TAHNIAH kepada semua rakyat Malaysia yang membenci rasuah apabila Datuk Seri Najib Razak memulakan malam pertama untuk hukuman penjara 12 tahun beliau.
Beliau bukti hidup bahawa sekalipun orang 'kayangan' daripada dinasti politik dan kaya sehingga boleh tukar peguam macam tukar baju, kalau mereka mencuri dana awam, mereka tetap boleh masuk penjara seperti orang kebanyakan yang mencuri petai atau milo, malah jauh lebih lama.
Korea Selatan memegang rekod dunia yang menghantar paling ramai pemimpin negara yang menyalahgunakan kuasa ke penjara.
Bermula 1996, empat orang Presiden Korea Selatan: Chun Doo-hwan, Roh Tae-woo, Lee Myung-bak dan Park Guen-hye, telah menjadi banduan kerana pengkhianatan atau rasuah. Lee akan meringkuk dalam penjara selama 17 tahun sehingga 2037.
Maka, selepas 39 tahun Malaysia mengamalkan Dasar Pandang ke Timur atas Korea Selatan, kini kita akhirnya mencontohi keberanian 'tok guru' kita.
Keempat-empat Presiden Korea Selatan yang dipenjarakan datang daripada parti utama puak kanan (yang namanya bertukar-tukar), tetapi parti ini baru saja memenangi pilihan raya 2022 dan sekali lagi menerajui negara.
Mengapa? Kenapa parti kanan ini menerima keputusan mahkamah dan tidak cuba menegakkan benang yang basah dengan cuba menyerang institusi kehakiman. Maka, kesalahan pemimpin lama tidak menjahanamkan partinya dalam jangka panjang.
Malah, tiga mantan presiden juga meminta maaf atas kesalahan dan akhirnya diampun setelah meringkuk dalam penjara beberapa tahun atas pertimbangan pendamaian politik.
Ini bukan sains roket yang rumit: kalau pesalah enggan mengaku salah, pengampunan menjadi penghinaan undang-undang, kehakiman dan rakyat. Kalau parti ingin membela pesalah, maka patutlah parti dihukum sekuat-kuatnya dalam pilihan raya.
Kerana Najib bebas dan terus menguasai panglima-panglima perang UMNO sehingga Selasa, UMNO tidak benar menerima hukuman rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan seterusnya keputusan mahkamah.
Kekalahan UMNO dalam PRU14 bukan saja kerana Najib sebagai presidennya merompak kekayaan negara, tetapi lebih-lebih lagi kerana seluruh UMNO menjadi pembela perasuah.
Ini sejarah hitam UMNO yang tidak diiktiraf oleh UMNO sendiri tetapi sering menuduh itu fitnah pembangkang.
Tiada bumi yang tidak ditimpa hujan. Lebih salah daripada melakukan kesalahan ialah membela kesalahan.
Barisan hakim di Mahkamah Persekutuan pimpinan Tun Tengku Maimun Tuan Mat telah memberikan peluang untuk UMNO membebaskan dirinya daripada sejarah hitamnya.
Maka UMNO seharusnya mengambil peluang keemasan ini untuk mengasingkan dirinya dengan sejarah hitamnya.
Mana-mana pemimpin, tak kira yang muda atau tua, kalau inginkan kredibiliti sebagai reformis, janganlah cuba menyerang kehakiman, Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC), pembangkang atau mana-mana institusi lain atas 1MDB, LCS atau skandal yang lain.
Sertailah kempen Rasuah Busters pimpinan media dan masyarakat sivil yang memerangi rasuah.
Sokonglah pendirian Perdana Menteri yang menjunjung pengasingan kuasa dan tidak campur tangan dalam kes mahkamah.
Najib mungkin berkarisma dan menabur budi peribadi kepada pemimpin dan ahli UMNO. Kunjungilah beliau di Kajang saja. Ini saatnya UMNO mesti cinta Malaysia melebihi Najib.
Makan salai goreng bawang
Bertolak dari Jempol ke Tampin
Jangan khianat rakyat kerana wang
Jangan musnah negara kerana pemimpin
* Profesor Wong Chin Huat (chinhuatw@gmail.com) ialah seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, politik parti dan demokrasi berparlimen.
Klik di sini untuk terus membaca