BERGELAR Ketua Hakim Negara, nama Tun Tengku Maimun Tuan Mat mula menjadi sebutan dan perhatian ramai apabila mempengerusikan panel lima hakim bagi mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta... Klik di sini untuk terus membaca

BERGELAR Ketua Hakim Negara, nama Tun Tengku Maimun Tuan Mat mula menjadi sebutan dan perhatian ramai apabila mempengerusikan panel lima hakim bagi mendengar rayuan akhir Datuk Seri Najib Tun Razak berhubung kes penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Di sebalik senyuman manis anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu terpancar jelas kredibiliti dan ketegasan beliau dalam melaksanakan tugas sepanjang lima hari prosiding yang bermula pada 15 Ogos lalu.

Namun hakikatnya bukan mudah mengetuai perbicaraan yang dihadapi bekas Perdana Menteri keenam itu kerana ia turut menjadi tumpuan ramai termasuk ‘penonton’ dari luar negara.

Kerana bebanan berat yang digalas itu juga, Tengku Maimun menerima ugutan dan ancaman daripada seorang lelaki menerusi media sosial sehingga memaksa campur tangan pihak Polis Diraja Malaysia.

Malah laporan media menyebut polis mengesahkan menerima laporan terhadap Tengku Maimun berhubung integriti beliau sebagai pengerusi panel rayuan akhir tersebut.

Berbalik kepada tekanan di mahkamah, selain berdepan ‘kerenah’ pihak pembelaan yang sering memohon penangguhan prosiding, pembelaan turut mengemukakan permohonan agar Tengku Maimun menarik diri daripada mendengar rayuan Najib.

Permohonan dibuat atas alasan suami Tengku Maimun pernah membuat hantaran di Facebook yang disifatkan Najib mempunyai pandangan negatif terhadap kepimpinan beliau sebagai Perdana Menteri.

Mahkamah bagaimanapun menolak permohonan tersebut susulan tiada hubung kait antara catatan Facebook suaminya pada tahun 2018 dengan rayuan akhir Najib.

Tengku Maimun kemudian terus mempengerusikan panel lima hakim terbabit sehingga ke akhir prosiding di mana Najib diputuskan ke Penjara Kajang bagi menjalani hukuman 12 tahun penjara dan denda RM210 juta bermula Selasa.

Antara petikan menarik Tengku Maimun ketika kes SRC berlangsung:

1. Ketika menolak permohonan peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah untuk menangguhkan pendengaran permohonan Najib agar Ketua Hakim Negara itu menarik diri.

"Kalau kita selesaikan semuanya hari ini, tiada siapa yang akan berada di sini esok.”

2. Ketika membaca keputusan rayuan akhir Najib

"Mengenai keseluruhan bukti, kami mendapati sabitan ke atas semua tujuh pertuduhan ke atas perayu adalah selamat. Kami juga mendapati hukuman yang dijatuhkan adalah tidak keterlaluan. Oleh itu, rayuan ini ditolak sebulat suara dan sabitan serta hukuman dikekalkan.”

"Oleh itu, kami tidak boleh menyimpulkan bahawa mana-mana dapatan Mahkamah Tinggi, seperti yang dikekalkan oleh Mahkamah Rayuan adalah songsang atau jelas salah sehingga memerlukan campur tangan rayuan.”

"Kami bersetuju pembelaan perayu sememangnya tidak konsisten sehingga tidak menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.”

"Dalam keadaan ini dan selepas meneliti bukti, penghujahan dan rekod rayuan yang lain, kami mendapati aduan perayu seperti terkandung dalam petisyen rayuan ini tiada sebarang merit.”

10 FAKTA TENTANG TENGKU MAIMUN TUAN MAT

Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah (kanan) berkenan mengurniakan surat cara pelantikan kepada Tengku Maimun pada Istiadat Mengadap dan Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Setia Memegang Jawatan Ketua Hakim Negara di Istana Negara pada 2019.

1. Memegang Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang (Kepujian) (LL. B.) dari Universiti Malaya, beliau menamatkan pengajiannya pada tahun 1982.

2. Anak kelahiran Kota Bharu, Kelantan itu memulakan kerjaya pada tahun 1982 sebagai Pegawai Undang-Undang di Lembaga Pembangunan Kelantan Selatan (KESEDAR) dan kemudian Majlis Perbandaran Seremban.

3. Beliau menyertai perkhidmatan kehakiman dan perundangan pada tahun 1986 sebagai Penolong Penggubal Parlimen di Bahagian Penggubalan Jabatan Peguam Negara.

4. Dalam tempoh 19 tahun, beliau berkhidmat sebagai Majistret di Mahkamah Port Dickson; Peguam Persekutuan di Biro Bantuan Guaman Kuala Terengganu; Penolong Kanan Pendaftar di Mahkamah Tinggi di Seremban; Timbalan Pendaftar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur; Pegawai Khas kepada Hakim Besar Malaya dan Ketua Hakim Negara; Hakim Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur; Pendaftar di Mahkamah Tinggi Malaya merangkap Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia.

5. Jawatan terakhir beliau di dalam Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan adalah sebagai Ketua Pendaftar Mahkamah Persekutuan Malaysia dari 2005 hingga 2006.

6. Pada 2 Oktober 2006, Tengku Maimun dilantik sebagai Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur manakala pada 5 September 2007, wanita hebat itu telah dinaikkan pangkat sebagai Hakim Mahkamah Tinggi Malaya di Kuala Lumpur.

7. Pada 8 Januari 2013, Tengku Maimun dilantik sebagai Hakim Mahkamah Rayuan. Pada 26 November 2018, beliau memegang jawatan Hakim Mahkamah Persekutuan.

8. Pada 2 Mei 2019, beliau telah dilantik sebagai Ketua Hakim Negara oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas nasihat Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

9. Pada 17 Ogos 2020, Tengku Maimun dikurniakan Darjah Seri Setia Mahkota yang membawa gelaran Tun.

10. Tengku Maimun mendirikan rumah tangga dengan pasangannya, Datuk Zamani Ibrahim dan dikurniakan empat cahaya mata.

Klik di sini untuk terus membaca