SHAH ALAM - Tidak sampai 72 jam atau tiga hari menghuni Penjara Kajang, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Tidak sampai 72 jam atau tiga hari menghuni Penjara Kajang, bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini kembali ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, untuk menghadapi perbicaraan kes penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB) berjumlah RM2.3 bilion.

Bekas Presiden UMNO itu menghadapi empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk memperoleh suapan berjumlah RM2.3 bilion daripada dana 1MDB dan 21 pertuduhan pengubahan wang haram (AMLA) melibatkan jumlah yang sama.

Prosiding hari ini akan bersambung dengan mahkamah mendengar keterangan bekas Menteri Kewangan II, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah, yang akan diperiksa semula oleh pendakwaan.

Untuk rekod bagi kes rasuah, Najib didakwa mengikut Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah nilai suapan, atau RM10,000 mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kes AMLA, Najib didakwa mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Kenderaan utiliti sukan (SUV) diiringi pihak polis dan Jabatan Penjara yang membawa bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur hari ini, bagi sambungan perbicaraan berhubung kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dihadapinya. - Foto Bernama

Sehingga kini, seramai 25 saksi dipanggil untuk memberi keterangan dengan saksi terbaharu iaitu bekas Pengurus Kanan Jabatan Jualan Pertukaran Mata Wang Asing Ambank, Rosliza Ishak.

Terdahulu, Ahli Parlimen Pekan itu di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur, dengan menaiki kendera utiliti sukan (SUV) berwarna hitam kira-kira jam 8.30 pagi Khamis, diiringi pasukan khas polis dan pegawai penjara.

Difahamkan, Perintah Kehadiran (OTP) sudah dikeluarkan oleh pihak mahkamah supaya bekas Perdana Menteri itu menghadiri perbicaraan berkenaan di hadapan Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah.

Pada Selasa lalu, Najib dihantar ke Penjara Kajang untuk menjalani hukuman penjara selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Panel lima hakim dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman yang dijatuhkan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur ke atas beliau pada 28 Julai 2020.

Terdahulu, pada 8 Disember 2021, Najib turut gagal mengetepikan sabitan dan hukuman itu di peringkat Mahkamah Rayuan.

Dalam pada itu, bekas Perdana Menteri Malaysia ke-6 berkenaan, dijangka sekali lagi dibawa dari Penjara Kajang ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jumaat ini bagi perbicaraan dakwaan kes pindaan terhadap laporan akhir pengauditan 1MDB sebelum dibentangkan kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mengelakkan sebarang tindakan diambil terhadapnya.

Manakala, mantan Ketua Pegawai Eksekutif 1MDB, Arul Kanda Kandasamy pula didakwa bersubahat dengan Najib dalam membuat pindaan berkenaan bagi melindungi Ahli Parlimen Pekan itu daripada tindakan tatatertib, sivil atau jenayah berkaitan 1MDB.

Klik di sini untuk terus membaca