SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkemungkinan menjadi pemimpin de-facto seperti yang dilakukan oleh Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pernah dihukum penjara.
Pensyarah Sosiologi Politik, Pusat Pengajian Sains Kemasyarakatan, Universiti Sains Malaysia, Profesor Dr Sivamurugan Pandian berkata, Najib barangkali juga akan meneruskan subjek perjuangan politiknya dari persekitaran yang berbeza berbanding sebelum ini.
"Najib adalah satu institusi yang mana sosok figura ini telah membawa kebangkitan kepada UMNO pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.
"Reputasi parti itu berkemungkinan akan naik, kita tidak nafikan kerana dalam ada kalangan segelintir yang melihat kepada jasa beliau.
"Malah, saya melihat itu bukan pengakhiran kepada Najib kerana beliau mampu menjadi pemimpin de-facto seperti mana yang dimainkan oleh Anwar dari dalam penjara,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.
Pada Selasa, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan akhir Najib untuk mengetepikan sabitan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM 210 juta terhadapnya berhubung penyelewengan dana Syarikat SRC International Sdn Bhd.
Sementara itu, ulas Sivamurugan, kes tersebut sudah tentu mencetuskan perbezaan pendapat dari pelbagai pihak dan mampu memberi impak kepada negara.
"Penyokong tegar Najib akan beranggapan kes ini tidak adil dan bagi mereka yang menjadi pesaing politik beliau, akan melihat ia adalah satu keadilan kepada sistem.
"Dari sudut pandangan yang berbeza, sudah pasti menghasilkan satu impak kepada negara kerana beliau ialah personaliti besar, tokoh atau figura yang berjasa, kemudian telah disabitkan kesalahan.
"Jadi ada melihat kepada jasa beliau dan ada juga yang melihat kepada apa yang telah berlaku di mahkamah,” ujarnya.
Bagaimanapun, menurut Sivamurugan, kes tersebut tidak seharusnya mengganggu dan memanjangkan ketidakstabilan negara sehingga boleh mempengaruhi usaha merancakkan ekonomi serta memperbaiki struktur sosial.
"Yang penting bagi negara juga adalah memastikan apa sahaja yang direncanakan untuk masyarakat perlu diteruskan tanpa ada gangguan daripada mana-mana pihak.
"Kes Najib harus kita andaikan ia sudah berakhir.
"Episod ini sewajarnya tidak merencatkan usaha merapatkan barisan, memperkukuhkan jentera dan memperbaiki apa yang ada untuk masa depan yang lebih baik untuk semua anggota masyarakat,” jelasnya.
Klik di sini untuk terus membaca