SHAH ALAM - Siapa sangka dengan hanya bekerja sebagai penghantar barang, pendapatan sebulan boleh mencecah sehingga RM43,000.
Itu yang diakui Razlan Razali, 30, yang kini bekerja di Australia hampir enam tahun.
Kongsinya, gaji yang ditawarkan sehingga lima angka itu mendorong dia untuk bekerja di negara tersebut.
Malah katanya, prosedur untuk bekerja di sana juga lebih mudah dan efisien.
"Dari segi pendapatan di Australia, kita ada dua pilihan sama ada dibayar per jam ataupun per kontrak. Tak kisah kita ada sijil tinggi ataupun tidak janji ada pengalaman dan boleh buat kerja.
"Macam saya sekarang buat kerja secara kontrak. Mereka bayar mengikut berapa banyak barang yang dihantar.
"Kalau sebulan boleh dapat sekitar AUD8,000 (RM24,670) sehingga AUD14,000 (RM43,173). Itu sebab saya lebih gemar bekerja di sini berbanding di Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Razlan yang tinggal bersama isterinya di benua terkecil di dunia itu berkata, selain gaji yang tinggi, budaya dan persekitaran yang bebas jenayah juga antara faktor beliau selesa untuk bekerja di negara berkenaan.
Tambah beliau, kos sara hidup juga dikatakan rendah.
"Walaupun barang naik, tetapi gaji kita juga akan naik.
"Jadi tidak terasa terbeban sangat sekiranya berlaku kenaikan harga barang,” ujarnya.
RINGANKAN KEWANGAN KELUARGA, LUNAS HUTANG PENGAJIAN
Sementara itu, seorang operator mesin di salah sebuah syarikat di Singapura, mengakui hasratnya membantu ibu mendapatkan rawatan dialisis dan membayar hutang pengajian antara faktor utama dia memilih untuk bekerja di republik berkenaan.
Nor Zulaika Ali Bakar, 32, berkata, ia berikutan gaji yang ditawarkan adalah lumayan dan membolehkannya menyelesaikan pinjaman pelajaran dan beban kewangan keluarga.
Jelasnya lagi, pendapatannya juga mencecah sekitar SGD2,600 (RM8,010) sebulan, lebih tiga kali ganda daripada gaji yang pernah diterima di Malaysia.
"Saya ambil keputusan bekerja di sini untuk bantu keluarga.
"Kebetulan pula ibu saya sakit dan memerlukan wang bagi menampung rawatan dialisis.
"Selain untuk kegunaan rawatan ibu, saya juga mahu melunaskan hutang pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Jadi, dengan gaji yang diterima sekitar RM8,000 ini, sedikit sebanyak dapat meringankan beban kewangan keluarga dan menyelesaikan hutang pinjaman pengajian saya,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.
Dia yang bekerja hampir lima tahun di Singapura itu berkata, gaji yang diterima di Malaysia sebelum ini amat sukar untuk membayar komitmennya setiap bulan, ditambah kos sara hidup semakin meningkat.
"Selepas tamat diploma pada umur 21 tahun, saya bekerja di Malaysia hampir enam tahun. Namun, gaji yang diterima sedikit.
"Jadi, sebab itulah bagi saya yang datang dari keluarga kurang berkemampuan perlu merantau ke negara asing semata-mata untuk menampung kos sara hidup sekarang,” katanya.
Klik di sini untuk terus membaca