SAYA tidak pernah menaiki kapal tetapi saya pernah menaiki bot. Saya pernah menaiki bot penambang di Kuala Terengganu. Tidak ramai yang menaikinya kerana rata-rata orang sekarang suka menaiki kenderaan sendiri.
Bot bukan kapal. Bot menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) adalah kenderaan kecil yang bergerak di atas air dan membawa sejumlah kecil penumpang.
Saya biasa menaiki bot penambang dari bandar Kuala Terengganu ke Seberang Takir. Kata pemandu bot penambang ketika saya hendak membayar tambangnya - "Suka hatilah hendak bayar berapa.”
Saya juga pernah menaiki feri di Pulau Pinang. Setiap pagi selepas menghantar anak ke sekolah, saya akan menaiki feri untuk bekerja di Seberang Perai.
Menurut Kamus DBP, feri boleh jadi bot atau kapal, atau sejenis kenderaan motobot yang membawa sejumlah penumpang. Maka, saya boleh dikatakan pernah menaiki kapal jika feri diistilahkan sebagai kapal.
Namun, yang sedih sekarang feri tersebut sudah tidak ada lagi. Ia telah diganti dengan feri laju, hanya untuk penumpang sahaja.
Pembayaran pun katanya sudah banyak didahulukan tetapi masih tidak siap. Ramai orang bercerita tentangnya. Setelah kecoh, ada pula yang pergi melawat tempat membuat kapal tersebut.
Dan dengan bangganya telah ditunjukkan bahawa kapal itu tidak hilang. Masih ada, cuma ambil masa untuk disiapkan. Perkakas dan peralatan katanya telah pun dipasang. Tidak ada apa yang hendak dirisaukan.
Cuma saya sedih kerana ada orang masih menganggap rakyat kita kurang akal. Mereka melayani rakyat seperti tidak tahu apa-apa.
Kalau hendak mengambil kembali hati rakyat, jangan merendahkan tahap pemikiran rakyat.
Ada orang kata, isu kapal yang tidak siap disebabkan salah laku atau salah tadbir urus. Masing-masing memberi pendapat tetapi saya pelik, kenapa masih tiada yang dapat menerangkan apa sebenarnya terjadi.
Dalam pembinaan, jika satu kontrak telah diberikan kepada kontraktor, maka ada syarat kontraknya. Berapa harganya, apakah peralatan ditawarkan, apakah skop kerjanya, siapakah pembekal, bilakah tarikh siap, berapa tahun jaminan peralatan dan berapa lama tempoh tanggungan kerosakan.
Jika tidak disiapkan pada masa ditetapkan, apakah tindakan yang akan diambil oleh pemberi kontrak. Adakah dinyatakan berapa denda sehari lewat yang akan dikenakan kepada kontraktor tersebut?
Tidak tahulah saya jika kontrak diberikan tanpa melalui tender tidak menyebut perkara sedemikian. Biasanya mesti ada, melainkan jika kita memberi kontrak kepada Cik Kiah menyiapkan apam balik untuk kenduri tahlil, mungkin tidak ada.
Pada masa sama, setiap bulan akan ada mesyuarat kemajuan kerja. Pihak kontraktor akan membentangkan sama ada kerja tersebut menepati kemajuan yang dirancang atau tidak.
Setiap laporan bulanan itu akan dibentang, direkod dan dihantar kepada pemberi kontrak. Jika beberapa kali masih lagi kemajuan tidak tercapai mengikut perancangan, apakah tindakan yang diambil oleh pemberi kontrak pula.
Semua itu ada dinyatakan dalam syarat kontrak. Dalam situasi bagaimana kontrak akan ditamatkan dan akan diberikan kepada kontraktor baharu.
Tidak tahulah saya, mungkin pembuat kapal perang tersebut hanya kontraktor itu sahaja yang pandai membuatnya.
Walaupun mungkin ia adalah kontrak melibatkan rahsia pertahanan dan kerajaan tidak boleh sewenang-wenangnya menamatkan kontrak kontraktor tersebut, mesti ada pelan susulan atau keadaan yang dinyatakan di dalam kontrak itu supaya tindakan lain boleh diambil.
Apabila lewat dan terpaksa membayar duit pendahuluan tanpa ada kemajuan kerja, boleh dikatakan pemberi kontrak itu bak kata pepatah, bodoh tak dapat diajar, pandai tak dapat mengajar.
Sekarang nampaknya pemberi kontrak masih ingin meneruskan kontrak tersebut dengan kontraktor yang sama. Kata menteri: "Kita tengok dulu kapal pertama ini bila siapnya.”
Nampaknya ramai orang tidak mengambil pengajaran atas apa yang berlaku. Bak kata pepatah, sudah teperlus, maka hendak menutup lubang? Berapa kali agaknya hendak teperlus?
* Faisal Muhamad ialah seorang jurutera kanan di sebuah syarikat lebuh raya dan amat meminati penulisan kreatif. Untuk berbual, e-mel beliau: mrfaisalmuhamad@gmail.com
Klik di sini untuk terus membaca