KETAGIHAN internet dikenal pasti gejala paling membimbangkan dalam kalangan remaja di seluruh dunia. Ia isu global yang sentiasa diperdebatkan dan Malaysia tidak terkecuali dalam hal tersebut.
Ramai ibu bapa meluahkan kegusaran melihat anak remaja mereka tidak lagi hidup normal gara-gara ketagihan internet.
Terbaharu, memetik kajian statistik sehingga pertengahan 2022, CNN melaporkan hampir 50 peratus remaja Amerika Syarikat (AS) ‘sentiasa’ menggunakan internet berbanding hanya 25 peratus pada 2015.
Paling ngeri apabila dilaporkan majoriti 95 peratus remaja AS melayari YouTube dan TikTok menggunakan internet secara berterusan.
CNN memperincikan laporan itu dengan menyatakan trend media sosial paling kerap digunakan remaja kini berubah daripada Facebook kepada platform YouTube dan TikTok.
Facebook tidak mendominasi kehidupan remaja AS. Kini hanya 32 peratus remaja AS berumur antara 13 dan 17 tahun menggunakan Facebook berbanding 71 peratus pada 2015. Mereka kini gemarkan YouTube, TikTok, WhatsApp, Instagram dan SnapChat.
Laporan populariti media sosial bulanan di AS menunjukkan YouTube telah menjadi platform paling popular dengan 85 peratus daripada remaja 13 dan 17 tahun menggunakannya.
Sebanyak 72 peratus pula menggunakan Instagram, SnapChat (69 peratus), Facebook (51 peratus) dan TikTok (69 peratus).
Ia memaksa Facebook dan Instagram mengambil langkah drastik bagi memastikan ia kekal popular dalam kalangan pengguna aplikasi media sosial. Facebook segera mereka bentuk aplikasi SnapChat’s signature stories.
Ia membolehkan pengguna remaja menyiar semula kandungan yang hilang selepas 24 jam, manakala Instagram memperkenalkan pilihan video durasi pendek dipanggil ‘Reels’ bagi menyaingi TikTok.
Persoalannya, kenapa pembekal kandungan sosial media berlumba-lumba meningkatkan teknologi dan inovasi demi meningkatkan jumlah pengguna, sedangkan kesan yang timbul adalah bilangan remaja ketagihan internet terus meningkat setiap tahun.
Penulis percaya trend di AS mungkin sama dengan masalah yang berlaku dalam kalangan remaja di Malaysia.
Adakah kehidupan manusia tidak lengkap tanpa penggunaan media sosial? Kini ada usaha untuk mewujudkan platform media sosial alternatif menggunakan konsep kecerdasan buatan (AI), antaranya MeWe dan Ello.
MeWe dikatakan memiliki beberapa kelebihan berbanding Facebook dan Instagram, antaranya tiada iklan serta kandungan tajaan menjengkelkan. Suapan berita dikawal pengguna. Ia juga tidak dimanipulasi dan pengguna boleh menerima pesanan atau teks sama seperti Messenger.
Paling menarik, pengguna tidak perlu risau data peribadi disalah guna kerana ia dibina berlandaskan ciri keselamatan siber tinggi dan AI.
Senario itu telah disebut ALLAH SWT menerusi surah Al-Mujaadilah ayat (58:11) bermaksud: "Hai orang-orang beriman, apabila dikatakan kepada mu ‘berlapang-lapanglah dalam majlis’, maka lapangkanlah, nescaya ALLAH akan memberi kelapangan untuk mu.
Dan apabila dikatakan berdirilah kamu, maka berdirilah, nescaya ALLAH akan meninggikan orang-orang yang beriman di antara mu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa darjat. Dan ALLAH Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan.”
Aplikasi Ello pula direka bentuk sebagai platform media sosial persis Facebook tetapi tidak mempunyai iklan. Ello kurang ancaman terhadap keselamatan peribadi.
Ello juga dikatakan telah bertukar menjadi platform seperti Pinterest yang popular dalam kalangan pereka cipta fesyen atau mereka yang terlibat dalam bidang seni, fotografi dan budaya web. Platform itu mudah disertai dengan hanya mendaftar guna nama dan alamat e-mel sahaja.
Selain itu, ada beberapa aplikasi media sosial yang sedang dibangunkan seperti BitChute, Minds, EyeEm dan Nextdoor.
Justeru, penulis berharap ibu bapa bersikap proaktif mengawal ‘jam terbang’ penggunaan internet anak remaja mereka. Rakyat Malaysia juga harus kreatif mencipta aplikasi tanpa menjejaskan nilai kehidupan.
Sistem aplikasi tersebut perlu berasas konsep atas talian, teknologi cloud, AI, tahap keselamatan siber tinggi, mesra pengguna, kelajuan tinggi dan boleh digunakan setiap peranti.
Kesimpulannya, ketagihan internet dalam kalangan remaja akan menyebabkan sesebuah negara termasuk Malaysia kehilangan potensi untuk melahirkan jurutera berkaliber.
Ketagihan internet adalah perkembangan sangat tidak sihat dan perlukan perhatian serius. Ibu bapa, penjaga dan kerajaan harus mula memikirkan strategi bagi menghentikan gejala tersebut serta memastikan ia digunakan hanya untuk perkara kebaikan.
* Profesor Dr Ir Muhidin Arifin ialah Ketua Pegawai Operasi Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).
Klik di sini untuk terus membaca