SHAH ALAM - Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, percaya masih ada sinar harapan bagi pihak berkuasa untuk menahan dan mengekstradiksi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia, biarpun peluangnya... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengamal undang-undang, Mohamed Haniff Khatri Abdulla, percaya masih ada sinar harapan bagi pihak berkuasa untuk menahan dan mengekstradiksi ahli perniagaan dalam buruan, Low Taek Jho atau Jho Low ke Malaysia, biarpun peluangnya tipis buat masa ini.

Mohamed Haniff Khatri menjelaskan pihak berkuasa Malaysia masih berpeluang menahan Jho Low jika Malaysia mendapat kerjasama sepenuhnya daripada pihak berkuasa antarabangsa termasuk Polis Antarabangsa (Interpol) dan Biro Siasatan Persekutuan (FBI).

Bagaimanapun beliau berkata, sehingga kini negara kuasa besar seperti Amerika Syarikat (AS), Kesatuan Eropah (EU) seperti United Kingdom (UK) dan China, dikatakan masih gagal mengesan kedudukan Jho Low yang dikehendaki oleh pihak berkuasa Malaysia kerana terbabit kes penyelewengan dana berbilion ringgit milik syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Katanya, kes berkenaan amat rumit kerana berkait rapat dengan kesungguhan pihak berkuasa asing untuk memberi kerjasama dan mendedahkan lokasi sebenar Jho Low menyembunyikan diri selama ini.

"Penulis buku berkaitan skandal 1MDB, bertajuk 'Billion Dollar Whale', Tom Wright, juga pernah mempertikaikan kenapa negara seperti UK, AS, Switzerland, Hong Kong dan Emeriah Arab Bersatu (UAE) berdiam diri mengenai 'misteri' kehilangan Jho Low.

"Tindakan negara berkenaan menimbulkan persoalan dan spekulasi mengenai ketelusan dan kejujuran mereka dalam membantu Malaysia menyelesaikan kes skandal jenayah 1MDB," katanya kepada Sinar Premium pada Rabu.

MOHAMED HANIFF KHATRI - FOTO SINAR HARIAN / ROSLI TALIB

Mohamed Haniff Khatri berkata demikian ketika mengulas sama ada pihak berkuasa Malaysia berkemampuan untuk menahan dan membawa pulang Jho Low dengan bantuan antarabangsa termasuk Interpol dan FBI bagi siasatan kes penyelewengan dana 1MDB sehingga mengakibatkan bekas Perdana Menteri ke-6, Datuk Seri Najib Tun Razak kini menjalani hukuman penjara selama 12 tahun, mulai Selasa.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta yang dikenakan ke atas Najib kerana didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib sememangnya tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Mohamed Haniff Khatri percaya jika negara barat seperti AS benar-benar serius Jho Low pasti dapat diberkas.

"Sebagai contoh kalau kita ingat mengenai kes salah laku rasuah membabitkan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (Fifa) di mana kerajaan AS menggunakan khidmat FBI untuk menahan Presiden Fifa, Sepp Blatter dan beberapa pegawai kanannya di Switzerland kerana jenayah dilakukan mereka di negara berkenaan.

"Jadi bagi saya jika negara berkuasa seperti AS, UK dan China ikhlas, 'mahu seribu daya dan tidak mahu seribu dalih' untuk membantu Malaysia menangkap dan mengekstradiksi Jho Low ke negara ini," katanya.

Beliau juga tidak menolak kemungkinan bahawa Jho Low ada membuat perjanjian atau hubungan dengan pihak tertentu untuk membolehkan dia bersembunyi di negara berkenaan.

"Saya percaya jika hubungan antara Jho Low dengan pihak berkenaan menjadi rapuh dan putus, maka mereka mungkin dengan sendiri akan menghantar ahli perniagaan dalam buruan itu pulang kepada pihak berkuasa Malaysia," katanya.

JHO LOW

Pun begitu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan pula menegaskan kaedah terbaik ketika ini untuk mengesan dan menangkap Jho Low adalah dengan meminta bantuan daripada Interpol.

"Cara untuk kesan Jho Low boleh dilakukan melalui kerjasama Interpol. Polis Diraja Malaysia (PDRM) boleh mengeluar Notis Merah dengan menyatakan kesalahan yang telah lakukan bersama dengan waran tangkap.

"Interpol akan menguar-uarkan Notis Merah kepada semua negara ahli Interpol meminta mereka mengesan Jho Low. Jika dapat dikesan pihak berkuasa boleh memohon ekstradisi untuk membawa balik Jho Low untuk menghadapi tuduhan di Malaysia," katanya dalam jawapan ringkas kepada Sinar Premium.

Untuk rekod, pada 13 Disember lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani, mengesahkan pihaknya sudah memperoleh Notis Merah terhadap Jho Low dan Nicky Liow Soon Hee daripada Interpol.

Notis Merah terhadap Jho Low diperoleh pada 11 Jun 2018, manakala notis terhadap individu yang dipercayai terbabit dalam aktiviti Macau Scam, Nicky Liow diperoleh pada 20 April lalu.

Berikutan itu, Acryl Sani berkata terdapat dua kategori Notis Merah Interpol iaitu yang boleh dikongsi bagi paparan dan maklumat awam dan satu lagi dihadkan untuk diakses oleh agensi penguat kuasa.

Bagaimanapun beliau menegaskan Notis Merah dikeluarkan terhadap Jho Low dan Nicky Liow adalah untuk tatapan agensi penguatkuasaan sahaja.

Najib ketika ini berhadapan dengan 25 tuduhan melibatkan skandal 1MDB, dengan 21 daripadanya membabitkan pengubahan wang haram berhubung duit RM2.6 bilion atau AS$681 juta yang masuk ke akaun peribadinya pada Mac 2013.

21 pertuduhan itu terbahagi kepada tiga jenis kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pertuduhan itu masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Klik di sini untuk terus membaca