BEBAN kewangan dan kerugian akibat rasuah, pecah amanah serta penyelewengan sangat tinggi. Banyak negara tidak dapat membangun kerananya, manakala sebahagian kecil bankrap terus. Sri Lanka misalnya, sedang mengalami kebankrapan. Daripada... Klik di sini untuk terus membaca

BEBAN kewangan dan kerugian akibat rasuah, pecah amanah serta penyelewengan sangat tinggi. Banyak negara tidak dapat membangun kerananya, manakala sebahagian kecil bankrap terus.

Sri Lanka misalnya, sedang mengalami kebankrapan. Daripada 180 negara dan wilayah di dunia yang diselidik Transparency International, Sri Lanka menduduki tempat ke-102 dalam Indeks Persepsi Rasuah 2021. Malaysia di anak tangga ke-62.

Dalam sejarah Malaysia sejak merdeka hampir 65 tahun lalu, rasuah, pecah amanah dan penyalahgunaan kuasa tidak pernah jauh daripada kita. Sejak zaman Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj lagi, sudah muncul dakwaan rasuah ke atas pemimpin tertinggi kerajaan.

Contohnya, seorang menteri kabinet dari Pahang, Allahyarham Abdul Rahman Talib meletakkan jawatan setelah kalah saman malu terhadap tokoh pembangkang, D R Seenivasagam bersabit tuduhan rasuah. Seenivasagam, pemimpin Parti Progresif Penduduk (dahulu Parti Progresif Rakyat) atau PPP telah membuat kenyataan dalam Parlimen mendakwa Abdul Rahman, Ahli Parlimen Kuantan terlibat rasuah.

Abdul Rahman mencabar Seenivasagam, seorang peguam, mengulangi dakwaan itu di luar Parlimen. Seenivasagam mengulangi dakwaannya dalam satu perhimpunan di Dewan Perhimpunan Cina, Kuala Lumpur. Abdul Rahman kemukakan saman malu tetapi kalah. Maksudnya tuduhan Seenivasagam itu ada merit (asas).

Selepas itu berlaku banyak lagi kes rasuah dan jenayah lain melibatkan pemimpin tinggi politik. Rasuah dan jenayah peringkat tinggi mencapai kemuncak dengan pemenjaraan Datuk Seri Najib Tun Razak, Selasa lalu.

Ramai lagi pemimpin kanan politik daripada parti kerajaan dan pembangkang sedang dibicarakan. Tidak memeranjatkan jika ramai daripada mereka akan mengekori Najib ke penjara.

WANG RAKYAT

Inilah harga sangat tinggi yang kita sebagai rakyat Malaysia terpaksa bayar. Berpuluh bilion duit negara diseleweng, nama Malaysia dahulunya harum menjadi busuk dan pelabur hilang keyakinan.

Kerugian kepada rakyat dan pembayar cukai akibat rasuah sangat besar. Pada 2018, Timbalan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, Malaysia kerugian RM47 bilion nilai Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK/GDP) pada 2017 akibat rasuah.

Jumlah itu, katanya, adalah lebih besar daripada yang dibelanjakan kerajaan untuk pendidikan dan kesihatan bagi tahun tersebut. Laporan lain pula mengatakan Malaysia dijangka kerugian antara RM40 bilion dan RM60 bilion setiap tahun akibat rasuah.

Ketua pasukan antirasuah bukan kerajaan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub dilaporkan berkata, berpandukan Laporan Integriti Kewangan Global (Global Financial Integrity Report) 2017, Malaysia kerugian RM1.8 trilion antara 2005 dan 2014 akibat pengaliran wang haram yang berpunca sebahagiannya daripada kegiatan rasuah.

Ramai orang tidak sedar hakikat bahawa tidak seorang pun terkecuali daripada kesan rasuah. Penyokong Najib dan orang ramai mungkin dapat RM100 atau RM200 daripada beliau ketika pilihan raya tetapi setiap kali berbelanja, mereka menanggung beban rasuah yang beliau lakukan berkali ganda lebih besar daripada apa beliau berikan kepada mereka.

Ambil contoh kes rasuah SRC. Najib ambil RM42 juta duit SRC. Duit itu adalah daripada hutang RM4 bilion yang SRC ambil dalam tabung pencen kakitangan awam, Kumpulan Wang Persaraan (KWAP). Apabila hutang RM4 bilion habis dibayar balik, jumlahnya menjadi RM9.2 bilion. Siapa tanggung bebannya? Siapa lagi kalau bukan kita. Duit cukai dan segala bayaran yang kita buat kepada kerajaan itulah yang akan digunakan untuk bayar balik hutang tersebut.

Sudahlah harga barang kita beli lebih mahal kerana rasuah, duit cukai jualan yang kita bayar ke atas barang-barang itu pula terpaksa digunakan untuk bayar balik hutang negara yang dibuat oleh pemimpin korap.

Tetapi nampaknya semakin ramai rakyat mula sedar hal ini. Mereka sudah berani menolak pemimpin politik dan parti politik yang korup serta mengubah kerajaan seperti pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Kesimpulannya, kita wajib tolak pemimpin dan parti politik korup. Mereka tidak perlu korup untuk hidup senang dan menjalankan amanah dengan berkesan kerana mereka diberi upah lumayan serta kemudahan melimpah ruah. Jika mereka korup juga, mereka adalah orang jahat yang wajar dihukum dan disingkirkan. Wallahuaklam.

* Datuk A Kadir Jasin ialah Tokoh Wartawan Negara

Klik di sini untuk terus membaca