SHAH ALAM - Pengarang bersama buku skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Billion Dollar Whale, Tom Wright menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan badan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Pengarang bersama buku skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB), Billion Dollar Whale, Tom Wright menegaskan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan bersalah terhadap Datuk Seri Najib Tun Razak membuktikan badan kehakiman negara tidak dipengaruhi oleh mana-mana pihak termasuk bekas Perdana Menteri itu sendiri.

Malah Wright berkata, keputusan tersebut turut menunjukkan sistem kehakiman Malaysia adalah jauh lebih ‘sihat’ daripada sangkaan ramai.

"Tujuh tahun lalu Najib memecat bekas Peguam Negara, (Tan Sri Abdul Gani Patail) namun dengan keputusan Mahkamah Persekutuan semalam, beliau tidak dapat mempengaruhi badan kehakiman.

"Walaupun Najib masih boleh cuba mendapatkan pengampunan diraja bagi kesalahannya namun ia tetap satu petanda dan langkah positif untuk Malaysia,” kata Wright secara eksklusif kepada Sinar Premium pada Rabu.

Selasa lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Dalam pada itu Wright menambah, langkah seterusnya selepas selesai penghakiman SRC International adalah merungkai skandal 1MDB yang turut melibatkan bekas Perdana Menteri keenam itu.

Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International. - Foto Bernama

Wright merupakan antara individu yang banyak membuat pendedahan kontroversi berhubung penipuan kewangan terbesar, 1MDB sejak tujuh tahun lalu.

Antaranya pada Julai 2015, Wright yang ketika itu berkhidmat di Wall Street Journal mendedahkan sejumlah AS$681 juta (RM2.6 bilion) yang masuk ke akaun peribadi Najib adalah daripada 1MDB.

Menurut Wright, akibat pendedahan tersebut Najib pernah mengancam untuk menyaman bekas majikannya itu.

Mengulas tentang Low Taek Jho atau Jho Low, Wright berkata, ahli perniagaan buruan tersebut merupakan kepingan puzzle terpenting dalam kes 1MDB dan harus segera dibawa pulang untuk dihadapkan ke muka pengadilan.

"Jho Low disyaki berada di China dan perlu dijejaki serta dibawa pulang ke Malaysia untuk berdepan penghakiman,” tegas Wright.

Beliau juga menyeru negara-negara lain yang terpalit isu 1MDB agar memainkan peranan aktif dan mengenakan hukuman terhadap sesiapa yang terlibat menggelapkan dana 1MDB yang sepatutnya digunakan untuk memacu ekonomi Malaysia.

"Terkini hanya Malaysia dan Singapura telah memenjarakan individu terlibat dengan kes tersebut. Tiba masa negara-negara lain memainkan peranan,” katanya.

Najib dihadapkan 25 tuduhan melibatkan skandal 1MDB, dengan 21 daripadanya membabitkan pengubahan wang haram berhubung duit RM2.6 bilion atau AS$681 juta yang masuk ke akaun peribadinya pada Mac 2013.

21 pertuduhan itu terbahagi kepada tiga jenis kesalahan mengikut Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Pertuduhan itu masih berlangsung di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Klik di sini untuk terus membaca