PADA Selasa, sejarah telah tercipta apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas... Klik di sini untuk terus membaca

PADA Selasa, sejarah telah tercipta apabila Datuk Seri Najib Tun Razak menjadi bekas Perdana Menteri Malaysia pertama ke penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Selain Najib, terdapat beberapa lagi ahli politik negara yang pernah berdepan dengan hukuman penjara atau sedang memperjuangkan nasib di Mahkamah Rayuan.

HARUN

1. Allahyarham Datuk Seri Harun Idris

Seorang lagi ahli politik popular yang pernah menyandang jawatan sebagai Menteri Besar Selangor yang terkandas di penjara akibat rasuah dan salah guna kuasa ialah Allahyarham Datuk Seri Harun Idris yang ditangkap pada 24 November 1976 atas dakwaan 16 tuduhan.

Beliau merupakan Pengerusi Bank Rakyat didakwa memanipulasi jualan saham bank tersebut bagi mendapatkan dana menganjurkan pertarungan tinju antara legenda Muhammad Ali dan Joe Bugner di Malaysia.

Malah, insiden itu telah menyebabkan kerugian sebanyak RM7.9 juta yang perlu ditanggung oleh Bank Rakyat.

Harun dijatuhi hukuman penjara 2 tahun selepas didapati bersalah menerima rasuah sebanyak RM 250,000. Dia juga dihukum penjara 6 tahun kerana terlibat dalam skandal Bank Rakyat.

Harun masuk ke Penjara Pudu pada tahun 1978 dan dibebaskan selepas mendapat pengampunan diraja dari Yang Dipertuan Agong lepas jasa-jasanya dipertimbangkan pada 30 Ogos 1982.

Harun meninggal dunia pada 19 Oktober 2003 akibat serangan angin ahmar pada usia 78 tahun.

MOKHTAR

2. Allahyarham Datuk Mokhtar Hashim

Pada 6 Mac 1983, bekas Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Datuk Mokhtar Hashim dijatuhkan hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas didapati bersalah membunuh Speaker Dewan Undangan Negeri Sembilan, Datuk Mohamad Taha Talib.

Bagaimanapun, hukuman tersebut diubah kepada penjara seumur hidup dan beliau dibebaskan pada 10 Julai 1991 selepas mendapat pengampunan diraja.

Beliau meninggal dunia pada November 2020 di usia 68 tahun.

ANWAR


3. Datuk Seri Anwar Ibrahim

Anwar dipecat daripada jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan pada 2 September 1998, sebelum dipecat oleh UMNO keesokannya daripada jawatan Timbalan Presiden dan anggota parti itu atas dakwaan salah guna kuasa serta salah laku seksual.

Sejak pemecatan itu, bermulalah episod gelap dalam perjalanan kerjaya politiknya apabila beliau dijatuhi hukuman penjara enam tahun pada 14 April 1999 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas disabitkan atas empat kesalahan rasuah berhubung penyalahgunaan kuasa dengan campur tangan dalam penyiasatan polis terhadap dakwaan salah laku seksual.

Anwar kemudian dibebaskan pada 2 September 2004 selepas hampir enam tahun menjalani hukuman penjara.

Pada 28 Ogos 2008, Anwar kembali ke Dewan Rakyat setelah memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh atas tiket PKR apabila isterinya yang juga anggota Parlimen kawasan itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Ismail, meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepadanya untuk bertanding.

Anwar seterusnya berjaya mempertahankan kerusi Parlimen itu pada Pilihan Raya Umum Ke-13 pada 2013.

Anwar dijatuhi hukuman penjara lima tahun pada 7 Mac 2014 oleh Mahkamah Rayuan, yang mendapatinya bersalah meliwat pembantunya Mohd Saiful Bukhari Azlan, enam tahun sebelumnya.

Pada 16 Mei 2018, Anwar mendapat pengampunan penuh tanpa sebarang syarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Muhammad V.

Former Selangor Menteri Besar Dr Mohamad Khir Toyo.

4. Dr Mohamad Khir Toyo

Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo juga pernah meringkuk di dalam penjara selepas disabitkan atas pertuduhan menyalahguna kuasa sebagai penjawat awam bagi memperoleh dua lot tanah dan sebuah banglo di Shah Alam bernilai RM6.5 juta pada harga RM3.5 juta pada 2007 untuk dirinya dan isteri.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 bulan penjara terhadapnya namun beliau dibebaskan lebih awal dengan pengawasan parol selepas menjalani hukuman di Penjara Kajang selama enam bulan.

PAUL YONG

5. Paul Yong Choo Kiong

Mahkamah Tinggi Ipoh menjatuhkan hukuman penjara 13 tahun dengan dua sebatan terhadap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tronoh, Paul Yong Choo Kiong selepas didapati bersalah merogol pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia, tiga tahun lalu.

Hakim Datuk Abdul Wahab Mohamed menjatuhkan hukuman itu pada 27 Julai 2022 selepas mendapati pihak pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah di akhir kes pembelaan.

Bagaimanapun, mahkamah membenarkan permohonan peguam mewakili tertuduh, Datuk Rajpal Singh, untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman itu sementara rayuan difailkan di Mahkamah Rayuan.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan RM30,000 dengan seorang penjamin selain dokumen perjalanan, iaitu pasport tertuduh, diserahkan kepada mahkamah.

Klik di sini untuk terus membaca