BUKAN satu atau dua, tetapi tiga bahasa dikuasai oleh seorang ‘mak cik cleaner’ di Masjid Negara, Kuala Lumpur.
Dalam video berdurasi 45 saat yang tersebar di media sosial minggu ini, wanita itu dilihat memakai uniform perkhidmatan pembersihan berwarna merah jambu dan memegang mop sambil menerangkan cara penggunaan perkataan ‘sudah’ kepada sekumpulan pelancong Jepun.
Dia selang-seli bertutur bahasa Jepun, Inggeris dan Melayu. "Sudah makan... sudah tidur. You just add the word ‘sudah’ (Kamu tambah saja perkataan ‘sudah’).
Malay is easy (bahasa Melayu mudah sangat),” jelas wanita itu kepada pelancong sambil menunjukkan aksi tidur.
Wanita itu kemudian dikenal pasti sebagai Nirmaningsih Mawi, 58. Rupa-rupanya dia berpengalaman sebagai pemandu pelancong selama 31 tahun.
Malah, dia pernah menjadi pensyarah bahasa Jepun di sebuah kolej di Nilai, Negeri Sembilan. Cuci masjid adalah kerja sampingannya sejak enam bulan lalu.
Sosok mak cik cleaner selalunya tidak dianggap penting. Ini disebabkan mereka bekerja tak pakai baju mahal-mahal, tudung liplap atau beg tangan berjenama.
Ada juga yang pandang mereka dengan sebelah mata. Namun, walaupun kerjanya nampak mudah tapi tak semua orang mampu buat.
Seminggu saja mak cik cleaner ini tiada, habis bersepah pejabat dengan kertas dan bekas makanan bertimbun di dalam bakul sampah di tepi meja.
Kisah mak cik cleaner Masjid Negara ini juga mengingatkan kita supaya jangan sekali-kali memandang rendah kepada orang lain kerana mereka mungkin ada kelebihan yang kita tidak tahu. Jangan menilai buku daripada kulitnya.
Kefasihan Nirmaningsih berbahasa Inggeris dan Jepun begitu mengagumkan warganet. Apatah lagi, mempelajari bahasa asing adalah kompleks.
Ziad Fazah, yang dilahirkan di Liberia, dibesarkan di Beirut dan kini tinggal di Brazil, mengaku sebagai poliglot hidup terhebat di dunia, bertutur dalam sejumlah 59 bahasa termasuk bahasa Melayu. Namanya juga tercatat dalam Guinnes Book of World Records.
Begitu pun rekod Fazah belum setanding orang dari masa lalu seperti Kardinal Giuseppe Caspar Mezzofanti dari abad ke-17 yang bercakap 38 bahasa dan 40 dialek.
Ilmuwan Islam, Al-Farabi dari abad ke-10 terkenal dengan 70 bahasa. Namun rekod itu mungkin milik Sir John Bowring, Gabenor Hong Kong dari 1854 hingga 1859 yang dikatakan tahu 200 bahasa dan mampu bertutur 100 bahasa.
Pelbagai kajian menunjukkan orang yang menggunakan otak mereka lebih banyak melalui penguasaan bahasa, cenderung mempunyai kadar demensia iaitu masalah nyanyuk yang lebih rendah.
Orang yang belajar sekurang-kurangnya satu lagi bahasa dapat melambatkan proses Alzheimer dan nyanyuk sekitar lima tahun.
Ini kerana orang dwibahasa mempunyai rizab kognitif lebih besar, bermaksud otak akan lebih berdaya tahan terhadap kerosakan akibat Alzheimer.
Gejala nyanyuk kini mula menjadi ancaman di Malaysia termasuk pada usia muda.
Menurut organisasi Penyakit Alzheimer Antarabangsa (ADI), seramai 123,000 orang di Malaysia mengalami demensia pada 2015 dan dijangka meningkat kepada 590,000 orang pada 2050.
Bayangkan anda terjaga daripada tidur pada suatu pagi tetapi tidak mampu mengecam isteri dan rumah sendiri!
Menurut Pakar Perubatan Awam dari Universiti Malaya, Profesor Madya Dr Farizah Mohd Hairi, antara tanda nyanyuk ialah terlupa perkataan harian yang biasa digunakan, terlupa di mana barang diletakkan serta keliru berkaitan tarikh, masa dan tempat.
Mereka juga boleh bertukar murung dan menjadi pemarah.Ada banyak cara untuk mengurangkan risiko nyanyuk seperti menjaga pemakanan dan bersenam.
Namun, rangsangan penggunaan otak dengan melakukan pelbagai aktiviti baharu juga adalah langkah berkesan. Ini tentunya termasuk mempelajari bahasa baharu, cuba menghafal al-Quran atau setidak-tidaknya sentiasa berfikir supaya otak sentiasa aktif.
Malangnya, terdapat segelintir orang kita yang ‘malas’ berfikir, dan mungkin juga malas serba-serbi.
Boleh jadi ada benarnya nukilan Profesor Diraja Ungku Aziz dalam artikel ‘Tragedi Pemikiran Melayu’.
Tulis beliau: "Saya rasa Melayu tidak sanggup berubah; perspektif mereka terhad, tidak suka menyiasat dan mereka tidak mahu berfikir dengan mendalam.”
Ironinya, orang kita agaknya lebih suka bermain TikTok yang menyeronokkan daripada melakukan hal-hal yang menyuburkan kesihatan otak.
* Zuki Pileh ialah Timbalan Pengarang Berita Sinar Harian.
Klik di sini untuk terus membaca