TIDAK lama lagi kita akan menyambut ulang tahun Hari Kemerdekaan ke-65. Merdeka dari sudut makna menurut Kamus Dewan adalah bebasnya negara daripada penjajahan, kurungan, naungan dan lepas daripada tebusan serta tuntutan. Merdeka juga bererti berdiri sendiri dan tidak bergantung pada yang lain.
Apakah kita sudah merdeka dalam erti kata merdeka sepenuhnya? Belum. Malah, kita tidak akan merdeka sepenuhnya. Begitu juga mana-mana negara di dunia ini. Ini adalah kerana semua negara saling mempengaruhi kerana saling bergantung walaupun atas nama persahabatan.
Semua negara yang dikatakan merdeka pun mempunyai pelbagai perjanjian yang mengikat antara satu sama lain dari segi ketenteraan, ekonomi, undang-undang, kesihatan, kewangan, sumber alam serta pendidikan.
Justeru, merdeka yang diperoleh oleh negara-negara di dunia ini termasuk Malaysia hanyalah kemerdekaan dari sudut ketuanan politik. Itu sahaja.
Oleh kerana lamanya kita dijajah, maka kita berasa sayang dan akan berasa kehilangan sekiranya kita membuang dan memadam apa jua kesan sejarah yang menunjukkan kita pernah dijajah.
Entah mengapa kita perlu berasa nostalgik dengan mereka yang menakluki kita. Sebab itulah kita masih mengekalkan nama-nama bangunan, sekolah, jalan, bangunan serta tugu yang mempunyai nama penjajah.
Untuk apa kita masih kekalkan nama-nama seperti Hugh Clifford, King Edward, Convent, Methodist, Fort Cornwallis dan Frank Swettenham? Untuk apa dikekalkan patung Francis Light? Buat apa diselenggara Kota Famosa sebagai tempat berfoto kenangan sebagai tanda kita ke Melaka?
Bukankah lebih baik Kota Famosa itu diganti dengan Kota Melaka? Agaknya, jika sampai papan dari Jawa, Kota Famosa dah lama menjadi debu!
Tentu sekali kapal Flor De Lama sepatutnya diganti dengan replika kapal Mendam Berahi iaitu kapal terbesar dibina oleh pakar teknologi pelayaran Melaka.
Biar rakyat berasa bangga masuk ke dalam kapal gergasi itu, bukan berasa gah masuk ke dalam kapal penjajah. Ia menghabiskan perasaan bangga pada benda yang tidak sepatutnya.
Apa yang penting, kita tidak perlu lagi ingat mengenai sejarah hitam negara sebab hidup dijajah merupakan zaman gelap kita semua.
Buat apa dikenang-kenang? Kalau pun diingat-ingat, untuk apa pula? Kita sebagai individu pun tidak mahu kenang-kenang lagi zaman pahit peribadi, apatah lagi menceritakannya kepada anak cucu.
Perbuatan itu akan membuat kita berasa sedih. Selagi kita sedih, itu bererti kita masih belum melupakan daripada kenangan lalu!
Justeru itu, selagi segala nama-nama dan binaan-binaan penjajah dikekalkan, maknanya kita masih mahu menyimpan kenangan ketuanan politik hingga ia berakar di minda sampai ke hari ini.
Kesannya telah menjadikan kita menormalisasikan mentaliti jiwa orang dijajah. Pendidikan juga membawa pengaruh fikiran dan perbuatan luar masuk ke dalam negara ini.
Mereka yang mendapat pendidikan di luar negara membawa pulang pemikiran tempat mereka belajar. Mereka yang belajar di Barat, negara-negara Timur Tengah dan juga Timur Jauh, membawa pulang pemikiran dan tindakan ini.
Apabila masing-masing membawa gaya pemikiran tempat mereka belajar, mulalah wujud kluster-kluster pemikiran yang tidak dapat disatukan sebagai pemikiran Malaysia.
Kita tidak berasa apa-apa dan menganggap ia biasa kerana kita semua menerima ia sebagai sesuatu yang dihadapi oleh semua warga negara-negara lain. Apa pentingnya mempunyai pemikiran dan tindakan cara Malaysia?
Ia penting kerana pemikiran yang sealiran akan menyatukan tindakan. Ditambah pula pemikiran dan tindakan kita bercampur-baur seperti lain-lain rakyat di dunia, kita menjadikan kita menganut herd mentality.
Kita ikut apa yang dunia mahu, apa yang dunia terap dan apa yang dunia sumbat ke dalam pemikiran kita. Akibatnya, kita akan akui apa jua pengiktirafan dunia mengikut kaca mata mereka.
Kita ikut apa yang dunia kata kerana takut dikatakan cuba mengongkong kebebasan pemikiran dan bersuara rakyat.
Padahal, dengan mengekang pemikiran luar dan tidak mengukur baju pada tubuh orang lain, kita akan punyai identiti sendiri; sedangkan kebebasan untuk berfikir dan bertindak mengikut fikiran sendiri itulah merdeka sebenarnya.
* Norden Mohamed ialah mantan Ketua Pengarang Sinar Harian
Klik di sini untuk terus membaca