SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd diakui menunjukkan satu kemajuan dalam pembinaan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Keputusan Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan sabitan ke atas bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung penyelewengan dana RM42 juta SRC International Sdn Bhd diakui menunjukkan satu kemajuan dalam pembinaan institusi lebih kuat di negara ini.

Bagaimanapun, bekas Profesor Dr Rozhan Othman berkata, dalam satu sudut beliau merasa sedih kerana proses itu memakan masa yang begitu lama bukan melibatkan perbicaraan semata-mata, tetapi melihat kepada kes tersebut yang seolah-olah cuba dilindungi sebelum 2018.

Menurutnya, keadaan itu sekaligus memberi gambaran berlakunya kegagalan institusi di negara ini ketika itu.

"Bukan saja perbicaraan tetapi sebelum 2018 itu, kes itu seolah-olah cuba dilindungi. Agensi-agensi yang sepatutnya menyiasat, yang menguatkuasakan undang-undang untuk membanteras salah laku ini boleh dikatakan bersubahat dalam melindunginya.

"Itu bagi saya adalah kegagalan institusi kita kerana kita lebih cenderung untuk membiarkan kesalahan pemimpin berbanding mempertahankan institusi yang kuat," katanya menerusi Program Bersama Johan Jaafar disiarkan secara langsung di platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau yang juga penulis berkata, sebagai sebuah negara demokrasi, adalah menjadi cabaran untuk Malaysia mewujudkan masyarakat yang mempunyai institusi-institusi yang kuat dan tidak bergantung kepada pemimpin yang kuat.

Katanya, ia juga membawa maksud agar turut mewujudkan sistem pertanggungjawaban yang kuat.

"Di antara tiang daripada sistem yang kuat ini, institusi terkuat adalah institusi kehakiman," katanya.

Najib pada 28 Julai 2020 didapati bersalah atas tiga tuduhan pecah amanah jenayah (CBT), satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berhubung dana RM42 juta yang dikaitkan dengan SRC International menyusuli perbicaraan di Mahkamah Tinggi.

Bekas Perdana Menteri itu dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta.

Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 mengekalkan hukuman dan sabitan ke atas Najib.

Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan turut mengekalkan hukuman dan sabitan berkenaan dan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat ketika membacakan keputusan lima panel hakim itu berkata, mahkamah tidak mendapati sebarang kesalahan dalam penghakiman yang dibuat Hakim Bicara ketika itu iaitu Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali.

Susulan itu, Najib telah Penjara Kajang pada Selasa untuk mula menjalani hukuman penjara yang ditetapkan.

Klik di sini untuk terus membaca