SHAH ALAM - Tindakan membocorkan dokumen keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa dilakukan oleh individu yang berada dalam institusi kehakiman itu sendiri. Bekas... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tindakan membocorkan dokumen keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap kes rayuan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak itu didakwa dilakukan oleh individu yang berada dalam institusi kehakiman itu sendiri.

Bekas Presiden Majlis Peguam Malaysia, Abdul Fareed Abdul Gafoor berkata, ia berikutan hanya individu berjawatan tertentu mempunyai akses kepada dokumen tular berkenaan.

Justeru, katanya, tindakan tersebut merupakan suatu pelanggaran kerahsiaan dalam sistem mahkamah di negara ini.

"Kalau ia memang suatu draf yang berada dalam sistem mahkamah dan dibocorkan, bermakna berlaku perbuatan tidak amanah oleh pihak yang mempunyai akses kepadanya di atas kedudukan jawatan individu tersebut.

"Selain itu, ia juga dikira pelanggaran kerahsiaan jabatan berkenaan,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Beliau menegaskan, selagi mana dokumen berkenaan masih kekal sebagai draf, ia juga tidak memberi sebarang kesan atau nilai kepada sesuatu kes mahkamah.

"Dalam mahkamah ataupun mana-mana institusi, sememangnya akan ada berbagai dokumen dalam bentuk draf.

"Untuk mahkamah, selagi belum dimuktamadkan dan dibacakan, ia kekal sebagai suatu draf yang tidak mempunyai apa-apa kesan atau nilai,” ujar beliau.

Bagaimanapun, Abdul Fareed difahamkan perkara tersebut masih dalam siasatan polis.

Justeru, katanya, ia perlu disiasat dan tindakan dalaman juga perlu diambil terhadap individu tersebut.

Pada Selasa, dokumen didakwa kertas keputusan kehakiman itu dimuat naik di sebuah portal media tempatan.

Dokumen yang boleh dimuat turun itu juga dipercayai tular menerusi aplikasi WhatsApp dan media sosial lain.

Ia mengandungi keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib atas kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Klik di sini untuk terus membaca