PENTADBIRAN kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk salah satu keunikan politik tanah air pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14). Buat pertama kali dalam sejarah, Presiden UMNO... Klik di sini untuk terus membaca

PENTADBIRAN kerajaan Keluarga Malaysia di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob termasuk salah satu keunikan politik tanah air pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Buat pertama kali dalam sejarah, Presiden UMNO tidak menjadi Perdana Menteri selepas pilihan raya.

Namun menariknya, persamaan antara ketiga-tiga Perdana Menteri (PM) selepas PRU14 adalah mereka semua lahir daripada DNA UMNO.

Sejak kejatuhan Pentadbiran Pakatan Harapan (PH), dua fasa kerajaan campuran telah wujud.

Pertamanya adalah fasa awal sewaktu hubungan Perikatan Nasional (PN) – Barisan Nasional (BN) yang dibayangi kejayaan pencapaian sifar Covid-19 pada Julai 2019 yang dipimpin Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua adalah fasa pergelutan antara UMNO-Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang semakin ketara dengan inisiatif kestabilan politik antara parti komponen kerajaan dengan pembangkang diwujudkan melalui konsep Keluarga Malaysia.

Pentadbiran pimpinan Ismail Sabri hingga kini telah melewati 13 perkara besar sepanjang pasang surut 12 bulan putaran politik tanah air.

MoU antara Kerajaan dan blok PH berjaya menstabilkan politik Malaysia.

1. MOU KERAJAAN-PH

Seawal lantikan beliau sebagai Perdana Menteri kesembilan, Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik menjadi langkah pertama demi menjamin kelangsungan pentadbirannya dalam jangka masa panjang.

MoU memberi indikasi legitimasi Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan dan juga komitmen beliau melaksanakan transformasi parlimen dan politik kerana menawarkan MoU seawal memasuki pejabat ketua kerajaan.

Namun, bagi pembangkang pula, rakyat melihat PH tidak mampu merealisasikan reformasi secara sendirian dan dilihat sebagai pembangkang lemah.

Namun institusi utama yang perlu diberikan penghargaan menekankan ke arah kejayaan MoU adalah institusi Yang di-Pertuan Agong yang menitahkan agar suhu politik diredakan demi mengutamakan kepentingan negara.

2. GAGASAN KELUARGA MALAYSIA

Keluarga Malaysia adalah legasi yang ingin ditinggalkan oleh Ismail Sabri sebagai PM.

Gagasan ini berdiri atas sentimen label semangat kekeluargaan seperti 'Abah' Muhyiddin, 'Pak Long' Mail dan Pak Ngah Hisham (Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein).

Sentimen ini turut diadunkan dengan konsep 1Malaysia oleh kerajaan BN sebelum ini.

Justeru, pembawaan gagasan ini memiliki elemen toleransi antara kerajaan PN dan BN dengan menyambung Pelan Pemulihan Negara dan juga melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah nama Keluarga Malaysia.

3. TEKANAN POLITIK SEGENAP SUDUT

Tekanan politik dari segenap sudut telah membingkaikan Ismail Sabri sebagai seorang PM yang seolah-olah berada dalam keadaan tertekan dan lemah.

Mengharungi tekanan politik di peringkat dalaman parti, antara parti komponen kerajaan dan parti pembangkang, beliau masih mampu mengemudi sebuah kerajaan yang berfungsi.

Namun, pastinya sikap beliau yang terlalu bertolak ansur dengan semua pihak sukar memuaskan hati pihak-pihak yang bercanggah.

4. PERALIHAN PANDEMIK KEPADA ENDEMIK: ASPEK PEMBUKAAN EKONOMI

Fasa peralihan endemik berjalan dengan lancar, berbeza berbanding sewaktu fasa awal peralihan dengan prosedur operasi standard (SOP) dan jenis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang mengelirukan.

Sepanjang proses transisi ini, perubahan yang ketara kurang dirasai kerana rakyat telah berada terlalu lama dalam PKP.

Namun, pada tahun 2022, fasa ini telah menunjukkan kesan positif secara makro apabila pertumbuhan ekonomi Malaysia direkodkan antara terpantas di Asia Tenggara pada kadar 8.9 peratus (Q2 2022).

Kadar pengangguran juga diturunkan 3.9 peratus pada Jun 2022 berbanding 4.1 pada April 2022.

Pemulihan negara daripada Covid-19 membolehkan pintu sempadan negara dibuka.

5. IMPLIKASI PRN JOHOR DAN MELAKA

Pembentukan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah telah menambah luka terhadap BN di peringkat pusat apabila Ketua Menteri dilantik bukannya daripada UMNO.

Sementara kemenangan solo BN pada Pilihan Raya negeri (PRN) Melaka dan Johor pada awal tahun ini telah menjadi pemangkin kepada desakan pembubaran parlimen yang lebih hebat terhadap Perdana Menteri.

Kemenangan ini juga turut lagi kerjasama politik antara parti komponen kerajaan BN-PN menjelang PRU15.

6. BANJIR TERBESAR LANDA LEMBAH KLANG, 3 NEGERI

Bencana terbesar telah memberi tamparan hebat terhadap kerajaan Ismail Sabri.

Ini kerana reaksi balas dan tempoh masa diambil oleh Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dalam memberi respon agak perlahan. Malahan ketika itu, beberapa menteri juga sedang bercuti di luar negara.

Peristiwa ini menjadi modal politik untuk tercetusnya adegan saling tuding jari antara kerajaan negeri dan persekutuan khususnya banjir teruk di Taman Sri Muda, Selangor.

Namun, Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di bawah kepimpinan Hishammuddin yang juga Bendahari Agung BN mendapat pujian rakyat kerana menjadi badan pertama diatur gerak menyelamatkan mangsa.

Banjir pada Disember tahun lalu antara terburuk dalam sejarah turut memberi cabaran kepada kerajaan.

7. PRESTASI PELABURAN ASING TIDAK STABIL

Pelaburan asing ke Malaysia pada tahun 2021 meningkat dengan mencatatkan jumlah RM48.1 bilion, tertinggi sejak tahun 2016 menurut data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).

Pelaburan asing di Malaysia sangat terkesan dengan SOP PKP Malaysia di peringkat awal yang mengelirukan dan menutup aktiviti ekonomi.

Walaupun pelaburan meningkat, negara-negara jiran menjadi daya tarikan pelabur selain Malaysia. Ketidakstabilan politik juga telah menyebabkan Malaysia kurang menjadi daya tarikan pelabur asing.

8. MENGANTARABANGSAKAN MARTABAT BAHASA MELAYU

Usaha pemerkasaan Bahasa Melayu mendapat sambutan baik daripada masyarakat Melayu khususnya.

Ini kerana masyarakat Melayu dapat mengaitkan perasaan tersebut dengan Bahasa Indonesia yang begitu diperkasakan oleh rakyat negara jiran.

Namun, masyarakat melihat usaha ini kurang serius apabila pemimpin politik Melayu sendiri lebih berbangga bertutur dalam Bahasa Inggeris.

Sementara itu, usaha ini kurang mendapat sambutan dari kalangan masyarakat bukan Melayu.

Ini kerana mereka melihat langkah ini sebagai sebahagian gimik politik dan tiada nilai ekonomi untuk mereka.

Pemulihan negara daripada Covid-19 membolehkan pintu sempadan negara dibuka.

9. PASUKAN JIHAD TANGANI INFLASI

Disebabkan faktor geopolitik dunia, kesan terhadap rantaian bekalan dan permintaan global terjejas teruk selepas pandemik Covid-19 hingga menyebabkan peningkatan harga barang berganda.

Pembentukan Pasukan Jihad Tangani Inflasi pada peringkat awal ditanggapi dengan negatif kerana kerana masyarakat melihat masa yang diambil oleh kerajaan agak perlahan.

Pun begitu, banyak langkah diambil mengawal eksport agar bekalan mencukupi dan menstabilkan harga bahan mentah.

Kesan daripada langkah diambil berjaya membawa Malaysia keluar daripada hiper-inflasi atau stagflasi. Kadar inflasi Malaysia pada 3.8 peratus, menjadikan Malaysia negara di bawah kadar inflasi dunia dan antara yang terendah di Asia Tenggara.

10. TUNTUTAN WARIS KESULTANAN SULU

Isu tuntutan waris kesultanan Sulu dan rampasan aset Petronas turut menjadi ancaman kedaulatan khususnya bagi negeri Sabah dan menjadi ujian semangat federalisme buat Putrajaya.

Kerajaan bukan sahaja bertegas dan tidak mengiktiraf tuntutan tersebut, malahan aset yang dirampas juga telah dijual oleh Petronas. Isu ini telah ditangani dengan baik kerana ancaman substantif tidak wujud.

Akan tetapi, isu ini dimainkan oleh pembangkang dalam membingkaikan kedudukan Sabah seolah-olah dilayan kerajaan Persekutuan seakan-akan negeri pajakan.

HUT

11. SUBSIDI TERBESAR DALAM SEJARAH

Nilai subsidi berjumlah RM 77.3 bilion merupakan jumlah subsidi terbesar yang pernah diumumkan dalam sejarah negara. Namun langkah ini kurang memberi ganjaran politik kepada kerajaan kerana inisiatif ini tidak dikomunikasikan dengan serius oleh kerajaan.

Sementara, rakyat bukan sahaja tertekan dengan ekonomi, tetapi juga dari sudut psikologi setelah berhadapan dengan Covid-19 dan kepanikan terhadap konflik geopolitik dunia yang memberikan krisis ekonomi berganda.

Kerajaan khususnya BN akan memiliki bebanan politik dan kewangan dalam menawarkan Belanjawan 2023 sebagai tawaran PRU15 akan datang.

Ismail Sabri melakukan transformasi politik dengan kejayaan meluluskan RUU Anti Lompat Parti.

12. PINDAAN RUU AKTA LARANGAN AHLI PARLIMEN BERTUKAR PARTI DILULUSKAN

Kejayaan ini telah mendorong setiap pihak, baik kerajaan mahupun pembangkang bahawa mereka merupakan penggerak utama kestabilan politik tanah air pasca pentadbiran kerajaan PN.

Namun begitu, terdapat kelebihan dan ancaman terhadap BN di mana rakyat yang mengalami kelesuan politik telah diberi nafas baru untuk mempercayai integriti sistem politik negara.

Rata-rata mereka adalah pengundi PH pada PRU14. Masih belum ada jaminan mereka akan keluar mengundi dan beralih undi kepada BN.

Namun pada masa yang sama, BN juga berpeluang mempamerkan sisi progresif mereka untuk turut komited melakukan transformasi politik.

Wajah baru UMNO yang turut mendepani naratif reformasi sedikit sebanyak mampu menarik sokongan pengundi Melayu bandar.

13. KEPIMPINAN UMNO DI MAHKAMAH

Sepanjang setahun ini Ismail Sabri turut berdepan cabaran besar dengan isu apa yang sering digelar kluster mahkamah.

Beberapa kepimpinan utama UMNO seperti bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berdepan beberapa pertuduhan turut memberi tempias kepada Ismail Sabri.

Ini termasuklah gesaan-gesaan seperti Ismail Sabri campur tangan dalam kes ini.

Bagaimanapun Ismail Sabri memberi penegasan bahawa atas doktrin pengasingan kuasa, tiada campur tangan daripada pihak kerajaan.

Pada 23 Ogos lalu, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman 12 tahun penjara serta denda RM210 juta ke atas Najib yang didapati bersalah menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat sebulat suara membuat keputusan itu selepas mendapati pembelaan Najib tidak konsisten dan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Walaupun ada yang memuji ketegasan Ismail Sabri tidak campur tangan, tetapi segelintir penyokong Najib tidak berpuas hati.

* Anis Anwar Suhaimi merupakan seorang penyelidik kanan badan pemikir politik tempatan, O2 Research Malaysia

Klik di sini untuk terus membaca