PERBICARAAN ahli politik wanita kedua Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner berhubung satu skandal rasuah semasa beliau memimpin negara tersebut kini semakin hampir menuju ke pengakhirannya. Kirchner, 69, pernah menjadi Presiden... Klik di sini untuk terus membaca

PERBICARAAN ahli politik wanita kedua Argentina, Cristina Fernandez de Kirchner berhubung satu skandal rasuah semasa beliau memimpin negara tersebut kini semakin hampir menuju ke pengakhirannya.

Kirchner, 69, pernah menjadi Presiden Argentina dari tahun 2007 hingga 2015 dan ketika ini masih memegang jawatan Naib Presiden sejak tahun 2019.

Beliau kini dibicarakan dengan 12 individu lain kerana didakwa menipu negara dan mengalih dana awam semasa penggal pemerintahannya sebagai Presiden 2007-2015 selepas tuduhan ke atasnya dibicarakan di mahkamah mulai tahun 2019.

Perbicaraan itu cuba menentukan sama ada beliau dan pegawainya memihak kepada sebuah firma milik seorang ahli perniagaan, Lazaro Baez yang berjaya mendapatkan berpuluh-puluh projek awam di wilayah Patagonia, selatan Argentina iaitu kubu kuat politiknya.

Skandal itu timbul pada tahun 2018 selepas media tempatan memperoleh diari yang disimpan oleh pemandu kenderaan untuk seorang bekas pegawai kerajaan yang menurut penyiasat mengkatalogkan pembayaran rasuah daripada syarikat pembinaan yang dihantar ke pejabat kerajaan dan kediaman persendirian Kirchner.

Sehubungan itu, perbicaraan ke atasnya bermula pada Mei 2019 dan lebih daripada 100 saksi dipanggil, namun terpaksa ditangguhkan pada tahun 2020 kerana pandemik Covid-19.

Kirchner berdepan dengan dakwaan penipuan pemberian kontrak-kontrak kerja awam di wilayah Patagonia iaitu kubu kuat politiknya yang didakwa menguntungkan seorang ahli perniagaan, Lazaro Baez.

Baez didakwa mengenakan bayaran berlebihan untuk projek-projek itu dan Kirchner turut menjadi sasaran sejumlah siasatan bagi jenayah termasuk pengambilan rasuah, pengubahan wang haram dan menghalang keadilan selain beliau yang juga dikenali sebagai sekutu keluarga Kirchner kemudiannya disabitkan dengan rasuah.

Dalam satu kenyataan yang dikeluarkan beberapa jam sebelum perbicaraan bermula pada Mei 2019, bekas Presiden Argentina tersebut menganggap dakwaan ke atasnya dibuat sebagai tindakan penganiayaan baharu yang didalangi oleh Presiden ketika itu, Mauricio Macri.

Walaupun didakwa dengan dakwaan rasuah, Kirchner tetap bertanding dalam pilihan raya umum pada Oktober 2017 untuk jawatan Naib Presiden dan memenanginya bersama regunya, Alberto Fernandez yang kemudian menjadi Presiden negara tersebut dengan menumbangkan Macri.

Kirchner yang mewakili Parti Rakyat Bersatu tidak lagi boleh bertanding untuk mempertahankan jawatan Presiden kerana Perlembagaan negara itu tidak membenarkan mana-mana calon memegang jawatan tersebut melebihi dua penggal berturut-turut menyebabkannya bertanding untuk jawatan Naib Presiden.

Di sebalik pelbagai dakwaan rasuah itu yang kemudian telah dinafikannya, ahli politik veteran tersebut tetap disayangi oleh berjuta-juta rakyat Argentina berpendapatan rendah setelah mendapat manfaat daripada perbelanjaan sosial kerajaan ketika beliau memerintah negara tersebut.

MENIPU

Pada Isnin lalu, Pendakwa Raya, Diego Luciani dalam hujah penutupnya menuduh di mahkamah bahawa Kirchner telah menipu negara dan terlibat dalam skim berkaitan pengalihan dana awam sepanjang dua penggal beliau sebagai Presiden antara tahun 2007 sehingga 2015.

Luciani menggelarkan kes tersebut sebagai muslihat rasuah terbesar yang pernah diketahui berlaku di Argentina dan juga meminta mahkamah untuk menggugurkan kelayakan kehidupan istimewanya, sekali gus akan menghalang bekas Presiden itu daripada memegang jawatan awam sepanjang hayatnya.

Pendakwa raya itu juga menuduh Kirchner menggunakan kedudukan politiknya kerana didakwa mengutamakan kepentingan peribadi berbanding kepentingan awam dan menipu masyarakat selain meminta kepada hakim supaya menjatuhkan hukuman 12 tahun penjara.

Hukuman penjara terhadap Kirchner akan disahkan oleh Mahkamah Agung Argentina terlebih dahulu. - Foto AFP

Sergio Mola iaitu seorang lagi pendakwa raya berkata dalam hujah penutupnya pada Isnin lalu bahawa terdapat penyelewengan sistematik dalam tender dalam tempoh 12 tahun yang berkata, bekas Presiden tersebut telah berusaha untuk menipu melalui kebijaksanaan dalam penggunaan dana.

"Terdapat penyelewengan sistematik dalam 51 tender bagi tempoh 12 tahun. Bukti menunjukkan terdapat gerakan haram secara muktamad. Adalah tidak boleh dipercayai bahawa Cristina Fernandez (Kirchner) tidak mengetahui apa-apa," katanya dalam hujah seperti dilaporkan AFP.

Kirchner pula mempetahankan dirinya daripada dakwaan rasuah tersebut menerusi Twitter pada Selasa lalu dengan mendakwa bahawa beliau menghadapi "skuad penembak media dan undang-undang" dan "bukannya mahkamah perlembagaan."

Beliau juga mendakwa bahawa pihak pendakwaan melanggar prinsip terbuka pembelaan di mahkamah dengan menuduhnya atas pertuduhan yang tidak pernah disebut sebelum ini.

"Tiada apa-apa, sama sekali tiada apa yang mereka katakan telah terbukti," kata Kirchner iaitu seorang peguam perdagangan yang menjadi Presiden dari 2007 hingga 2015 selepas menggantikan mendiang suaminya, Nestor Kirchner.

Bekas Presiden itu juga menyebut bahawa beliau tidak pernah diberi peluang untuk memberi keterangan mengenai elemen baharu yang dikemukakan dalam kes berkenaan dan akan terus menggunakan media sosial bagi membela dirinya daripada dakwaan tersebut.

Sebelum ini, Kirchner cuba memohon supaya Luciani yang merupakan pendakwa raya dan Hakim Rodrigo Gimenez Uriburu sera Jorge Gorini menarik diri daripada terlibat dalam perbicaraannya tetapi permintaannya ditolak.

Adakah bekas Presiden tersebut akan dibebaskan daripada sabitan rasuah terhadapnya hanya akan diketahui pada akhir tahun ini tetapi Luciani yelah menggelarkan kesnya itu sebagai muslihat rasuah terbesar yang pernah diketahui berlaku di Argentina. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca