SHAH ALAM - UMNO tidak pernah mendesak atau memberi 'kata dua' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, supaya memenuhi tuntutan pemimpin tertingginya jika beliau takut dipecat daripada jawatan Naib Presiden parti itu.... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - UMNO tidak pernah mendesak atau memberi 'kata dua' kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri, supaya memenuhi tuntutan pemimpin tertingginya jika beliau takut dipecat daripada jawatan Naib Presiden parti itu.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kelantan, Datuk Ahmad Jazlan Yaakub berkata, Mesyuarat Biro Politik baru-baru ini, bukan bertujuan meningkatkan tekanan dan desakan terhadap Ismail Sabri supaya segera membubarkan Parlimen susulan keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Parlimen Machang itu menjelaskan, tidak timbul sama sekali isu desakan atau parti berkenaan memberikan kata dua kepada Perdana Menteri bahawa beliau akan dipecat daripada jawatan Naib Presiden jika beliau terus enggan melaksanakan keputusan Perhimpunan Agung (PAU) dan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, sebelum ini.

Sebaliknya, Ahmad Jazlan berkata, dalam mesyuarat berkenaan pemimpin tertinggi UMNO memberitahu Perdana Menteri perlu mengikut apa sahaja keputusan PAU dan Mesyuarat MKT, sebelum ini.

"Tidak timbul isu UMNO memberi desakan atau kata dua jika Perdana Menteri enggan mengikut arahan pemimpin tertinggi parti, beliau akan dipecat daripada jawatan Naib Presiden.

"Kita juga menyerahkan kepada 'Top Five' (lima pemimpin tertinggi UMNO) untuk membincangkan dengan Perdana Menteri, bilakah tarikh paling sesuai untuk mengadakan PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15)," katanya kepada Sinar Premium.

Ismail Sabri sewaktu menghadiri PAU UMNO.

Ahmad Jazlan mengulas laporan sebuah portal yang mendakwa Perdana Menteri, kini kelihatan sedang berdepan tekanan hebat dan tersepit dengan tindakan partinya sendiri.

Ismail Sabri dikatakan diberi kata dua oleh kumpulan berkenaan agar segera memenuhi empat tuntutan atau disingkirkan daripada jawatan Naib Presiden UMNO.

Pada mesyuarat Biro Politik pada Rabu lalu yang dipengerusikan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, empat tuntutan diajukan kepada Perdana Menteri, dengan tiga daripadanya berkisar bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, yang sedang menjalani hukuman penjara 12 tahun di Penjara Kajang selepas Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitannya dalam kes SRC International Berhad.

Tiga tuntutan itu ialah penyingkiran Peguam Negara, penyingkiran Ketua Hakim Negara dan mendapatkan pengampunan diraja untuk Najib.

Tuntutan lain ialah agar pilihan raya umum diadakan pada kadar segera.

Dalam pada itu, Ahmad Jazlan berkata, antara perkara dibangkitkan dalam Mesyuarat Biro Politik UMNO adalah meminta Perdana Menteri supaya mempercepatkan tarikh PRU15 bagi memberikan mandat kepada rakyat memilih kerajaan baharu.

TIADA KAITAN KES NAJIB

Ahmad Jazlan berkata, kerajaan perlu mempercepatkan tarikh PRU15 kerana krisis politik negara berlarutan begitu lama sehingga menjejaskan keyakinan pelabur asing untuk melabur di Malaysia.

"Cadangan supaya PRU15 diadakan secepat mungkin tiada kena mengena keputusan Mahkamah Persekutuan terhadap Najib pada Selasa lalu.

"UMNO sendiri tidak tahu sama ada Mahkamah Persekutuan akan mengekalkan sabitan terhadap bekas Presiden UMNO berkenaan atau tidak.

"Isu mempercepatkan PRU15 adalah keputusan dibuat oleh penyokong dan pemimpin akar umbi UMNO dibuat menerusi mesyuarat cawangan, bahagian, negeri sebelum usul berkenaan dibincangkan dan diluluskan dalam PAU dan MKT," katanya.

Oleh itu, Ahmad Jazlan berharap semua jangan terikut-ikut dengan penghakiman dibuat oleh pihak lain terhadap UMNO, sedangkan mereka gagal menguruskan isu perpecahan dalaman parti masing-masing.

"Kenapa banyak parti lain menyibuk soal UMNO, biarlah kami sendiri menguruskan hal ehwal dan masalah dalam parti sendiri. Kalau rakyat nak beri pandangan UMNO boleh terima kerana mereka berhak berbuat demikian walaupun bukan ahli sekali pun.

"Saya berharap pemimpin parti lain perbetulkan rumah tangga sendiri tidak perlu campur tangan masalah dalaman UMNO. Malah, masalah perpecahan dalam parti lain lebih kritikal dari UMNO kerana sebenar tiada perbalahan cuma kami berlainan pandangan. Sebab itulah semua pihak dalam parti ini perlu akur dengan keputusan PAU selaku badan tertinggi dalam UMNO, selepas MKT," katanya.

Beliau berkata, UMNO adalah sebuah parti yang sentiasa menyuburkan amalan demokrasi dan sedia mendengar pandangan akar umbi yang diputuskan di peringkat cawangan, bahagian hinggalah ke PAU.

Sementara itu, Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, ketika dihubungi Sinar Premium pula enggan mengulas lanjut mengenai isu berkenaan kerana tidak menghadiri mesyuarat terbaru Biro Politik susulan berada di luar negara.

Klik di sini untuk terus membaca