SEHINGGA dua tiga tahun lepas TikTok sering dianggap sebagai melalaikan, merosakkan moral, membuang masa, menyebabkan ketagihan dan pelbagai lagi yang pada penghujungnya boleh dirumuskan dengan dua perkataan: tidak berfaedah. Selain itu ia juga kerap dikaitkan dengan budak-budak dan orang muda-muda.
Kerana tanggapan itu kebanyakan kita, yang agak berumur terutamanya, tidak berani melayari TikTok apatah lagi memuat turun aplikasinya. Malu kalau handai taulan dan kawan rakan tahu.
Persepsi negatif itu bukan hanya berlegar dalam kalangan kita di sini, tetapi juga di seluruh dunia. Ia terutamanya didorong oleh bentuk kandungan TikTok yang pada peringkat awalnya dilihat sebagai ‘merapu’.
Disebabkan itu untuk suatu tempoh TikTok menjadi aplikasi gred bawah yang tidak mungkin mampu menyaingi Facebook, YouTube dan Instagram.
Tetapi tembok persepsi itu akhirnya runtuh. Platform yang diasaskan oleh jurutera perisian dan usahawan muda internet, Zhang Yimin itu dinaik taraf dengan pelbagai bentuk dan cara, baik dari segi kandungan, kemudahan mengakses, aplikasi sokongan dan sebagainya sehingga ia akhirnya kian diterima termasuk oleh mereka yang dahulu menolaknya.
Kini produk syarikat ByteDance itu menjadi saluran media sosial yang paling cepat berkembang bagi tahun 2022.
Walaupun berdasarkan data daripada sumber, sekarang ini TikTok dengan satu bilion pengguna menduduki tempat kelima dalam senarai media sosial paling popular, agak jauh di belakang Facebook (2.9 bilion) dan YouTube (2.2 bilion), namun dibandingkan dengan usianya yang masih muda, jelaslah angka satu bilion itu sangat besar.
Sayugia dinyatakan bahawa TikTok diasaskan pada 2018 sedangkan Facebook 14 tahun lebih awal manakala YouTube pula pada tahun 2005.
Ada pendapat mengatakan TikTok akan mengambil alih kedudukan YouTube di tempat kedua sebagai pempengaruh pemasaran menjelang tahun 2024 dan selepas itu akan merampas kedudukan Facebook pula.
Kenapa TikTok begitu pantas berkembang? Jawapannya mudah iaitu kerana ia memudahkan pengguna. Dalam kegilaan manusia untuk meringkaskan hidup, perhatian dan tumpuan terhadap sesuatu juga pendek jangka hayatnya. Orang cepat bosan pada sesuatu yang panjang dan meleret.
Semuanya hendak cepat, bak kata peribahasa baharu ‘belum turun pelamin sudah hendak masuk ke bilik’.
TikTok menyediakan jawapan untuk kehendak itu. Dengan menggunakan format video pendek interaktif, yang senang dimuat naik menjadikan pembuatan kandungan (content) menjadi mudah dan cepat.
Selain itu TikTok mempromosi setiap kandungan seluas mungkin sekali gus menjadikan ia medium yang mudah mempopularkan seseorang. Semua ini menjadi sebab kenapa TikTok pantas mendapat tempat di hati pengguna.
Di YouTube mereka mungkin hanya mampu menonton empat atau lima video sehari – itupun jika tidak dileteri oleh emak bapa atau pasangan masing-masing. Sebaliknya di TikTok ada orang dilaporkan boleh menonton sehingga 200 video sehari.
Faktor lain yang tidak kurang pentingnya ialah kecerdasan buatan (AI) pada TikTok mempunyai keupayaan menakjubkan untuk ‘membaca’ diri anda.
AI pada TikTok dikatakan boleh membaca apa yang pernah anda cari di peranti anda pada masa lampau, menggabungkannya dengan carian masa kini bagi menjangka carian berikutnya pada masa hadapan. Ini menjadikan anda mudah ‘berurusan’ dengannya.
Walau bagaimanapun, keupayaan mengumpul dan membaca data ini menimbulkan kekhuatiran pada banyak kalangan.
Mereka bimbang TikTok akan menjadi pangkalan pengumpulan data, yang jika disalah guna oleh pihak tertentu boleh mencetuskan masalah besar kepada dunia.
Tidak kurang menariknya ialah pendapat yang mengatakan TikTok mungkin menjadi medium bagi China menebus kekalahannya di tangan British dalam Perang Candu Pertama (1839-1842) dan Perang Candu Kedua (1856-1860).
Dulu British menggunakan candu untuk melemahkan China yang ketika itu di bawah Dinasti Qing, kini China pula menjadikan kecanduan kepada TikTok sebagai medium bukan sahaja untuk mengalahkan British tetapi juga menakluk dunia.
Kita bagaimana? Apa kata duit yang ‘disedekahkan’ kepada scammers itu kita kumpul dan kita pakat-pakat gunakan untuk membangunkan perisian yang boleh menakluki dunia juga. Mungkin kita boleh namakan ia sebagai KumKum...#dush!
* Datuk Dr Budiman Mohd Zohdi ialah Setiausaha Politik. Mulai 2022 menulis mengenai pengurusan perubahan.
Klik di sini untuk terus membaca