SHAH ALAM - Semakin ramai anak muda di negara ini yang cenderung berhijrah mencari rezeki di luar negara atas beberapa faktor terutama tawaran gaji lumayan dan pengalaman kerja. Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Semakin ramai anak muda di negara ini yang cenderung berhijrah mencari rezeki di luar negara atas beberapa faktor terutama tawaran gaji lumayan dan pengalaman kerja.

Pakar ekonomi Universiti Tun Abdul Razak (Unirazak), Profesor Dr Barjoyai Bardai berkata, mereka juga tidak kisah untuk bekerja sebagai pekerja am atau dalam sektor 3D (kotor, bahaya dan sukar).

Menurutnya, trend kerja di luar negara itu akan terus meningkat pada masa akan datang.

"Sebagai contoh, kita dapat lihat trend peningkatan rakyat yang bekerja di Singapura dengan anggaran 400,000 yang bekerja di republik itu walaupun menjadi pencuci pinggan kerana gaji berganda.

"Kebanyakan negara luar juga memerlukan tenaga kerja untuk sektor tertentu, maka ini membuka lebih banyak peluang kepada rakyat Malaysia untuk bekerja di sana.

"Malah 72.1 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang tidak mahu menyambung pelajaran seperti yang didedahkan oleh kaji selidik Jabatan Perangkaan baru-baru ini, akan menjadi penyumbang kepada peningkatan trend itu,” katanya kepada Sinar Harian.

Ujar beliau, Singapura masih menjadi negara pilihan utama, selain Australia, United Kingdom, New Zealand dan Jepun.

Jelasnya, rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara hanya merancang bekerja bagi tempoh jangka pendek.

"Mereka hanya pergi ke sana kerana gaji tinggi yang ditawarkan untuk menyelesaikan hutang atau mengumpul kekayaan atau modal sebelum mereka kembali ke tanah air.

"Bagi saya, perkembangan lebih ramai rakyat Malaysia bekerja di luar negara adalah satu perkara yang bagus.

"Berkemungkinan besar, yang mencari rezeki di negara luar ialah pekerja yang kurang mahir.

"Untuk sektor 3D di luar negara, mereka banyak menggunakan teknologi dan ia memberikan pengalaman dan kemahiran baharu kepada rakyat Malaysia sekali gus akhirnya akan memberi manfaat kepada negara apabila mereka pulang nanti,” katanya.

GAJI EMPAT KALI GANDA DI SINGAPURA

Sementara itu, tawaran gaji lumayan sehingga empat kali ganda menyebabkan Singapura menjadi pilihan kepada rakyat negara ini mencari rezeki berbanding Malaysia.

Bagaimanapun, pelbagai cabaran perlu ditempuh termasuk berdepan kesesakan di Tambak Johor dan Laluan Kedua Malaysia-Singapura (Linkedua) bagi mereka yang berulang-alik menaiki motosikal.

Salah seorang daripada mereka ialah Ahmad Samion Ismail, 35, yang merupakan jurutera di sebuah syarikat limbungan perkapalan di kota singa itu.

Beliau berkata, sejak empat tahun lalu, rutin hariannya ke tempat kerja bermula seawal jam 5 pagi dengan pendapatan kasar kira-kira SGD3,000 (RM9,624) sebulan.

Menurutnya, minat mendalam terhadap bidang marin dan perkapalan membuatkan dia sanggup berhijrah ke Singapura yang merupakan antara hab pelabuhan tercanggih dan terbesar.

"Selepas tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda dalam bidang pengurusan kejuruteraan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai, saya bekerja di tiga buah syarikat multinasional di Johor Bahru.

"Saya buat permohonan bekerja di Singapura dalam bidang marin dan perkapalan. Saya tidak sangka, permohonan bekerja di sana diterima pada tahun 2019,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Pemuda yang berasal dari Kemaman, Terengganu itu, berkata, tempoh 10 tahun diletakkan sebagai sasaran mencari rezeki di Singapura bagi merealisasikan hasrat membeli sebuah rumah di Pasir Gudang.

Ujarnya, sektor pekerjaan di republik yang mementingkan pembangunan dalam kerjaya, membuatkan dia berasa selesa meskipun dikelilingi rakan sekerja dari pelbagai negara seperti Filipina, Indonesia dan China.

"Sebab itu pihak majikan kerap mengadakan latihan untuk saya tingkatkan kualiti kerja. Setakat ini, sudah 10 kali saya sertai pelbagai kursus yang disediakan syarikat.

"Walaupun rakan kerja dari pelbagai negara, namun tiada kejanggalan kerana semua hormat menghormati, sekali gus mewujudkan suasana kerja yang harmoni,” ujarnya.

Akui Ahmad Samion, kesesakan di Linkedua saban hari antara cabaran utama, kadangkala berlaku hampir dua jam.

Sementara itu, Muhammad Fariezatul Firdaus Ahmed, 31, yang bekerja sebagai pekerja pembersihan di Singapura, sejak lapan tahun lalu, mengakui faktor gaji antara penyebab dia terus kekal di negara berkenaan.

"Saya perlu bangun seawal jam 4.30 pagi untuk ke tempat kerja di Tampenis, Singapura melalui Tambak Johor.

"Biasanya apabila pulang kerja, saya akan sampai ke rumah sewa di Kempas, Johor Bahru pada 7.30 malam,” katanya.

Ujar Muhammad Fariezatul, selain membantu keluarga terutama kedua ibu bapa, dia merancang untuk menjalankan perniagaan secara kecil-kecilan di tempat asalnya iaitu Tanah Merah, Kelantan.

"Ramai rakan yang bekerja di Singapura. Dari situ, saya tertarik untuk mencari rezeki di sini dan kini pendapatan kasar kira-kira SDG1,900 (RM6,000) sebulan.

"Saya merancang bekerja di Singapura untuk tempoh 10 tahun. Berbaki lagi dua tahun untuk balik ke kampung halaman.

"Saya merancang untuk mendirikan rumah tangga pada tahun depan,” katanya sambil tersenyum.

Klik di sini untuk terus membaca