PERTUKARAN dramatik antara penghuni terdahulu dan semasa di pejabat tertinggi negara kita memberi peluang untuk menilai sama ada perlembagaan negara berfungsi seperti diharapkan. Selama bertahun-tahun masyarakat sivil telah meneroka sama... Klik di sini untuk terus membaca

PERTUKARAN dramatik antara penghuni terdahulu dan semasa di pejabat tertinggi negara kita memberi peluang untuk menilai sama ada perlembagaan negara berfungsi seperti diharapkan.

Selama bertahun-tahun masyarakat sivil telah meneroka sama ada niat tersebut (perlembagaan yang berfungsi) masih sesuai pada hari ini.

Jika jawapannya ya, kita meneroka apakah pembaharuan diperlukan untuk memastikan niat yang masih sah itu menjadi kenyataan. Jika jawapannya tidak, maka pertimbangan yang lebih serius tentang struktur asas negara kita perlu dipertimbangkan.

Syukur kerana sentimen majoriti dalam kalangan masyarakat sivil dan ahli politik serta birokrat adalah bahawa Perlembagaan Persekutuan merupakan dokumen yang cukup baik untuk terus membina negara kita.

Sesungguhnya, pindaan baru-baru ini untuk menurunkan umur mengundi, pendaftaran pengundi secara automatik dan menghalang ahli Parlimen bertukar parti menunjukkan demokrasi kita boleh diperkukuh dengan menambah baik apa yang kita warisi, berbanding mencari alternatif radikal atau revolusioner.

Beberapa hari lalu, kemuncak kepada perbalahan dramatik antara badan kehakiman dan seorang bekas Perdana Menteri berakhir setelah Mahkamah Persekutuan sebulat suara bersetuju dengan Mahkamah Rayuan dalam mengekalkan keputusan bersalah Mahkamah Tinggi berhubung penyelewengan wang berjumlah RM42 juta daripada SRC International, bekas anak syarikat 1MDB – menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun kepada Datuk Seri Najib Tun Razak dengan denda sebanyak RM210 juta.

Tentu ramai rakyat Malaysia yang sudah mempunyai perasaan yang kuat tentang bencana ini, dengan beberapa penjawat kanan meletakkan jawatan atau kehilangan pekerjaan kerana bersuara menentang ketua mereka.

Malah, pada Oktober 2015, Majlis Raja-Raja telah mengeluarkan kenyataan yang jarang berlaku mengenai isu 1MDB: "Kegagalan memberikan penjelasan dan jawapan yang meyakinkan, dikhuatiri telah mengakibatkan berlakunya krisis keyakinan.

"Akibatnya rakyat percaya, sama ada dengan realiti mahupun secara persepsi bahawa ia turut menjadi antara sebab yang telah mempengaruhi kejatuhan nilai mata wang Ringgit Malaysia secara mendadak sehingga memberi impak negatif ke atas pasaran kewangan dan iklim ekonomi negara, sekali gus telah menjejaskan pandangan dunia terhadap Malaysia.

"Penemuan siasatan ini hendaklah dilaporkan secara lengkap dan telus supaya rakyat dapat diyakinkan dengan keikhlasan kerajaan yang sama sekali tidak akan melindungkan fakta dan kebenaran.” Keputusan pilihan raya umum (PRU) pada 2018 telah menjawab persoalan itu.

DANA POLITIK

Pembaharuan institusi seterusnya yang sedang kami perjuangkan di Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS) sebagai Sekretariat kepada Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) mengenai Pendanaan Politik ialah Akta Pendanaan Politik.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar telah memberikan komitmennya untuk membentangkan akta tersebut di Dewan Rakyat pada Oktober.

Hal itu bererti sumbangan kepada ahli politik dan perbelanjaan bagi kempen pilihan raya akan menjadi lebih telus serta bertanggungjawab untuk pilihan raya akan datang. Perbelanjaan sedemikianlah yang telah mendorong banyak penyelewengan dana.

Walaupun saya sering mengetengahkan kerja kami mengenai pembaharuan institusi dalam ruangan kolum ini, Majlis Makan Malam Ulang Tahun ke-12 kami baru-baru ini telah menarik perhatian kepada kerja kami yang lain.

Sejak tahun 2020, kami telah menghasilkan 46 penerbitan mengenai topik yang terdiri daripada pendidikan semasa Covid-19, perubahan struktur dan prospek Felda, penilaian impak Perjanjian Komprehensif dan Progresif bagi Perkongsian Trans-Pasifik (CPTPP), meningkatkan akses kepada rawatan penyakit jarang berlaku, perundangan perolehan, rasuah dalam rantaian bekalan, projek Belt and Road (BRI) Monitor serta penemuan terbaharu kami tentang Ketelusan Belanjawan negeri-negeri Malaysia.

Dalam tempoh sama, sebanyak 51 acara awam telah diadakan melibatkan pembangunan ekonomi digital pasca-Covid-19, bengkel pemahaman Parlimen, masa depan 5G, dasar pendidikan untuk memperkasakan kanak-kanak Orang Asli, menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS) semasa Covid-19 serta perolehan awam dan pembangunan syarikat bumiputera dalam industri pembinaan.

Selain itu, kami juga menyelenggarakan enam laman sesawang khusus – Pantau Kuasa untuk memantau pelantikan politik dalam badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC), Sekolah Kita yang berkongsi aspirasi kanak-kanak Orang Asli di sekolah, Kita Bukan Kami untuk memupuk perbualan yang mendalam tentang perpaduan negara, Pantau Wang Kita yang memantau belanjawan Persekutuan dan negeri, laman sesawang BRI Monitor dan ASEAN Prosperity Initiative (API) yang mengetengahkan peluang serta cabaran yang dibentangkan oleh ekonomi ASEAN sehingga 2025.

Dan semua itu berasingan dengan kerja dilakukan oleh sayap kebajikan kami, terdiri daripada dua IDEAS Autism Centre yang beroperasi di Rawang, Selangor dan Nilai, Negeri Sembilan.

Saya amat berbangga dengan kerja keras rakan-rakan sekerja yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Dr Tricia Yeoh dan saya mengetahui bahawa usaha mereka sering dipetik oleh para penggubal dasar, ahli akademik serta pelajar yang berminat dalam dasar awam, menyumbang kepada perubahan bermakna di Malaysia untuk jangka masa pendek, sederhana dan panjang.

Kami juga perlu menghargai sesiapa sahaja yang telah menyokong kami sejak awal penubuhan IDEAS dan ada kesedihan dalam hal ini kerana anak sulung Bapa Malaysia, Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj, Tunku Khadijah telah meninggal dunia pada minggu lalu.

Allahyarham sering menghadiri acara kami dan memuji usaha kami memulihkan visi serta prinsip Almarhum bapanya. Semoga ALLAH merahmati rohnya.

* Tunku Zain Al-‘Abidin ialah Presiden Pengasas IDEAS.

Klik di sini untuk terus membaca