RUPANYA saya adalah seorang perasuah. Bukan saya sahaja yang perasuah tetapi kawan saya – Ah Cheah, Ah Beng, Ah Lian, Ramasami, Alfred, Elizabeth, Sukhdev Singh dan ramai lagi juga kuat rasuah. Begitulah andaian saya berdasarkan kepada... Klik di sini untuk terus membaca

RUPANYA saya adalah seorang perasuah. Bukan saya sahaja yang perasuah tetapi kawan saya – Ah Cheah, Ah Beng, Ah Lian, Ramasami, Alfred, Elizabeth, Sukhdev Singh dan ramai lagi juga kuat rasuah.

Begitulah andaian saya berdasarkan kepada logik dan hujah Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang yang baru-baru ini mengeluarkan kenyataan bahawa golongan tidak berintegriti dan punca rasuah adalah golongan paling besar merosakkan politik serta ekonomi negara. Majoriti mereka adalah daripada kalangan bukan Islam dan bukan bumiputera.

Ramai yang marah dan kecewa dengan kenyataan bersifat pukul rata itu. Sebarang tuduhan yang dilemparkan harus bersandarkan kepada bukti atau data kukuh. Dalam hal ini, kenyataan Abdul Hadi dilihat bersifat konfrontasi yang dilapik elemen sempit prejudis kaum dan agama.

Lantaran kenyataan tersebut, beliau telah dikritik banyak pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO), malah pemimpin-pemimpin politik negeri Sarawak turut menyarankan agar Presiden Pas itu dilarang daripada memasuki negeri itu seumur hidup.

Inilah contoh polemik lama yang tidak pernah pudar daripada kaca mata masyarakat walaupun pada bulan sambutan kemerdekaan.

Tatkala pihak kerajaan gigih mempromosi mesej perpaduan dan keharmonian sempena bulan merdeka, ironinya pemimpin kanan daripada kerajaan Keluarga Malaysia yang sama pula mengeruhkan suasana dengan kenyataan-kenyataan berbaur prejudis terhadap masyarakat bukan Islam serta bukan bumiputera.

Namun, kekecewaan kita terhadap skandal rasuah tidak memberi justifikasi untuk menuding jari kepada mana-mana kaum atau agama, khususnya tuduhan liar yang menghukum tanpa usul periksa.

Propaganda politik murahan bukan sebuah legasi yang harus Malaysia anugerahkan kepada generasi muda. Biarlah polemik lama yang dicetuskan oleh generasi Old and Dangerous berkubur pada zaman mereka, seperti mana suatu ketika dahulu Tun Dr Mahathir Mohamad menegur orang Melayu sebagai ‘malas’ sehingga mencetuskan perdebatan umum.

Ia bukan sahaja tidak menjurus kepada penyelesaian masalah, malah menjadi modal sinikal dalam ceramah politik yang jauh terpesong daripada objektif asal teguran Dr Mahathir.

Dari perspektif itulah, Kopitiam Kita melihat persamaan teguran ‘Melayu malas’ dengan kenyataan Abdul Hadi menyalahkan kaum bukan bumiputera dan bukan Islam sebagai punca rasuah – kedua-duanya mengikat secara spesifik identiti sesuatu kaum atau agama dengan suatu budaya negatif bersifat umum tanpa satu justifikasi saintifik atau disokong oleh data. Natijahnya, orang politik bersyarah, rakyat pula yang berbalah.

Biar apa yang berlaku, yakinlah bahawa golongan muda masih berpegang kepada nilai menghormati golongan lebih berusia.

Bagaimanapun, generasi muda Malaysia harus diasingkan daripada kontroversi lapuk yang dicetuskan orang-orang lama.

Anak-anak Malaysia inginkan perpaduan, keharmonian dan kesejahteraan kerana itulah nilai serta makna sebenar sebuah kemerdekaan. Itulah legasi sebenar untuk mereka.

Di ambang sambutan Hari Merdeka, Kopitiam Kita berdiri teguh bersama jutaan anak Malaysia yang benci budaya rasuah dan diskriminasi terhadap jantina, kaum serta agama.

Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Ayuh bersama kita rapatkan saf dan melakar agenda perpaduan negara demi keharmonian serta kesejahteraan kita bersama.

Merdeka, Merdeka, Merdeka!

* Lim Chee Wei ialah anak jati Kedah yang minat filem retro.

Klik di sini untuk terus membaca