PERKEMBANGAN semasa bakal mengghairahkan kembali pengundi yang sebelumnya letih, lesu dan kecewa dengan politik. Justeru, politik negara dijangka hangat dengan parti-parti siasah tentunya akan meneliti situasi dan merangka strategi masing-masing selepas pemenjaraan Datuk Seri Najib Tun Razak menjelang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Setelah lima hari Najib di penjara, yang paling ‘terpasung’ adalah UMNO itu sendiri, bukannya Najib. Mengapa begitu?
Pertama, ketiadaan Najib dijangka menjejaskan kekuatan parti dari aspek populariti dibawanya melalui fenomena ‘Bossku’ – antara faktor penting yang menyumbang kepada kemenangan UMNO dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) bagi menghadapi PRU15.
Walaupun nasib Najib sudah selesai tetapi pemenjaraan itu mencemar reputasi dan kredibiliti parti yang mungkin sukar dipertahankan kepada pengundi.
Najib menjadi figura UMNO paling popular selepas PRU14 walaupun beliaulah juga punca utama kejatuhan parti itu dalam PRU tersebut. Namun, kini segalanya berulang kembali.
Tugas berat UMNO selepas ‘Bossku’ dipenjara adalah kawalan kerosakan (damage control) yang bakal menjejaskan momentum dan persiapan PRU15 mereka.
Hukuman terhadap Najib akan menenggelamkan isu-isu yang dibawa oleh UMNO, melainkan UMNO berani untuk tidak mencalonkan mereka yang terkait kes mahkamah pada PRU15 – yang mustahil UMNO lakukan, pembangkang jelas berkelebihan.
Kalau pun mereka itu bertanding, ia hanya akan menguatkan lagi persepsi bahawa UMNO parti rasuah dan tidak berubah walaupun mereka itu calon boleh menang di kawasan masing-masing.
Namun, dari perspektif politik angka, mereka bakal menjejaskan peluang UMNO untuk meraih kerusi-kerusi signifikan bagi membentuk majoriti terutama di kawasan bandar dan separa bandar.
Bagi pembangkang, ia menyegarkan kembali root cause mereka dengan naratif UMNO parti korup dan wajib dihalang daripada berkuasa semula.
Pendedahan skandal kapal tempur pesisir (LCS) yang memetik beberapa nama pemimpin (atau bekas pemimpin) UMNO dilihat ampuh untuk menyegarkan kembali sebab mengapa rakyat wajib tolak UMNO seperti sebelumnya.
Cuma isunya sekarang, apakah perkara itu mampu menyatukan kembali pembangkang dalam satu pakatan tersusun seperti pada PRU14.
Dan adakah dengan kehadiran semula Rafizi Ramli dalam kepimpinan Pakatan Harapan (PH) akan menghalang terus idea penyatuan (baca: khemah besar) kesemua parti pembangkang dalam satu gabungan melawan UMNO?
Setakat ini pembangkang hanya sibuk ‘ambil kredit’ untuk parti masing-masing atas pemenjaraan Najib, itu sahaja.
Ketiga, bagaimana pula naratif UMNO bagi menghadapi parti lawan. Setakat ini UMNO masih kuat bersolidariti bersama Najib. Namun, ia dijangka tidak mampu menyatukan pimpinan UMNO yang mungkin terpecah kepada beberapa kumpulan.
Kumpulan mana yang menguasai akan membentuk naratif UMNO seterusnya. Walaupun begitu, naratif Melayu-Islam dan kestabilan politik tidak mampu mengimbangi naratif korupsi serta salah guna kuasa yang bakal digunakan pembangkang.
Lebih malang apabila pemimpin-pemimpin kanan UMNO dilihat cuba memesongkan perhatian daripada menjawab isu-isu berbangkit.
Tindakan itu bukan sahaja menguatkan lagi persepsi umum bahawa UMNO parti yang korup dan masih tidak berubah, ia turut mengundang ingatan lalu atas perkara serupa menyebabkan rakyat marah, lantas berani menolak UMNO dan memilih PH.
Seeloknya, UMNO perlu lekas beralih daripada kes Najib dan segera membetulkan persepsi negatif yang timbul akibat skandal yang terkait.
Yang buat hal hanya Najib dan segelintir pemimpin tidak amanah. Masih ramai mereka yang bersih, amanah dan berkebolehan dalam UMNO yang tidak bersalah. Mereka inilah akan terbeban dengan masalah dilakukan oleh mereka yang korup dalam UMNO. Kalau itu berlaku, yang rugi adalah UMNO itu sendiri.
* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Klik di sini untuk terus membaca