SHAH ALAM - Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan cadangan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta BN tidak perlu mengemukakan sebarang calon 'poster boy' pada Pilihan... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menyifatkan cadangan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi meminta BN tidak perlu mengemukakan sebarang calon 'poster boy' pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) sebagai tidak matang, melampau dan memecahbelahkan parti.

Lebih agresif, Ahli MKT UMNO yang juga Ketua UMNO Bahagian Subang, Datuk Armand Azha Abu Hanifah turut melabelkan bekas Ketua Pengarah Jabatan Hal Ehwal Khas (Jasa) itu sebagai liabiliti parti apabila mengeluarkan kenyataan berlandaskan emosi semata-mata.

Jelas beliau, sebagai salah seorang ahli MKT, Mohd Puad seharusnya menyedari keputusan pemilihan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai 'poster boy' PRU15 sudah diputuskan badan tertinggi parti itu secara sebulat suara.

"Sepatutnya beliau perlu memastikan akar umbi tenang dalam menerima hakikat keputusan mahkamah melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan lebih fokus menghadapi PRU15.

"Bukannya Mohd Puad selaku seorang pemimpin tinggi parti mengeluarkan kenyataan beremosi mungkin menjadi punca keretakan parti. Kepada Puad Zarkashi, jangan ulangi perbuatan anda pada PRU14 apabila anda bertindak menyerang kerajaan sewaktu menjadi Ketua Pengarah JASA hanya kerana tidak dicalonkan bertanding," ujar beliau kepada Sinar Premium pada Rabu.

Susulan Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Najib berhubung sabitan tujuh pertuduhan jenayah melibatkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, Puad yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Rengit secara berlapik mendakwa parti itu tidak lagi memerlukan 'poster boy' PRU15.

Tanpa menamakan sesiapa, Mohd Puad berkata, individu yang dinamakan sebagai poster boy itu sudah tidak relevan lagi pada waktu ini.

Hal itu kerana tambahnya, ia boleh menjadi percaturan yang silap oleh UMNO dan akan menjadi senjata memakan tuan, selain menyediakan bola tanggung kepada pembangkang.

UMNO sebelum ini sebulat suara menamakan Ismail Sabri sebagai 'poster boy' bagi menarik sokongan orang ramai kepada mereka selepas ditolak pada PRU14 lalu.

Penamaan itu bagaimanapun menimbulkan rasa curiga segelintir pemerhati politik susulan hubungan pemimpin atasan parti dan Ahli Parlimen Bera berkenaan secara tersiratnya dilihat tidak begitu positif.

Lebih-lebih lagi, terdapat percanggahan pandangan di antara mereka dalam membincangkan soal 'timing' pembubaran Parlimen.

Sementara itu, Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Jalaluddin Alias kesal dengan sikap Mohd Puad mengeluarkan kenyataan sedemikian, seolah-olah untuk mengeruhkan lagi keadaan dalam parti.

Dengan keputusan pemilihan Ismail Sabri sebagai poster boy merupakan pendirian rasmi parti, Ahli MKT UMNO itu berpandangan sepatutnya pemimpin-pemimpin utama seperti Mohd Puad menjadi medium perpaduan ahli-ahli parti.

"Mengapa mesti keluarkan kenyataan mengeruhkan keadaan? Sepatutnya kita menjadi medium memperkukuhkan parti dan membawa parti maju ke hadapan melalui usaha mengharmonikan akar umbi. Saya tidak bersetuju pandangan sebegitu dilontarkan.

"Sebelum kita keluarkan pandangan, kena nilai adakah pandangan itu pandangan peribadi atau pandangan parti? Saya fikir pandangan sebegini melampau dan tidak sepatutnya dilafazkan oleh seorang pemimpin tertinggi UMNO seperti Mohd Puad," tegasnya.

Dalam pada itu, Timbalan Pengerusi UMNO Perak, Datuk Azian Osman berpendapat kenyataan dikeluarkan Mohd Puad adalah merupakan pandangan peribadi beliau dan tidak mewakili keseluruhan MKT UMNO.

"Dengan keputusan pemilihan 'poster boy' PRU15 sudah ditetapkan MKT, jadi kita harus kekal sahaja dengan keputusan itu," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca