PEMBEBASAN pembuat bom yang digunakan dalam serangan ke atas kelab malam di Bali pada tahun 2002, Umar Patek dari penjara dalam bulan ini atau sebelum ulang tahun ke-20 peringatan kejadian tersebut pada Oktober depan telah mencetuskan... Klik di sini untuk terus membaca

PEMBEBASAN pembuat bom yang digunakan dalam serangan ke atas kelab malam di Bali pada tahun 2002, Umar Patek dari penjara dalam bulan ini atau sebelum ulang tahun ke-20 peringatan kejadian tersebut pada Oktober depan telah mencetuskan polemik sama ada di Indonesia dan Australia.

Umar, 56, atau nama sebenarnya Hisyam bin Ali Zein dan dikenali sebagai 'lelaki pemusnah' didapati bersalah oleh Mahkamah Daerah Jakarta Barat pada tahun 2012 kerana melanggar undang-undang antikeganasan di negara berkenaan menyebakannya dihukum penjara 20 tahun.

Antara kesalahannya ialah lelaki tersebut mengaku membuat bom yang digunakan dalam serangan di Bali pada Oktober 2012.

Dalam kejadian itu, dua kelab malam Sari Club dan Paddy’s Pub di Kuta, Bali musnah sehingga menyebabkan 202 orang terbunuh termasuk 88 warga Australia manakala lebih 200 orang lagi cedera selain dia juga didapati bersalah kerana terlibat dalam serangan ke atas beberapa gereja di Jakarta pada malam Krismas pada tahun 2000 sehingga mengakibatkan 19 orang maut.

Serangan bom juga berlaku di Pejabat Konsulat Amerika Syarikat (AS) di Bali.

Tugu peringatan mangsa-mangsa serangan bom didirikan di Bali selepas kejadian itu berlaku. - Foto Antara

Panel hakim ketika menjatuhkan hukuman tersebut juga mendapati Umar terbukti melakukan pemuafakatan jahat dengan memnawa masuk senjata api dan peluru dengan maksud untuk melakukan tindakan keganasan dari Filipina selatan.

Lelaki yang berasal dari Palembang itu juga sengaja menyembunyikan informasi tentang latihan bersenjata api yang diadakan di Aceh pada tahun 2010 dan melakukan pemalsuan pasport dengan menggunakan nama Anis Alawi Jafar serta memperoleh bahan peledak tanpa izin.

Dia terlepas daripada hukuman mati selepas bekerjasama dengan polis dan memohon maaf kepada keluarga mangsa-mangsa kejadian bom di Bali namun perancang dalam serangan bom itu, Imam Samudra atau Abdul Aziz, Amrozi atau nama sebenarnya Ali Amrozi bin Nurhasyim dan Ali Gufron alias Mukhlas telah dihukum mati ditembak pada bulan November 2011.

Bagaimanapun, pada 17 Ogos lalu, Umar telah diberikan pengurangan hukuman kerana dia telah menjalani dua pertiga daripada tempoh penjara 20 tahunnya dan menunjukkan kemajuan dan berkelakuan baik, kata Teguh Wibowo iaitu jurucakap pejabat Kementerian Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia di Jawa Timur baru-baru ini.

"Dia telah menjalani program deradikalisasi dan berkelakuan baik di penjara," kata Wibowo seperti dilaporkan oleh AFP merujuk kepada skim pemulihan Indonesia untuk banduan-banduan supaya mereka meninggalkan kegiatan ekstremisme dan berjanji setia kepada negara.

PENGAMPUNAN

Umar mendapat pengampunan kerana dia mengisytiharkan ketaatannya kepada Indonesia dan telah membuat ikrar penuh kepada Republik Indonesia, kata Zaeroji yang merupakan Ketua Pejabat Wilayah Kementerian Undang-undang dan Hak Asasi Manusia di Jawa Timur seperti dilaporkan media Indonesia.

Dia menjadi salah satu daripada lebih 16,000 banduan di Jawa Timur yang mendapat pengampunan pada Hari Kemerdekaan ke-77 Republik Indonesia tetapi Perdana Menteri Australia, mengkritik tentang langkah yang diberikan oleh kerajaan negara tersebut kepadanya.

Albanese baru-baru ini menyatakan beliau mengetahui keputusan Umar dibebaskan lebih awal dan menyampaikan pandangan Australia berhubung pembebasan tersebut terhadap seseorang yang telah melakukan kejahatan keji, dan membuat bom untuk membunuh orang.

Erik de Haart yang terselamat dalam serangan bom itu berkata tidak ada yang boleh dilakukan oleh kerajaan Australia mengenai pengurangan hukuman yang diperoleh rakyat Indonesia itu, katanya kepada media penyiaran, Seven's Sunrise.

Mangsa-mangsa serangan bom itu yang masih terselamat dan hidup di Indonesia juga berasa sukar untuk menerima hakikat bahawa Umar akan meninggalkan penjara dan menjalani kehidupan normal seperti orang biasa.

"Dalam lubuk hati saya, saya tidak boleh menerimanya tetapi saya cuba," kata Chusnul Chotimah, seorang lagi mangsa yang terselamat yang melecur teruk sehingga meninggalkan parut di muka dan badan memebirahu AFP.

Sebuah pertubuhan iaitu Yayasan Isana yang menaungi mangsa-mangsa bom Bali 2022 meminta Presiden Indonesia, Joko Widodo atau lebih popular dengan panggilan Jokowi untuk meninjau kembali soal pembebasan bersyarat Umar.

Perkara tersebut disentuh oleh Ketua Yayasan Isana, Thiolina Ferawati Marpaung yang menyatakan bahawa pihaknya mengaku sedih dan kecewa saat mengetahui berita tentang pembebasannya dengan menegaskan hukuman penjara 20 tahun yang dijatuhkan ke atas pembuat bom Bali tersebut adalah ringan.

Umar sebelum ini ditangkap oleh pihak berkuasa Pakistan di Abbottabad pada Januari 2011 sebelum Tentera Laut AS membunuh pemimpin Al Qaeda, Osama Laden dalam serbuan rahsia pada Mei tahun yang sama.

Dia kemudian diserakan kepada Indonesia untuk menghadapi perbicaraan melanggar undang-undang antikeganasan Indonesia. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca