TINGGAL di salah satu bahagian termiskin di Timur Tengah dan menghadapi kenaikan harga kos bahan api yang tertinggi di rantau itu, seorang penduduk Palestin dan kumpulannya di Gaza bertindak membakar barangan plastik untuk membuat diesel... Klik di sini untuk terus membaca

TINGGAL di salah satu bahagian termiskin di Timur Tengah dan menghadapi kenaikan harga kos bahan api yang tertinggi di rantau itu, seorang penduduk Palestin dan kumpulannya di Gaza bertindak membakar barangan plastik untuk membuat diesel mampu milik.

Ia merupakan satu penyelesaian ekonomi dan praktikal di wilayah yang disekat oleh tentera Israel selama 15 tahun lalu dan dihuni oleh penduduk Gaza yang sebahagian besarnya hidup dalam kemiskinan akibat penjajahan rejim Zionis.

Berdiri di hadapan jentera logam berkarat dan bekas bahan api, seorang penduduk Gaza, Mahmoud al-Kafarneh menerangkan bagaimana dia dan adik-beradiknya yang lain menghasilkan projek kitar semula plastik bagi menghasikan diesel mampu milik itu.

"Kami mula bereksperimen untuk melaksanakan projek itu pada tahun 2018, melalui carian di internet. Kami gagal beberapa kali. Selepas lapan bulan, kami berjaya menghasilkan bahan api,” katanya kepada AFP di kawasan Jabalia di utara Gaza.

Dalam projek tersebut, persediaan penyulingan menggunakan kelengkapan satu siri tangki dan paip penyambung manakala proses itu bermula dengan pembakaran kayu di dalam relau di bawah tangki besar yang dilitupi lumpur.

Ia boleh yang memuatkan sehingga 1.5 tan plastik yang dihiris dan apabila plastik cair, wap mengalir melalui paip ke dalam tangki air di mana ia menjadi sejuk serta menitis sebagai bahan api ke dalam bekas sedia untuk dijual.

Dalam proses tersebut, asap kelabu hitam keluar dari beberapa paip memanjang di atas relau dan tangki yang memegang plastik manakala hanya terdapat segelintir pekerja memakai topeng muka serta sarung tangan semasa mereka mencairkan beg berisi plastik yang telah dihiris dengan pakaian mereka diliputi warna hitam.

Kafarneh berkata, tiada siapa yang mengalami masalah kesihatan sejak projek itu bermula di sebuah lokasi yang terletak di sebelah pokok zaitun dan jauh dari bangunan kediaman dengan menambah bahawa semua prosedur keselamatan diikuti di tempat kerja.

Di Gaza yang merupakan wilayah dijajah rejim Zionis dan tempat berlakunya pertempuran antara tentera Israel dengan kumpulan Jihad Islam selama tiga hari pada awal bulan ini sehingga mengorbankan sekurang-kurangnya 49 penduduk Palestin, keperluan hidup menjadi keutamaan kepada penghuni-penghuninya.

Kafarneh yang berusia 25 tahun berkata, dia mampu untuk menaik taraf peralatan mereka untuk menghasilkan diesel mampu milik itu dengan menggunakan tangki lebih selamat yang dikendalikan oleh tenaga elektrik.

"Tetapi ia tidak tersedia kerana sekatan yang dilakukan oleh Israel,” katanya.

Sejak tahun 2007, apabila pergerakan Islam Hamas menguasai Semenanjung Gaza, Israel telah menyekat aliran masuk orang ramai dan barangan dari kawasan pesisir pantai itu yang mana seramai 2.3 juta orang tinggal di wilayah miskin tersebut.

Kadar pengangguran di Gaza mencecah kira-kira 47 peratus dan purata gaji harian adalah sekitar 60 shekel (RM62.42), menurut Biro Perangkaan Pusat Palestin manakala petrol yang dihantar dari Israel melonjak sehingga lapan shekel (RM10.99) seliter di Gaza.

Situasi itu berlaku selepas pencerobohan tentera Rusia ke atas Ukraine pada 24 Februari lalu sehingga menyebabkan harga bahan api global melonjak sebelum ia menurun semula.

Ia menyebabkan permintaan melonjak untuk bahan api yang dihasilkan dan dijual oleh Kafarneh dengan para nelayan dan petani menjadi antara pelanggan utama projek yang menghasilkan diesel mampu milik diketuai oleh pemuda Gaza itu.

SEPARUH HARGA

Di tepi pelabuhan di Bandar Gaza, seorang lelaki, Abd al-Muti al-Habil menggunakan hos untuk mengisi tangki bot nelayannya dan menyatakan bahawa diesel tersebut digunakan kerana ia separuh daripada harga kos yang dijual Israel.

"Tiada keburukan. Ia adalah kualiti yang sama, ia tidak menjejaskan motor dan ia berfungsi dengan cekap," katanya.

Diesel mampu milik dijual pada harga lebih murah berbanding yang diimport dari luar Gaza. - Foto AFP

Satu-satunya masalah bagi Habil ialah kekurangan bekalan bahan api tersebut kerana terdapat kira-kira 10 buah bot kini menggunakan diesel yang diperbuat daripada plastik yang dihasilkan oleh pemuda dan kumpulannya itu.

"Malangnya kuantitinya tidak mencukupi. Saya hampir tidak mendapat 500 liter setiap dua hari," katanya.

Bot-bot Habil menggunakan 900 liter bahan api selama 12 jam di laut dan merupakan jumlah kuantiti yang tidak mampu dibeli jika dia bergantung hanya semata-mata kepada bahan api import.

Satu tangki berisi plastik boleh menghasilkan 1,000 liter bahan api bagi setiap 12 hingga 14 jam, tetapi pasukan Kafarneh mesti menunggu sehingga lapan jam untuk peralatan menjadi sejuk sebelum mereka boleh memulakan semula proses menghasilkan diesel tersebut.

Jumlah yang dihasilkan juga bergantung kepada ketersediaan bahan mentah.

Di kemudahan pengasingan berhampiran tapak penyulingan, terdapat enam orang lelaki berada di timbunan bakul, mangkuk, baldi dan sisa plastik lain yang menjulang tinggi.

"Kami mendapat plastik daripada pekerja yang mengumpulnya dari jalan. Kami membelinya daripada mereka, kemudian kami memisahkannya dan mengisarnya melalui mesin khas," kata Imad Hamed, yang tangannya dicemari dengan kotoran hitam akibat kerja-kerja di tapak penyulingan tersebut.

Dengan pengisar bergantung kepada tenaga elektrik, Hamed berkata, pekerjaan mereka sering terganggu akibat terputusnya tenaga elektrik yang kronik di Gaza.

"Kadangkala, kami terpaksa bekerja pada waktu malam dengan mengikut waktu bekalan tenaga elektrik berfungsi,” katanya. - Agensi

Klik di sini untuk terus membaca