SHAH ALAM - Seorang ahli sains politik yang khusus dalam sistem pilihan raya, Profesor Dr Wong Chin Huat mendedahkan UMNO berkemungkinan berdepan kemerosotan kerusi jika nekad mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat.
Jelas Chin Huat, berdasarkan kajiannya, jika Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membubarkan Parlimen sekarang, BN/UMNO dijangka hanya boleh menang kira-kira 60 kerusi iaitu merosot sehingga 30 kerusi berbanding lebih 90 kerusi, sebelum ini.
Katanya lagi, dengan pelbagai isu semasa menghantui UMNO terutamanya melibatkan kes-kes rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa di mahkamah, ia akan menaikkan kadar sokongan pengundi di atas pagar termasuk orang muda untuk mengundi blok lain pada PRU15 nanti.
"UMNO mungkin merasakan tindakan mereka mendesak Perdana Menteri membubarkan Parlimen lebih awal adalah tepat tetapi, hakikat sebenarnya berbeza.
"BN menang dua per tiga kerusi Dewan Udangan Negeri (DUN) dalam PRN Johor bukan kerana majoriti pengundi menyokong mereka tetapi sebaliknya kerana tidak ramai pengundi atas pagar keluar mengundi. Kalau dibandingkan dengan jumlah pertambahan pengundi BN pada 2013 dan 2018, cuma ada pertambahan 17,000 undi sahaja.
"Kalau kita bandingkan dengan blok pembangkang (Perikatan Nasional dan Pakatan Harapan) hilang 170,000 pada PRN Johor berbanding PRU14. Ini bermaksud penyokong mereka dan pengundi atas pagar tidak keluar mengundi.
"Jadi jika PRU15 berlaku sekarang pembangkang tidak perlu berkempen secara nyata kerana itu akan merosakan undi mereka sahaja. Namun mereka perlu mendefinisikan bahawa ini adalah usaha golongan kleptokrat atau kluster mahkamah mahu campur tangan dalam sistem kehakiman dan pelaksanaan keadilan di Malaysia.
"Bukti paling jelas adalah tindakan penyokong Najib memohon supaya bekas Perdana Menteri itu segera diberikan pengampunan biarpun Ahli Parlimen Pekan itu baru beberapa hari dipenjarakan oleh Mahkamah Persekutuan," katanya kepada Sinar Premium.
Tambah Chin Huat, jika PRU15 diadakan kerana Perdana Menteri didesak atau dipaksa oleh UMNO, maka Ismail Sabri akan dilihat 'dikuasai' golongan kleptokrat.
Apa lebih penting, Chin Huat berkata, beliau percaya undi BN akan berpecah kepada dua kerana kumpulan yang mahukan PRU15 diadakan secepat mungkin dan golongan penyokong Perdana Menteri sekali gus menjadi antara faktor UMNO memperoleh keputusan teruk nanti.
"Jadi kesimpulannya, jika PRU15 diadakan sekarang isu utama seperti 1Malaysia Development Berhad (1MDB), SRC International dan kapal tempur pesisir (LCS) akan menaikkan semangat penyokong pembangkang dan pengundi di atas pagar untuk memberikan makna bahawa undi mereka bernilai dan akan terus menolak UMNO," katanya.
Dalam pada itu, Chin Huat berkata, isu paling bahaya serta ibarat 'bom jangka' bagi BN dan UMNO sekarang adalah skandal pembinaan LCS milik Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) kerana bukan hanya membabitkan isu rasuah, penyelewengan dan salah guna kuasa, malah soal pengkhianatan, keselamatan dan kedaulatan negara.
Beliau berkata, skrip drama LCS lebih senang diterangkan, difahami dan dimanipulasikan oleh parti pembangkang berbanding kes 1MDB kerana kerajaan sudah membayar kira-kira RM6 billion kepada pihak terbabit, namun sehingga kini tidak ada sebuah kapal pun dapat disiapkan dan diserahkan kepada TLDM.
PH, PN ADA MASA SUSUN STRATEGI
Bagaimanapun, Felo Penyelidik Pusat Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL), Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi berpendapat, UMNO terus mendesak Perdana Menteri, membubarkan Parlimen lebih awal bagi mengelakkan PH dan PN menggunakan isu LCS sebagai senjata dan modal kempen untuk menewaskan mereka nanti.
Awang Azman berkata, jika PM lambat membubarkan Parlimen maka ia akan memberi peluang dan ruang kepada PH dan PN untuk menyusun strategi kempen, memulihkan hubungan sesama pembangkang dan membentuk jajaran baharu politik tanah air serta mencari lebih banyak isu terkini bagi menyerang BN.
"Semakin lambat pembubaran Parlimen dan PRU15 ditunda, maka semakin baik peluang PH dan PN untuk menang. Jika PRU15 diadakan pada Mac selepas kerajaan membenarkan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) maka isu seperti LCS tidak akan timbul. Jadi semakin lama Perdana Menteri menangguhkan PRU15 maka ia membuka ruang lebih besar kepada PH dan PN menyediakan senjata dan peluru untuk menyerang BN/UMNO.
"Saya berpandangan semakin lama Perdana Menteri menangguhkan PRU15 maka semakin pudar sokongan pengundi terutama golongan atas pagar terhadap BN.
"Sebenarnya, bagi saya BN/UMNO sudah terlewat jika mahu PRU15 diadakan dalam masa terdekat kerana masa terbaik adalah pada Ogos tahun lalu selepas Ismail Sabri mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri dan mendapat mandat baharu.
"Ini kerana ketika itu sentimen rakyat terhadap BN/UMNO sangat tinggi. Pilihan kedua adalah selepas kerajaan membenarkan pengeluaran KWSP RM10,000 seperti diperjuangkan UMNO sebelum ini. Masa kedua ialah pada Julai lalu, namun jika Perdana Menteri membubarkan Parlimen pada Oktober ini peluang BN/UMNO untuk menang PRU15 adalah 50:50.
"Malah, saya kira gabungan pembangkang mempunyai lebih peluang untuk kembali berkuasa di Putrajaya jika Perdana Menteri menangguhkan PRU15 pada tahun depan," katanya.
SENTIMEN ORANG MUDA
Dalam pada itu, Pensyarah Kanan Pusat Perdana Fakulti Teknologi dan Informatik Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Dr Mazlan Ali berkata, pendedahan Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli mengenai skandal LCS menyebabkan pengundi muda marah dan menolak UMNO/BN pada PRU15 nanti.
Mazlan berkata, keputusan Mahkamah Persekutuan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta terhadap Najib juga mengesahkan andaian bahawa kes penyelewangan dana SRC dan 1MDB itu memang satu jenayah terancang.
"Sebelum ini ramai pemimpin UMNO menegaskan Najib tidak bersalah kerana belum dibuktikan salah oleh mahkamah. Oleh itu, hari ini UMNO tidak boleh menjawab persoalan mengenai integriti yang sangat dipandang tinggi oleh rakyat sehinggakan BN ditolak pengundi dan tewas pada PRU14 lalu.
"Oleh itu, saya menjangkakan BN akan menghadapi masalah untuk menang PRU15 dan meraih sokongan pengundi atas pagar dan golongan muda yang menentukan kemenangan mereka kecuali di kawasan 'fix deposit' UMNO," katanya.
Klik di sini untuk terus membaca