itu, Najib juga perlu menjalani hukuman penjara selama lima tahun lagi.Ramai yang percaya dan yakin ahli keluarga Najib dan para penyokong tegar beliau yang sebahagiannya sedang menangis di pekarangan mahkamah sebaik sahaja berita tentang keputusan penghakiman telah keluar, akan berusaha sedaya mungkin untuk melunaskan jumlah denda tersebut.

Turut berada di dalam mahkamah ialah penyokong kuat dan setia Najib iaitu Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi. Beliau duduk di galeri awam menyaksikan keputusan diumumkan. Presiden UMNO itu kini akan dapat membayangkan suasana yang serupa jika turut disabitkan di atas kes perbicaraannya yang masih berjalan sekarang di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Zahid sedang dibicarakan atas 12 pertuduhan pecah amanah, lapan pertuduhan rasuah dan 27 pertuduhan pengubahan wang haram, membabitkan puluhan juta ringgit wang milik Yayasan Akal Budi yang dipengerusikannya.

Pada 24 Januari lalu, mahkamah mendapati pihak pendakwaan telah membuktikan kes prima facie terhadap Zahid dan memerintahkan beliau membela diri.

Dalam pada itu, anak perempuan Najib, Yana, dalam kiriman media sosialnya menulis; "Saya minta maaf daddy...mungkin kita tidak melawan dengan cukup kuat. Mungkin kita meletakkan kepercayaan penuh ke atas sistem keadilan kita...”

Mahkamah Persekutuan di sini pada Selasa menyatakan bahawa Najib selaku perayu tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan yang munasabah.

Ketika membaca keputusan penghakiman, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat berkata, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali telah mempertimbangkan keterangan pembelaan dengan teliti dan menjalankan analisis menyeluruh terhadap kes itu.

Menurutnya, mahkamah tidak boleh menyimpulkan mana-mana dapatan Mohd Nazlan sebagaimana dikekalkan Mahkamah Rayuan di sini, adalah salah.

Beliau yang mempengerusikan lima panel hakim berkata, mahkamah bersetuju bahawa pembelaan oleh perayu sememangnya tidak konsisten dan gagal untuk mematahkan keraguan munasabah terhadap pendakwaan.

Klik di sini untuk terus membaca