KUALA LUMPUR - Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) menjadi gamat dengan teriakan 'bubar, bubar, bubar' setiap kali Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyebut mengenai Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada taklimat khasnya kepada perwakilan parti pada Sabtu.
Laungan 'bubar, bubar, bubar' oleh kesemua perwakilan UMNO seusai Ahmad Zahid berucap juga sudah cukup memberi isyarat bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sudah kesuntukan masa dalam memenuhi tuntutan akar umbi UMNO.
Ketika perwakilan melaungkan 'bubar, bubar, bubar,' Ahmad Zahid yang berada di atas pentas mengangguk tanda setuju.
Hal ini ditambah dengan persepsi sebilangan pemimpin UMNO pro-Najib yang mendakwa Ismail Sabri seolah-olah tidak bersungguh-sungguh untuk membantu menyelesaikan kes mahkamah dihadapi pemimpin lebih dikenali gelaran 'Bossku'.
Sebelum itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya meminta semua jentera UMNO dan BN bersedia untuk menghadapi PRU15 pada bila-bila masa.
"MKT UMNO sentiasa konsisten mahukan PRU15 diadakan segera terutamanya selepas imuniti kelompok berjaya dicapai.
"Bila lagi? Kita konsisten dan istiqamah menuntut segerakan PRU15 kerana kita menghormati mandat rakyat. Kita mahu kerajaan yang mempunyai keabsahan rakyat, bukan melalui percaturan politik.
"Kita mahu pulangkan mandat itu kepada rakyat. Kita konsisten sejak dari awal lagi lagi," katanya.
Beliau juga meminta semua akar umbi menyokong petisyen pengampunan Najib.
Namun katanya, apa jua keputusan bergantung kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong.
"Tulisan beliau di Facebook juga akan dibukukan dan dijadikan sebagai bacaan, seterusnya menjadi senjata UMNO yang perlu digerakkan," jelasnya.
Dalam pada itu, difahamkan Ismail Sabri tidak dapat menghadiri program solidariti kepada Najib di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur itu kerana perlu memenuhi atur cara program lain di Pahang.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Komunikasi dan Multimedia (K-KOM), Tan Sri Annuar Musa turut tidak kelihatan.
Bagaimanapun, difahamkan Ismail Sabri dijangka menyertai mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi UMNO yang diadakan pada sebelah malam Sabtu.
Terdahulu, ribuan ahli UMNO membanjiri taklimat yang dilihat sebagai majlis solidariti kepada Najib.
TERSENTUH UCAPAN NOORYANA
Selain ucapan taklimat khas Ahmad Zahid, ribuan yang hadir turut tersentuh dengan luahan hati dua anak Najib iaitu Datuk Mohd Nizar dan Nooryana Najwa.
Diiringi ibu mereka, Datin Seri Rosmah Mansor, ramai perwakilan UMNO turut mengalirkan air mata mendengar rintihan Nooryana yang berjanji akan terus memperjuangkan keadilan buat bapanya selain meneruskan perjuangan Najib dalam parti.
Berkongsi lanjut memori bersama bapanya, Nooryana Najwa mendedahkan rakyat adalah umpama anak buat Najib sehingga sanggup berkorban masa dan tenaga selama lebih 46 tahun demi keselesaan dan kesenangan yang dikecapi rakyat ketika ini.
AZALINA CABAR BUBAR HARI INI
Ucapan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Seri Azalina Othman Said turut membakar semangat perwakilan UMNO yang hadir apabila beliau mencabar Parlimen dibubarkan 'hari ini' bagi melihat sama ada parti itu atau musuh ketat mereka, Perikatan Nasional (PN) lebih kuat.
Lebih menarik, tanpa menyebut nama sesiapa, bekas Timbalan Speaker Parlimen itu seolah-olah menyindir Ismail Sabri apabila mempersoalkan kegagalan kerajaan menukar Peguam Negara.
Perkara dibangkitkan Azalina itu sudah pasti memberi tamparan hebat kepada Ismail Sabri, meskipun beliau dilantik sebagai Penasihat Khas kepada Perdana Menteri tahun lalu.
Pada masa sama, laungan 'lawan tetap lawan' diungkapkan Azalina turut mendapat reaksi positif perwakilan UMNO walaupun slogan itu dilihat hampir menyamai slogan parti musuh iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Berbalik kepada keputusan pengekalan sabitan bersalah Najib dalam kes penyelewengan dana SRC International Bhd bernilai RM42 juta, dua peguam beliau iaitu Tan Sri Mohamed Shafee Abdullah dan Datuk Zaid Ibrahim turut diberi ruang berucap pada pentas utama UMNO itu.
Mohamed Shafee mendakwa beliau memiliki sebanyak 40 asas pembuktian merit yang dianggap mencukupi bagi membolehkan Najib dibebaskan daripada sabitan hukuman bersalah dihadapi beliau.
Peguam Najib di peringkat Mahkamah Persekutuan, Datuk Zaid Ibrahim melalui klip tayangan video ringkas pula secara terbuka 'menyerang' institusi kehakiman negara apabila menyeru ahli-ahli UMNO menjadikan kemenangan parti itu pada PRU15 sebagai platform mengembalikan kegemilangan institusi berkenaan.
Dengan mesyuarat MKT UMNO dijangka diadakan pada malam ini, tekanan dihadapi Ismail Sabri dijangka semakin memuncak bagi menentukan sama ada PRU15 harus disegerakan dalam tempoh masa lebih dekat berbanding jangkaan terkini penghujung November tahun ini.
Pada masa sama, UMNO-BN tidak boleh terlalu yakin pelaksanaan PRU15 lebih awal akan memihak kepada mereka, tatkala mereka kini berdepan krisis kepimpinan dan terbaru, implikasi skandal kapal tempur pesisir (LCS).
Klik di sini untuk terus membaca