SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi calon terbaik dan memiliki pakej lengkap untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim kekal menjadi calon terbaik dan memiliki pakej lengkap untuk menjadi Perdana Menteri jika Pakatan Harapan (PH) kembali menguasai Putrajaya selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, sehingga kini Majlis Presiden PH tidak pernah mengubah keputusan menamakan Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson merangkap Ketua Pembangkang di Dewan Rakyat sebagai calon tunggal dan paling layak diangkat menjadi Perdana Menteri jika mereka menang PRU15 ini.

Mahfuz yang juga Ahli Parlimen Pokok Sena berkata, sebarang perubahan mengenai nama baharu calon Perdana Menteri dari blok pembangkang mestilah dibincangkan secara terperinci dalam mesyuarat Majlis Presiden PH.

"Ini kerana sehingga kini Majlis Presiden PH tidak pernah menyebut mengenai kemungkinan berlaku perubahan kerana kita menerima dengan sebulat suara bahawa Anwar adalah calon tunggal Perdana Menteri dari blok pembangkang.

"Kita memang bekerja ke arah untuk memastikan PH kembali menguasai Putrajaya dalam PRU15 nanti sekali gus membolehkan beliau diangkat menjadi Perdana Menteri seterusnya nanti," katanya kepada Sinar Premium.

MAHFUZ

Dalam pada itu, Mahfuz menjelaskan Anwar memiliki pakej lengkap untuk menjadi Perdana Menteri kerana pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan termasuk Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan suatu ketika dulu.

"Saya kira dengan segala proses, pengalaman, pejuang dan kesabaran yang beliau hadapi selama ini meletakkan Anwar sebagai calon sangat wajar diangkat sebagai Perdana Menteri jika PH menang PRU15 nanti.

"Justeru, rakyat perlu memberi peluang sekali lagi kepada PH untuk mentadbir Putrajaya kerana selepas mereka menjadi hakim pada PRU lalu dengan menolak BN dan UMNO, maka terbongkarlah segala jenayah dan penyelewengan berlaku di Malaysia selama ini," katanya.

Mahfuz menambah, biarpun bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak kini menjalani hukuman penjara 12 tahun dan didenda RM210 juta kerana kes penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta, namun kesan dan peninggalannya amat berat untuk ditanggung oleh rakyat ketika ini.

"Justeru itu, adalah tidak wajar untuk rakyat menyerahkan kembali kuasa kepada BN mahu PN untuk kembali berkuasa kerana ramai wakil rakyatnya adalah bekas ahli UMNO yang turut bersubahat dengan Najib hingga saat akhir atau PRU lalu.

"Semua mereka bersubahat dan mendakwa Najib tidak melakukan penyelewengan hinggalah BN tewas dalam PRU14 lalu," katanya.

ADAM ADLI

Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) PKR, Adam Adli Abdul Halim berkata, beliau yakin Anwar bersedia memikul tugas dan tanggungjawab menjadi Perdana Menteri jika PH berjaya menawan Putrajaya sekali lagi.

Adam berkata, Anwar adalah satu-satu pemimpin PH yang mempunyai pakej lengkap dari segi kebijaksanaan, pengalaman dan kesabaran untuk diangkat menjadi Perdana Menteri.

"Kalau nak menjadi Perdana Menteri terbaik kita kena lalui pelbagai pengalaman bukannya seperti sesetengah orang bernasib baik dan diberikan laluan tanpa perlu bersusah payah.

"Seorang bakal diangkat menjadi Perdana Menteri mestilah betul-betul 'solid' atau memiliki pakej lengkap termasuk pernah memegang pelbagai jawatan dalam kerajaan termasuk Menteri Pendidikan; Menteri Kewangan, bijak menguruskan ekonomi negara dan sebagainya seperti Anwar," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca