PERJUANGAN penuh liku Datuk Seri Najib Tun Razak selama empat tahun untuk membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC... Klik di sini untuk terus membaca

PERJUANGAN penuh liku Datuk Seri Najib Tun Razak selama empat tahun untuk membuktikan dirinya tidak bersalah berhubung kes pecah amanah, salah guna kuasa dan penggubahan wang haram membabitkan dana berjumlah RM42 juta milik SRC International akhirnya menemui noktah.

Mahkamah Persekutuan pada Selasa memuktamadkan bekas Perdana Menteri keenam itu sah ke penjara setelah keputusan sebulat suara panel lima hakim diketuai, Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman.

Najib, 69, yang juga dikenali dengan nama jolokan Bossku kini perlu menjalani hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta setelah kelima-lima hakim mendapati Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah membuat keputusan yang betul dan tidak terkhilaf apabila mensabitkan Najib terhadap tuduhan berkenaan.

Apa pun nasib Bossku dalam kes berprofil tinggi ini sudah pun diputuskan dan yang tinggal kini adalah menilai impak daripada keputusan mahkamah tersebut terhadap UMNO, parti yang menjadi ‘darah daging’ Najib selama ini.

Adakah dengan ketiadaan Najib yang sinonim sebagai Ahli Parlimen Pekan akan merencatkan prospek UMNO dalam menghadapi persaingan Pilihan Raya Umum (PRU15) kelak?

"Saya percaya prospek masa depan UMNO untuk PRU15 bakal lebih cerah dan anak-anak muda dijangka akan kembali menyokong parti ini malah mereka yang menyokong Pakatan Harapan (PH) pada PRU14 pun akan kembali mengundi UMNO/BN,” kata penganalisis politik, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain kepada Sinar Premium.

Beliau berpandangan demikian dengan alasan punca sebenar kekalahan UMNO pada PRU14 lalu adalah disebabkan faktor Najib yang terpalit dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Namun dengan keputusan mahkamah ini, masalah dianggap selesai dan pengundi akan kembali memberi sokongan kepada UMNO.

Najib bertemu para penyokongnya yang setia menunggu di luar. -Foto Bernama

Ahmad Atory juga berpendapat dengan keputusan Mahkamah Persekutuan itu, pelan untuk menyemarakkan semula Muafakat Nasional (MN) antara UMNO, Pas dan Bersatu akan kembali hidup susulan penghalang utama kepada kerjasama BN dan Perikatan Nasional (PN) dalam MN (Najib) sudah tiada.

Ditanya berhubung prospek dalam konteks UMNO Pahang pula, Ahmad Atory yakin parti veteran itu masih akan mendapat sokongan ramai.

"Walaupun Pas dikira agak kuat namun sekiranya UMNO dan Pas bekerjasama, siapa pun yang dipertandingkan sebagai calon BN atau PN akan berpeluang untuk menang.

"Tapi jika BN/UMNO bertanding solo di Pekan, anak Najib diramal boleh menang berikutan sokongan pengundi tempatan yang masih mengenang jasa Najib di situ,” tegas Ahmad Atory sambil menambah pandangan orang luar tidak sama dengan pengundi Pekan.

Beliau juga berkata, sokongan kepada UMNO akan semakin bertambah sekiranya kontroversi hangat yang banyak terbongkar baru-baru ini seperti isu LCS dapat diselesaikan sebelum PRU15.

Bagi Timbalan Pengarah Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM),Profesor Dr Kartini Aboo Talib, dengan ketiadaan Najib, parti keramat orang Melayu itu akan kembali pulih dengan imej lebih bersih.

"Keputusan mahkamah ini harus diambil dari sudut positif kerana kluster mahkamah adalah ibarat 'bisul yang bernanah'. Jika dibuang dan diubati barulah UMNO akan kembali sihat.

UMNO juga tidak akan terjejas jika Najib dipenjarakan malah integriti badan kehakiman negara akan dihormati dan semangat UMNO menghormati keputusan mahkamah adalah suatu yang murni,” katanya.

Jelas Kartini, biarpun UMNO parti yang telah lama bertapak dan memiliki pasak yang kuat namun ia sentiasa berdepan dengan perpecahan dalaman yang serius.

"Pada 1989 UMNO pernah berpecah menjadi team A dan team B. Ku Li membentuk Semangat 46 tetapi tidak bertahan lama, bubar dan kembali kepada UMNO.

"Anwar Ibrahim juga bekas ahli UMNO keluar membentuk PKR, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan beberapa ahli UMNO lain turut keluar dan membentuk parti serpihan, Bersatu. Tidak ketinggalan Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri turut keluar lalu membentuk Bersatu dan kini Pejuang.

"Semua ‘bisul’ ini telah keluar dan secara sendirinya telah membersihkan UMNO,” katanya.

Kartini juga yakin, terdapat ramai pemimpin muda berkaliber yang mampu meneruskan wadah perjuangan UMNO walaupun tanpa kehadiran Najib.

"Apa yang penting adalah mengekalkan sokongan pengundi yang sedia ada, menarik pengundi muda dan menambah sokongan daripada pengundi alternatif untuk kembali percaya kepada kepimpinan BN sekali gus memastikan survival parti UMNO,” katanya.

Klik di sini untuk terus membaca