PADA 13 Ogos lalu, saya meneruskan acara tahunan meraikan guru-guru dengan menganjurkan Malam Anugerah Kecemerlangan dan Hari Guru Parlimen Indera Mahkota. Ia dihadiri 400 orang guru, pelajar dan ibu bapa daripada 42 buah sekolah menengah dan rendah.
Dalam bidang pendidikan, antara perkara yang sering saya bicarakan adalah soal mendidik generasi digital.
Ia digerakkan oleh idea. Idea terbahagi kepada empat peringkat – ‘idea yang telah wujud’, ‘idea yang sedang dimajukan’, ‘idea yang sedang didebatkan’ dan ‘idea yang perlu diantisipasi’.
Masa depan negara bergantung kepada kemampuan kita menggarap ‘idea yang sedang didebatkan’ dan ‘idea yang perlu diantisipasi’.
Kerana itu, kita perlu futuris iaitu dengan mengikuti dan seboleh-bolehnya mempengaruhi pemikiran sains serta teknologi masa depan, contohnya robotik, sains hayat yang maju, kodifikasi wang, keselamatan siber dan data raya.
Perubahan teknologi akan berlaku dengan lebih pantas. Teknologi-teknologi utama yang bakal mendominasi kehidupan kita pada 20 hingga 30 akan datang belum lagi tercipta.
Teknologi baharu tersebut akan sentiasa dikemas kini. Belum pun kita sempat menguasainya, ia akan diganti dan kita perlu mempelajari teknologi yang baharu pula.
Soalnya, kemampuan kita menyediakan ekosistem geopolitik, budaya dan generasi yang mencetuskan serta menguasainya.
Ini kerana kita mempunyai pengalaman pahit tidak berapa lama dahulu apabila beberapa teknologi baharu yang mengubah cara hidup manusia sejagat, yang dicipta rakyat kita telah menjadikan negara lain sebagai tempat pembangunan dan peluncurannya.
Mengapa? Kerana ekosistem kita tidak bersedia memfasilitasinya.
Dari segi geopolitik, kita perlu terbuka kepada dunia luar. Kita perlu mengalu-alukan kehadiran profesional dan pakar-pakar dari seluruh dunia, mendukung kebebasan berfikir, mencipta serta membangunkan budaya ilmu, menyediakan infrastruktur sains dan teknologi kelas pertama serta mengamalkan sistem-sistem sosial, ekonomi dan politik yang terbuka serta mendakap pembaharuan.
Kita perlu mempunyai generasi digital. Mereka harus menguasai bahasa-bahasa dan kemahiran-kemahiran saintifik serta teknikal, berbudaya (cultured) dan menguasai pelbagai bahasa serta multi-disiplin dan mampu menangani kemajuan-kemajuan yang bersifat hibrid serta convergence.
Momentum teknologi digital tidak dapat dihalang (inevitable). Kita perlu menerimanya dengan terbuka tetapi tidak bermakna kita mengambil sikap berlepas tangan.
Perundangan dan peraturan tetap penting supaya teknologi serta kandungannya inklusif dan tidak mewujudkan jurang baharu dalam kalangan masyarakat.
Ia hendaklah bersesuaian dengan sejarah, tradisi dan budaya. Kita juga perlu mengatasi kesan-kesan negatif daripada kepesatan teknologi, contohnya keselamatan siber, privasi dan etika.
Itu bermakna kita memerlukan generasi digital yang manusiawi iaitu yang bersepadu spiritual, intelektual, fizikal dan psikologikalnya.
* Datuk Seri Saifuddin Abdullah ialah Menteri Luar Negeri dan Ahli Parlimen Indera Mahkota. Beliau aktif di Twitter: @saifuddinabd
Klik di sini untuk terus membaca