SEJAK tentera Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, kadar inflansi di sejumlah negara di dunia melonjak naik termasuk di Korea Selatan yang mengalami masalah kenaikan harga makanan seperti ayam goreng. Isu harga ayam goreng... Klik di sini untuk terus membaca

SEJAK tentera Rusia menyerang Ukraine pada 24 Februari lalu, kadar inflansi di sejumlah negara di dunia melonjak naik termasuk di Korea Selatan yang mengalami masalah kenaikan harga makanan seperti ayam goreng.

Isu harga ayam goreng meningkat turut berlaku terhadap syarikat-syarikat francais seperti BHC apabila terdapat pelanggan menyatakan bahawa mereka tidak mampu untuk membeli makanan daging haiwan ternakan itu yang dijual di syarikat tersebut baru-baru ini.

Pada April lalu, Genesis BBQ iaitu salah satu rangkaian restoran ayam goreng terbesar di negara itu mengumumkan bahawa ia akan menaikkan harga bagi kebanyakan item dalam menunya buat kali pertama dalam tempoh empat tahun sebanyak 10 peratus.

Bagaimanapun, kini berlaku peperangan harga antara syarikat-syarikat francais yang menjual ayam goreng dengan pasar-pasar raya besar yang turut menjual hidangan yang sama tetapi pada harga yang lebih murah di Korea Selatan.

Syarikat-syarikat francais yang menjual hidangan ayam goreng itu sebelum ini menyebut ia terpaksa menjual pada harga yang lebih tinggi disebabkan oleh kenaikan kos dan perbelanjaan seperti kadar sewa, komisen kepada pekerja penghantaran serta yuran francais.

Keadaan itu tidak berlaku kepada pasar-pasar raya besar kerana ia boleh menjual ayam goreng pada harga murah berbanding dengan yang dijual di restoran-restoran francais.

Ayam goreng Korea Selatan merupakan makanan ruji dan ia begitu popular di negara tersebut selepas berlakunya krisis kewangan Asia kira-kira 20 tahun lalu yang menyebabkan ramai penduduknya yang kehilangan pekerjaan telah membuka restoran ayam goreng bagi menyara keluarga masing-masing.

POPULAR

Sejak itu, perniagaan restoran-restoran yang menjual ayam goreng berkembang sehingga menjadi makanan popular dalam kalangan penduduk di negara itu.

Namun sejak akhir-akhir ini, rangkaian gedung yang menjual pelbagai barangan pada harga murah di Korea Selatan, Homeplus telah menjual satu bucket atau buket ayam dengan harga 6,990 won (RM23.38) sejak hujung bulan Jun lalu.

Lebih 40 orang berbaris di cawangan Homeplus di Hapjeong, barat Seoul, baru-baru ini untuk mendapatkan peluang makan ayam goreng pada kadar yang lebih murah itu.

"Sekitar 6,000 won (RM20.07) untuk ayam goreng adalah benar-benar murah dan saya benar-benar ingin membelinya kerana makan di luar menjadi mahal," kata Kim Jung-yeon, seorang wanita berusia 40an yang berbaris menunggu dalam barisan pada hari Rabu kepada akhbar Korea Joong Ang Daily baru-baru ini.

Ayam goreng dijual pada harga murah di rangkaian pasar raya Homeplus di Korea Selatan - Foto Homeplus

"Saya memang datang awal untuk beratur, tetapi saya lebih suka menghabiskan masa daripada membelanjakan tiga hingga empat kali ganda wang untuk satu buket ayam yang serupa itu," ujarnya lagi.

Mengulas tentang harga murah itu, Homeplus berkata pihaknya tidak menggunakan ayam murah sebagai umpan untuk menarik pembeli-pembeli sebaliknya menyatakan bahawa ia mampu menjana keuntungan walaupun harga yang dijual adalah murah.

Menurut syarikat tersebut, ia mengurangkan kos dengan membeli ayam dan bahan-bahan lain seperti perasa ayam dan minyak goreng secara pukal.

Berikutan itu, pasar raya Lotte Mart dilaporkan memutuskan untuk menurunkan harga satu buket ayam goreng yang mengandungi satu setengah ekor ayam kepada 8,800 won (RM29.43) daripada 15,800 won (RM52.84) selama seminggu manakala rangkaian peruncit di negara itu, Emart juga telah menjual seekor ayam goreng sedia untuk dimakan pada harga 9,980 won (RM33.38) sejak Julai lalu.

MERUGIKAN

Namun, pada masa yang sama, ia menghadapi tindak balas teruk daripada restoran ayam goreng francais yang mendakwa bahawa amalan jualan murah itu merugikan pemilik restoran-restoran kecil.

Sehubungan itu, ahli-ahli politik yang menyokong restoran francais itu telah menyebabkan Lotte Mart terpaksa berhenti daripada menjual ayamnya pada harga rendah.

Pada masa ini, ramai pemilik restoran francais telah merungut sekali lagi mengenai rangkaian pasar raya besar menurunkan harga ayam goreng dengan menggunakan kemahiran untuk membeli bahan-bahan secara pukal bagi memasak hidangan itu.

Dalam pada itu, para pemilik restoran berhujah bahawa mereka tidak mempunyai pilihan selain menaikkan harga ayam berikutan harga bahan mentah yang melambung tinggi dan kos penghantaran turut meningkat.

Ketika perang ayam berlaku di negara itu, pengusaha restoran ayam francais turut mengalami masalah kewangan dan menurut seorang pengusaha restoran ayam francais yang dikenali sebagai Choi, 60, memandangkan harga ayam francais telah meningkat kepada lebih 20,000 won (RM66.89), aduan daripada para pelanggan juga telah meningkat.

"Saya khuatir ayam dengan harga yang sangat rendah di pasar raya besar kerana ia tidak memerlukan kos penghantaran, jadi ia boleh membawa kepada kemusnahan ekosistem pengedaran untuk mereka yang bekerja sendiri dalam industri ayam," katanya seperti dilaporkan akhbar Korea Post English.

Walaupun kerajaan Korea Selatan mengambil langkah-langkah untuk mengatasi kenaikan harga barangan namun ia dijangka akan terus meningkat dalam satu jangka waktu berikutan kesan perang Ukraine. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca