SERING disebut bahawa pengurusan hutan mestilah dilakukan secara mampan. Kaedah menguruskan perhutanan untuk pelbagai kegunaan tentunya akan memberi manfaat kepada ekologi, ekonomi, alam sekitar, sosial, nilai budaya untuk generasi kini dan... Klik di sini untuk terus membaca

SERING disebut bahawa pengurusan hutan mestilah dilakukan secara mampan.

Kaedah menguruskan perhutanan untuk pelbagai kegunaan tentunya akan memberi manfaat kepada ekologi, ekonomi, alam sekitar, sosial, nilai budaya untuk generasi kini dan akan datang.

Betapa pentingnya pengurusan hutan dan peranan hutan itu sendiri dalam mengekalkan kepelbagaian biologi sudah diperakui secara global.

Semua peringkat rakyat kini bercakap perkara yang sama – satu suara dan satu nada iaitu demi survival kehidupan manusia.

Ketika ini negara memang hadapi cabaran dalam pemeliharaan hutan. Fragmentasi hutan lama dikenal pasti ancaman serius terhadap pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.

Ini amat membimbangkan dan berpotensi membawa kesan besar kepada kehidupan akan datang.

Bermakna, kita perlu kepada pemerkasaan terhadap rancangan pengurusan landskap negara yang lebih mampan.

Pengurusan hutan yang mampan merujuk konsep dinamik yang bertujuan mengekal dan meningkatkan nilai ekonomi, sosial serta persekitaran bagi semua jenis hutan untuk memberi manfaat kepada generasi kini dan masa depan.

Dasar Perhutanan Malaysia merupakan aspirasi negara bagi memulihara dan mengekalkan kekayaan serta kelestarian ekosistem hutan yang bukan sahaja memenuhi kepentingan ekonomi, malah kepentingan ekologi dan persekitaran sekeliling.

Kita tidak boleh memandang remeh khazanah semula jadi negara. Melalui pelaburan jangka panjang di sektor perhutanan dan pembangunan dasar yang komprehensif, kita dapat memastikan kelestarian manfaat hutan untuk generasi masa hadapan.

Disebabkan kesedaran betapa berharganya memulihara khazanah hutan negara, kerajaan telah menyediakan peruntukan RM500 juta bagi fasa kedua program pembangunan ladang hutan untuk tempoh 2021 hingga 2025 kepada pengusaha yang berminat menceburi industri tersebut.

Bagi fasa pertama program itu telah dilaksanakan dari tahun 2017 hingga 2020 di mana sebanyak RM916.6 juta telah diperuntukkan kepada 75 syarikat bagi membangunkan 129,570 hektar ladang hutan.

Peruntukan ini merupakan pinjaman mudah kepada kumpulan pengusaha di mana mereka tidak perlu membayar balik pinjaman dalam tempoh 15 tahun selagi hasil perladangan belum dituai.

Ia bertujuan untuk mengurangkan kebergantungan industri perkayuan negara kepada hutan asli, sekali gus memastikan pembangunan industri perkayuan di negara ini menjadi mampan dengan sumber perkayuan pada masa akan datang berasal daripada perladangan hutan ini.

Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) telah menyediakan peruntukan pinjaman mudah berjumlah lebih RM1.508 bilion bagi membantu pengusaha industri ladang hutan bermula 2007 sehingga 2025.

Manakala terdapat 11 spesies pokok yang cepat membesar seperti eucalyptus, getah, paulownia, batai, buluh, binuang, jati khaya, sentang, akasia dan kelempayan sudah dikenalpasti dan diluluskan dalam program pembangunan ladang hutan.

Agenda utama kerajaan

Forest Plantation Development Sdn Bhd ditubuhkan bertujuan untuk mempromosikan, melaksanakan dan menguruskan peruntukan Program Pembangunan Ladang Hutan bagi fasa pertama dan fasa kedua ini.

Tanpa mengetepikan pembangunan, semestinya pemeliharaan dan pemuliharaan hutan patut dijadikan agenda utama kerajaan.

Ia bermaksud perlu adanya keseimbangan yang dinamik antara pembangunan dan pemeliharaan dan pemuliharaan hutan semula jadi.

Aktiviti pemuliharaan kawasan dan pembangunan yang membabitkan konsep guna semula kawasan yang sudah dibangunkan mungkin berupaya untuk mengekalkan kelestarian hutan negara.

Program ini menyokong pemulihan hutan yang terdegradasi, penceroboh hutan, tanah yang tidak produktif, dan kawasan hutan yang tidak membangun melalui penanaman spesies kayu yang bernilai tinggi dan cepat berkembang.

Usah kita lupa bahawa ekosistem hutan menyediakan banyak manfaat serta perkhidmatan sosio-ekonomi termasuklah peluang pekerjaan, rekreasi dan pelbagai sektor sosio-ekonomi yang lain.

Pengukuran ini menunjukkan cara yang jelas bagaimana hutan memberi manfaat kepada budaya dan ekonomi. Ini mampu menyokong masa depan industri perhutanan dan keupayaannya memberi perkhidmatan ekosistem untuk jangka masa panjang.

Tatkala satu dunia bergelut mendepani pandemik Covid-19, ada pihak yang mengambil peluang menceroboh kawasan hutan yang telah menyaksikan beberapa penangkapan individu ketika membersihkan hutan dengan tujuan menanam pokok getah dan buah-buahan.

Mereka ini terlupa bahawa perbuatan untuk kepentingan diri boleh mengheret kemusnahan alam sekitar.

Pada masa sama, negara dikejutkan dengan berita ada pihak yang menebang pokok, membakar dan meratakan tanah untuk tujuan pertanian.

Kejadian yang yang melekakan masyarakat ketika berdepan dengan ancaman Covid-19 turut menjejaskan masalah keselamatan dan persekitaran.

Di Raub, ada pihak yang mendakwa aktiviti pembalakan dan penerokaan tanah secara haram mengakibatkan air menjadi keruh terutama ketika musim hujan dan menyebabkan gangguan bekalan air di daerah terbabit.

Kegiatan haram yang berlaku di hutan juga akan memberikan kesan kepada suhu di sesuatu kawasan.

Lihat sahaja di Cameron Highlands yang berlaku kemusnahan harta benda disebabkan banjir kilat yang dikatakan berpunca daripada perubahan guna tanah akibat kegiatan penebangan hutan semula jadi di sana.

Apa yang saya kongsikan ini adalah sebahagian daripada faktor penyumbang kejadian banjir kilat yang turut memberi kesan kemusnahan harta benda dan nyawa penduduk.

Pihak-pihak tertentu, terutama agensi kerajaan sering dipersalahkan kerana gagal bertindak mempertahankan kemusnahan hutan.

Apa yang penting, kami sentiasa berusaha melaksanakan pelan tindakan pemuliharaan dan pemulihan kawasan hutan yang dimusnahkan dan memulakan program perlindungan di kawasan dikenalpasti yang boleh menyumbang kepada pengurangan risiko banjir sebagai sebahagian daripada pendekatan yang lebih menyeluruh.

* Kamaruzaman Othman ialah Ketua Pengarah Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB).

Klik di sini untuk terus membaca