BARU-BARU ini saya membaca dalam akhbar akan kenyataan beberapa pemimpin politik mengenai integriti dan rasuah. Seorang darinya memberi jawapan sebagai pembelaan diri dalam satu kes rasuah ke atasnya dalam kamar mahkamah bahawa beliau... Klik di sini untuk terus membaca

BARU-BARU ini saya membaca dalam akhbar akan kenyataan beberapa pemimpin politik mengenai integriti dan rasuah.

Seorang darinya memberi jawapan sebagai pembelaan diri dalam satu kes rasuah ke atasnya dalam kamar mahkamah bahawa beliau dilantik sebagai menteri kanan di sebuah kementerian yang penting adalah kerana beliau seorang yang berintegriti tinggi.

Ironinya orang yang melantik beliau sebagai menteri itu telah ditolak rayuan beliau oleh Mahkamah Persekutuan yang mengekalkan keputusan yang telah dibuat oleh dua mahkamah sebelum ini yang mendapati beliau bersalah di atas kesalahan rasuah dan jenayah.

Ini mengingatkan saya akan satu senario seorang ketua yang ada kecenderungan untuk menerima rasuah telah memilih dan melantik kawan beliau yang mempunyai profil dan kecenderungan yang hampir sama untuk mengisi jawatan penting dalam sebuah syarikat.

Bak kata perumpamaan dalam bahasa Inggeris "Birds of a feather flock together”. Cuma perumpamaan ini digunakan untuk perkara yang tidak begitu positif.

Pada masa yang sama seorang lagi pemimpin politik dari sebuah lagi parti politik mengeluarkan satu kenyataan yang amat baik iaitu sekiranya kita memilih pemimpin tidak berintegriti, ia adalah satu perbuatan khianat.

Beliau memberi justifikasi kepada kenyataan tersebut dengan menjelaskan bahawa pemimpin yang tidak berintegriti ini akan menguasai ekonomi negara dan akan menggunakannya bagi merosakkan politik, urusan pentadbiran dan kehakiman.

Setakat itu kenyataan beliau amat bertepatan dengan sentimen memerangi rasuah yang sedang diusahakan oleh pelbagai pihak.

Malangnya beliau tidak berhenti setakat itu, tetapi menyambung dengan ayat berikut ini: "Malah, mereka juga golongan yang paling besar merosakkan politik dan ekonomi negara, majoritinya daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera.”

Saya tidak pasti kenapa kenyataan sambungan ini perlu dikeluarkan. Apakah bukti empirikal yang menyebabkan beliau membuat andaian sedemikian?

Dalam bulan kita menyambut kemerdekaan dan memperingati negara bebas daripada penjajahan, serta pelbagai usaha yang dilakukan kerajaan melalui kempen Keluarga Malaysia sebagai usaha memupuk keharmonian dan perpaduan, tiba-tiba seorang pemimpin politik sebuah parti yang mempunyai jawatan dalam kerajaan bertaraf menteri telah mengeluarkan kenyataan yang boleh melukakan hati rakyat bukan Islam dan bukan bumiputera.

Sudah tentu kenyataan tersebut telah menjemput respons daripada pelbagai pihak yang menempelak kenyataan tersebut sebagai memalukan kerana ia tidak berasas dan berbentuk provokatif.

Transparency International Malaysia (TI-M) dalam kenyataan mereka melahirkan perasaan amat terkejut dan malu dengan kenyataan ini.

Menurut Presidennya, Dr Muhammad Mohan, mereka ingin mengetahui sumber dan data di sebalik dakwaan tersebut.

Saya kira ini satu soalan yang adil dan perlu dijawab oleh pemimpin politik tersebut.

Soalan yang sama saya juga kemukakan di perenggan awal tulisan saya ini. Saya sendiri cuba mencari jawapannya dengan meneliti data-data kajian dalam simpanan saya sebelum ini namun tidak menemui korelasi seperti mana yang didakwa oleh pemimpin politik ini.

Mungkin data dalam simpanan saya ini adalah kes-kes rasuah yang lalu. Mungkin pada firasat saya pemimpin bertaraf menteri ini mendapat bukti yang terkini untuk beliau membuat kenyataan tersebut.

Lalu saya membuka pangkalan data pesalah perasuah yang terdapat di laman sesawang Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana di sana semua kes yang telah disabitkan kesalahan dan yang menunggu rayuan yang terkini dipaparkan agar rakyat dapat melihat muka-muka pemberi dan penerima rasuah.

Secara rambang saya mengambil data daripada 10 muka pertama senarai daripada data pesalah rasuah pada laman sesawang SPRM.

Daripada 10 muka pertama, terdapat 80 orang yang dipaparkan di situ. Daripada 80 orang ini, 11 wanita dan 69 lelaki. 70 pesalah daripada 80 orang ini adalah rakyat Malaysia.

Daripada 70 rakyat Malaysia ini, 50 adalah Muslim dan hanya 20 yang bukan Muslim.

Saya kira semua pembaca boleh menyemak fakta ini secara terus sendiri di laman sesawang SPRM untuk mendapat bukti yang sahih.

Supaya kita kenal muka-muka perasuah dalam negara ini dan pada masa yang sama tidak mudah membuat tuduhan yang boleh melukakan hati rakyat daripada kaum dan agama lain.

Dalam konteks perpaduan dan integrasi kaum, semua usaha perpaduan dilaksanakan oleh Kementerian Perpaduan Negara akan menjadi sia-sia sekiranya kita membenarkan ucapan-ucapan seperti ini melukakan hati sesama rakyat.

Sama-samalah kita pupuk dan semai tapak perpaduan Malaysia, agar kita terus hidup dalam negara yang aman dan harmonis.

* Datuk Dr Anis Yusal Yusoff ialah Felo Utama di KITA, UKM. Beliau pernah menjadi Presiden Institut Integriti Malaysia dan Timbalan Ketua Pengarah GIACC, JPM.

Klik di sini untuk terus membaca