‘ALANG berjawab, tepuk berbalas’ merupakan ungkapan peribahasa Melayu yang bermaksud baik dibalas dengan baik, jahat dibalas dengan jahat. Pun begitu, ada yang jahat kerana perbuatan sendiri, manakala ada yang dituduh jahat kerana... Klik di sini untuk terus membaca

‘ALANG berjawab, tepuk berbalas’ merupakan ungkapan peribahasa Melayu yang bermaksud baik dibalas dengan baik, jahat dibalas dengan jahat.

Pun begitu, ada yang jahat kerana perbuatan sendiri, manakala ada yang dituduh jahat kerana perbuatan orang lain.

Daripada kaca mata dunia, kejahatan adalah berdasarkan bukti sahih dan jelas. Perkara di sebalik kejahatan tersebut, hanya ALLAH SWT yang Maha Mengetahui.

Bagi hukuman di dunia, tentunya kesalahan yang kecil akan dihukum dengan hukuman ringan, manakala hukuman berat bagi kesalahan yang besar.

Namun di sisi ALLAH SWT, setiap manusia akan menanggung dosa atas kejahatan yang diusahakannya selaras dengan firman ALLAH SWT: "ALLAH tidak memberati seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya. Ia mendapat pahala kebaikan yang diusahakannya dan juga menanggung dosa kejahatan yang diusahakannya.” (Surah Al-Baqarah, 2:286).

Namun begitu, pengampunan ALLAH SWT cukup luas sebagaimana firman-Nya: "Dan sesiapa yang melakukan kejahatan atau menganiaya dirinya sendiri (dengan melakukan maksiat) kemudian ia memohon ampun kepada ALLAH, nescaya ia akan mendapati ALLAH Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.” (Surah a-Nisa’, 4:10)

Sebetulnya, bukan mudah untuk menerima dan memaafkan kesalahan orang lain, tambahan pula jika kesalahan tersebut sangat besar serta memberi kesan kepada kita, masyarakat dan negara.

Tidak pelik jika ramai melakukan pelbagai refleksi untuk menzahirkan rasa benci dan meluat terhadap kesalahan dilakukan serta berasa puas dengan hukuman yang dikenakan.

Bagaimanapun, jika setiap kesalahan itu berpaksikan kebenaran tanpa digauli dengan sentimen, secara langsung kita akan berlapang dada menerima segala keputusan.

Berkaitan dengan sentimen, menurut perspektif psikologi, terdapat tiga elemen dalam diri manusia iaitu id (nafsu), ego (wahana yang memenuhi nafsu) dan superego (mengawal ego agar tidak memenuhi tuntutan nafsu).

Justeru, sifat membenci, marah, kecil hati, berdendam dan pelbagai sikap buruk adalah manifestasi kegagalan superego untuk mengawal ego agar tidak memenuhi kesemua tuntutan id (nafsu).

Jika dikaitkan dengan Islam, superego adalah keimanan. Kita dituntut untuk kekalkan keimanan walau mengharungi kemarahan, kekecewaan, sakit hati dan sebagainya.

Kegagalan kita mengawal iman, tentunya cercaan, memperlekeh, menghina mereka yang bersalah, berburuk sangka akan menyelubungi hati kita dan secara langsung memberi kesan kepada ketekalan iman serta ketenangan diri dalam jangka masa panjang.

Ingatlah, ketentuan takwa seseorang itu adalah bergantung kepada pengakhirannya, bukan pada permulaan dan pertengahan.

Berkaitan hal itu, Rasulullah SAW bersabda: "Sesungguhnya amalan itu dilihat pada pengakhirannya.” (Hadis Riwayat al-Bukhari).

Ia bermakna, setiap kejahatan yang dilakukan oleh seseorang itu tidak semestinya berakhir dengan keburukan sekiranya beliau gigih dan ikhlas memohon pengampunan daripada ALLAH SWT dan diterima taubatnya.

Pada masa sama, kita harus berwaspada kerana belum terjamin pengakhiran yang baik oleh ALLAH SWT.

Jadi, kita diseru berdoa sebagaimana Nabi SAW pernah berdoa agar diwafatkan dalam kesudahan hidup yang baik dan dijauhkan daripada kehinaan dunia serta azab neraka.

Doa tersebut diungkapkan oleh Busr bin Arthoh, bahawa aku mendengar Nabi SAW bersabda: "Ya Allah perbaikkanlah kesudahan segenap urusan kami dan lindungilah kami daripada kenistaan hidup di dunia serta seksaan hidup di akhirat.” (Hadis Riwayat Ibn Hibban).

Sedarlah, segala ucapan dan perbuatan kita adalah terjemahan daripada kesucian hati.

Buruknya ucapan dan perbuatan datangnya daripada hati yang rosak. Perbaikilah hati.

* Profesor Dr Huzili Hussin ialah Ketua Pusat Kecemerlangan Inovasi dan Kelestarian Sosial (COESIS), Universiti Malaysia Perlis.

Klik di sini untuk terus membaca