SHAH ALAM - Bahang Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) semakin terasa apabila dua parti politik dan sebuah gabungan dijangka mengadakan perhimpunan penting hari ini dengan agenda utamanya adalah berkenaan hala tuju dan persiapan menjelang PRU15.
Timbalan Ketua Pemuda Perikatan Nasional (PN), Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, perkara yang akan dibincangkan gabungan itu adalah strategi dan tawaran yang boleh digunakan untuk memikat pengundi.
"Kami mahu memastikan pengundi dan rakyat melihat PN sebagai penyelesai segala masalah yang ada. Itulah tawaran yang akan kita bincangkan esok,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Setiausaha Agung PN, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebelum ini memaklumkan Konvensyen PN akan diadakan buat pertama kali bersekali dengan Majlis Sambutan Ulang Tahun kedua PN di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS) Serdang pada Sabtu.
Kata Hamzah, konvensyen itu akan dirasmikan Pengerusi PN, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan dihadiri semua presiden parti komponen, pimpinan dan perwakilan yang dijangka seramai 1,800 orang, termasuk semua ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN seluruh negara.
Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal yang juga Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menambah, konvensyen itu bakal menggariskan tema-tema besar perjuangan PN sepanjang dua tahun penubuhannya.
"Kita akan imbas semula apa yang telah kami sumbangkan kepada rakyat dan beri penghargaan kepada wira-wira yang membantu negara sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
"Dan sudah tentu kita membincangkan masalah rakyat seperti masalah pengangguran dan ekonomi,” ujarnya.
Menurutnya, konvensyen itu diadakan bukan mahu bercerita tentang politik sebaliknya tentang bagaimana negara ini boleh bergerak ke hadapan.
"Kita nak cakap tentang bagaimana negara ini boleh bergerak ke hadapan di tengah-tengah krisis. Itulah keutamaan pada Sabtu ini,” ujar beliau.
Sementara itu, Konvensyen Pilihan Raya Parti Keadilan Rakyat (PKR) 2022 yang berlangsung pada Sabtu akan menjadi titik persediaan semua lapisan pimpinan tertinggi dan akar umbi menuju PRU15.
Pengarah Konvensyen Pilihan Raya PKR 2022, Manivanan Gowin berkata, objektif utama konvensyen tersebut adalah untuk menetapkan hala tuju strategi parti, mengemas kini arahan persediaan kempen kepada seluruh lapisan jentera parti dan menyuntik semangat serta membentuk jati diri anggota dalam memasuki PRU15.
Menurutnya, menerusi program sama, Pengarah Pilihan Raya PKR, Rafizi Ramli akan menekankan beberapa strategi yang perlu diberi perhatian oleh akar umbi.
"Dengan berkonsepkan objektif utama ini, saya berharap akar umbi akan hadir dan memberikan komitmen yang jitu kerana masing-masing juga sedang menunggu isyarat dan hala tuju parti dalam mengharungi PRU15 akan datang,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Manivanan turut memaklumkan, lebih 3,000 peserta dijangka menghadiri konvensyen tersebut yang berlangsung di Dewan Raja Muda Musa, Kompleks Belia dan Kebudayaan Negeri Selangor, Seksyen 7, Shah Alam, Selangor bermula jam 2 hingga 5 petang.
Jelas beliau, jumlah itu melebihi jangkaan awal iaitu seramai 2,000 penyertaan.
"Setakat petang (Jumaat) ini, pendaftaran masih lagi dibuka sedangkan perancangan awal hari terakhir pendaftaran adalah pada Khamis.
"Selagi akar umbi berkeinginan untuk hadir, kita akan terima. Yang penting mereka menunjukkan komitmen yang luar biasa khususnya menjelang PRU15 ini,” ujarnya.
Konvensyen yang terbuka kepada semua lapisan pimpinan PKR itu akan dibahagikan kepada dua segmen dengan yang pertama membabitkan suara akar umbi manakala kedua suara pimpinan parti.
Suara pimpinan terdiri daripada ucapan dan amanat khas pilihan raya oleh Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan amanat strategi pilihan raya oleh Rafizi.
Klik di sini untuk terus membaca