USAI setahun usia pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu, momentum perkembangan politik negara mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin ke peringkat klimaks.... Klik di sini untuk terus membaca

USAI setahun usia pentadbiran kerajaan Keluarga Malaysia pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad lalu, momentum perkembangan politik negara mendepani Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin ke peringkat klimaks.

Pada saat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencipta sejarah sebagai bekas ketua pentadbiran kerajaan pertama Malaysia yang dimasukkan ke penjara, UMNO-BN juga berdepan krisis keyakinan pengundi.

Hal itu susulan beberapa pemimpin parti dikaitkan pula skandal kapal tempur pesisir (LCS) bernilai lebih RM6 bilion, walaupun butiran laporan audit forensik projek tersebut dikatakan menyatakan nama seorang pemimpin UMNO yang kini sudah bersama Perikatan Nasional (PN).

Berdasarkan perhitungan itu, selain faktor undi Melayu kini berpecah kepada empat blok, susulan pembentukan Gerakan Tanah Air (GTA), Ismail Sabri selaku Naib Presiden UMNO sendiri mengunjurkan agak sukar bagi UMNO-BN menang sendirian pada PRU15 sekiranya ia diadakan pada waktu tidak sesuai.

Ismail Sabri

FENOMENA PARLIMEN TERGANTUNG

Lebih menarik, Ahli Parlimen Bera itu turut menggambarkan kesannya mungkin membawa kepada fenomena Parlimen tergantung selepas PRU15.

Beliau secara realistiknya merasakan agak sukar UMNO-BN menang sendirian susulan kecenderungan undi rakyat kepada parti itu masih belum jelas walaupun bersandarkan keputusan menang besar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor.

Bagaimanapun, saintis politik, Profesor Dr Wong Chin Huat berpandangan senario Parlimen tergantung yang menjadi kerisauan ramai termasuk Ismail Sabri, sekiranya berlaku, tidaklah menyebabkan keadaan teruk seperti digambarkan.

"Sejak selepas Perang Dunia Kedua, semua kerajaan di Jerman adalah merupakan kerajaan campuran...dan hari ini, Jerman tetap muncul sebagai kuasa ekonomi antara yang paling kuat dalam kalangan negara Kesatuan Eropah (EU)," jelasnya.

Kenyataan Chin Huat itu disambut oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang berpandangan PRU15 dalam masa terdekat adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan lagi.

Bagi sebilangan pemerhati politik, kebimbangan berlaku senario Parlimen tergantung sebenarnya bukan alasan kukuh untuk mana-mana pihak menidakkan keperluan kerajaan mengadakan PRU segera.

Dengan negara berterusan berdepan isu ketidakstabilan politik termasuk Ismail Sabri sendiri menerima tekanan dari segenap sudut, aspek keperluan mengadakan pilihan raya dianggap lebih mendesak bagi mengelakkan keyakinan pelabur asing terhadap ekonomi negara semakin menguncup.

"Episod tersebut saya simpulkan sebagai entry point bagi UMNO-BN mengadakan PRU dengan harapan koalisi itu menang besar.

"Namun saya berpandangan pemulihan ekonomi sukar diterjemahkan dalam bentuk undi kerana sikap pengundi Malaysia bersifat pesimis.

"Mereka sentiasa merasakan negara akan sentiasa menuju kemunduran tanpa perubahan atau pembaharuan kepimpinan.

"Saya juga merasakan isu kemungkinan Parlimen tergantung selepas PRU15 bukan alasan PRU perlu ditangguh kerana apa pun berlaku selepas PRU15 adalah kehendak rakyat.

"Solusinya adalah ahli politik perlu mencari penyesuaian dengan kehendak rakyat untuk adakan kerajaan campuran.

"Kes kajian seperti pembentukan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) di Sabah dilihat berjaya. Ataupun, jika ahli politik tidak berupaya, lakukan pilihan raya semula sebagaimana yang berlaku di Israel," ujar Penyelidik Kanan O2 Research Malaysia, Anis Anwar Suhaimi pada Sinar Premium.

TIADA KONSENSUS

Sementara itu, penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM), Profesor Dr Sivamurugan Pandian berpandangan, senario Parlimen tergantung hanya wujud jika tiada konsensus daripada parti politik untuk membentuk kerajaan gabungan yang jelas.

Bagaimanapun, beliau melihat senario itu sebagai pilihan terakhir untuk dipertimbangkan parti-parti politik Malaysia susulan dua kerajaan ditubuhkan selepas PRU14 adalah berasaskan proses mediasi dan tawar-menawar dalam kalangan parti utama.

"Situasi Parlimen tergantung pernah berlaku di Australia dan Britain, di mana parti yang tidak mendapat kerusi banyak masih boleh membentuk kerajaan dengan sokongan parti lain.

"Di Malaysia, kerajaan Persekutuan adalah gabungan di antara BN, Perikatan Nasional (PN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Namun Perdana Menteri masih boleh menjalankan tanggungjawab sebagai ketua kerajaan dengan lancar, selain kesemua urusan kerajaan dapat diselesaikan secara efisien.

"Justeru, apabila UMNO-BN menyatakan tidak mengapa keadaan seperti itu wujud, maka penjajaran politik masih boleh berlaku termasuk pembentukan kerajaan perpaduan sebagaimana pernah dicadangkan dua tokoh veteran, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Lim Kit Siang.

"Jika berlaku keadaan seperti itu, masing-masing perlu ketepikan kepentingan politik dan bersedia untuk bekerjasama bagi memastikan kestabilan politik tercapai.

"Dengan erti kata mudah, iltizam politik yang kuat perlu ada," tegas Sivamurugan lagi.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik East Asian International Relation Caucus (EAIR Malaysia), Datuk Dr Ruhanie Ahmad menjelaskan, situasi Parlimen tergantung sememangnya berpotensi besar berlaku susulan negara kini berdepan dengan sistem pelbagai parti dan bukan sistem dua parti sewaktu PRU14.

Ruhanie

Jelas beliau, sekiranya UMNO-BN memilih untuk bergerak solo, itu pilihan mereka.

Namun kestabilan politik kaum Melayu mungkin terjejas susulan kemungkinan parti pembangkang lain mewujudkan persefahaman 'sulit' bagi mengelakkan pertembungan sesama mereka.

"Adakah kita mahu terus berpecah-belah atau jadikan pilihan raya sebagai langkah untuk penyatuan? Kita perlu move on dan memandang ke hadapan," katanya.

Klik di sini untuk terus membaca