SHAH ALAM - Selain tawaran gaji yang agak lumayan, persekitaran waktu kerja yang lebih fleksibel antara faktor mendorong seorang jururawat dari Malaysia berhijrah ke Jeddah, Arab Saudi.
Berkongsi perkara itu, Norhafidzah Abd Rahaman, 38, berkata, waktu bekerja di negara berkenaan adalah empat hari seminggu, berbeza dengan Malaysia yang mana jururawat perlu bekerja selama enam hari dalam seminggu.
"Ini kelebihan bekerja di luar negara di mana waktu kerja lebih fleksibel, selain gaji yang lumayan.
"Jadi, kelebihan cuti yang banyak itu dapat digunakan bagi mereka yang mahu melanjutkan pelajaran secara dalam talian dan meluangkan waktu lapang dengan hobi yang diminati,” kongsinya kepada Sinar Harian.
Bagaimanapun Norhafidzah yang mendapat gaji RM17,000 setiap bulan, tidak menafikan bahawa dirinya berdepan dengan beberapa cabaran sewaktu mula bekerja di sana, termasuk cara untuk menyesuaikan diri dengan budaya kerja di negara tersebut.
"Tetapi apabila sudah menyesuaikan diri dengan budaya kerja di sini, ia sebenarnya agak seronok,” katanya.
Ditanya mengenai tempoh perancangannya untuk pulang ke Malaysia, Norhafidzah memberitahu, dia tidak mempunyai tarikh yang tetap memandangkan ekonomi negara dikatakan masih belum stabil.
KERAJAAN TIDAK BOLEH PANDANG RINGAN - MTUC
Sementara itu, kerajaan tidak boleh memandang ringan dengan situasi rakyat Malaysia semakin ramai memilih bekerja di luar negara sama ada sebagai pekerja am atau sektor yang berkaitan 3D (kotor, bahaya dan sukar).
Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC), Kamarul Baharin Mansor berkata, sekiranya ia berterusan, kekosongan pekerjaan di Malaysia akan terus diisi oleh pekerja asing.
Beliau berkata, ia akan menyebabkan negara terlalu bergantung kepada pekerja asing dalam sektor tertentu.
"Jika kerajaan tidak mengambil ini sebagai pengajaran atau tidak ada tindakan undang-undang, pekerja kita akan lebih suka bekerja di luar negara.
"Apabila kita banyak bergantung kepada pekerja asing, majikan akan menggunakan alasan ini untuk tidak menaikkan gaji pekerja.
"Pekerja asing pastinya akan merasakan gaji yang diterima mereka di negara ini sesuai. Jadi, apabila gaji tidak berganjak, buruh tempatan tidak akan berminat untuk bekerja di sektor 3D kerana warga asing sudah ambil tempat,” katanya kepada Sinar Harian di sini.
Kamarul Baharin berkata, kerajaan ketika ini dilihat lebih bimbang dengan penghijrahan pekerja berkemahiran tempatan ke luar negara berbanding pekerja 3D.
"Apabila berbincang mengenai rakyat Malaysia yang bekerja di luar negara, mereka lebih berminat kepada golongan profesional. Pekerja am atau sektor 3D ini seolah-olah dianaktirikan.
"Sepatutnya kerajaan juga memikirkan kaedah untuk membantu pekerja am tapi mereka lebih fokus pada profesional atau yang berkemahiran. Mungkin kerana pekerja 3D kebanyakannya adalah golongan bawahan,” ujar beliau.
Katanya, kerajaan juga seharusnya mengambil inisiatif untuk menyediakan gaji yang setimpal dengan bebanan kerja terutamanya dalam sektor 3D kerana pendapatan mereka hanya bergantung pada pelaksanaan gaji minimum semata-mata.
"Tidak ada lagi yang saya dengar pekerja 3D mendapat gaji lebih tinggi daripada gaji minimum, terutamanya sektor penyelenggaraan, pembersihan dan keselamatan.
"Jadi isu seperti ini yang membuatkan rakyat kita mengambil peluang bekerja di luar negara untuk mencuba nasib walaupun sebenarnya kerja tersebut sama sahaja dengan di Malaysia,” jelas beliau.
Klik di sini untuk terus membaca