SHAH ALAM - Beberapa penganalisis politik mengakui keputusan kerajaan membentangkan usul Bajet 2023 sememangnya memberi petanda besar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dipercepatkan dengan jangkaan sekitar penghujung November tahun ini... Klik di sini untuk terus membaca

SHAH ALAM - Beberapa penganalisis politik mengakui keputusan kerajaan membentangkan usul Bajet 2023 sememangnya memberi petanda besar Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan dipercepatkan dengan jangkaan sekitar penghujung November tahun ini iaitu sebelum musim tengkujuh.

Bagaimanapun, Pensyarah Kanan Sains Politik UiTM, Mujibu Abd Muis berpandangan unsur kejutan besar juga boleh berlaku sekiranya semua pihak mengambil kira perspektif kuasa menentukan tarikh pembentangan bajet dan permohonan pembubaran Parlimen itu sendiri adalah hak prerogatif kerajaan.

MUJIBU


Jelas beliau, tidak dinafikan dari sudut keuntungan politik, apabila kerajaan terus memohon pembubaran Parlimen daripada Yang di-Pertuan Agong selepas usul Bajet 2023 dibentangkan, UMNO-BN pastinya akan mendepani PRU15 dengan langkah kanan.

"Ya, rakyat akan merasakan feel good factor daripada usul Bajet 2023 dibentangkan oleh Perdana Menteri daripada UMNO iaitu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

"Tetapi pada masa sama, kita harus mengambil kira perspektif kerajaan di mana kuasa membentangkan usul Bajet 2023 adalah hak prerogatif kerajaan. Kalau selepas belanjawan, terus diadakan PRU, dibimbangi usul belanjawan itu tidak dapat dibincangkan dengan lebih tuntas.

"Lebih membimbangkan, keputusan mengadakan PRU15 selepas pembentangan Bajet 2023 akan mencetuskan persepsi negatif rakyat bahawa Ismail Sabri terbukti telah tunduk kepada tekanan parti,” katanya kepada Sinar Premium.

Pada Jumaat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar mengesahkan usul Bajet 2023 dibentangkan di Dewan Rakyat pada 7 Oktober depan.

Menurutnya, Ismail Sabri menggunakan kuasa di bawah Peraturan Mesyuarat 11(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat dan Peraturan Mesyuarat 10(2) Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Negara, untuk meminda tarikh daripada 26 Oktober kepada 3 Oktober.

BILA-BILA MASA TIADA BEZA

Selain kuasa prerogatif kerajaan, faktor kedua Ismail Sabri boleh membuat kejutan dengan tidak mengadakan pilihan raya awal adalah sekiranya beliau mengambil kira pertimbangan untuk memanjangkan tempoh hayatnya selaku ketua kerajaan.

PERLU DISEGERAKAN

Namun, dengan desas-desus mengatakan, akar umbi UMNO menganggap hanya Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sahaja mampu menyelamatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak daripada terus meringkuk ke dalam penjara, Ismail Sabri pastinya menyedari peluang beliau untuk kekal sebagai Perdana Menteri mungkin semakin tipis.

"Namun dari sudut politik, terdapat kemungkinan berlaku kejutan lain susulan Perdana Menteri kini berdepan dilema sama ada mahu memanjangkan hayat politik beliau sebagai ketua kerajaan atau terpaksa tunduk dengan kehendak pemimpin utama parti berkenaan,” tegas Mujibu.

BUKAN KEJUTAN LAGI

Sementara itu, Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Dr Abdul Aziz Bari berpandangan isu penentuan tarikh PRU15 sebenarnya bukan lagi satu teka-teki besar yang perlu dibincangkan mana-mana parti politik.

ABDUL AZIZ


Hal ini kerana beliau menganggap sebarang pelaksanaan tarikh PRU15 bermula hari ini sehingga September tahun hadapan, adalah tidak mengejutkan dan tidak menjanjikan perbezaan implikasi yang ketara.

"Kalau Ismail Sabri kata hendak buat lebih awal atau sebelum September tahun depan pun, pada saya tempoh mengadakan PRU15 memang sudah tiba.

"Buat awal atau buat lewat, tiada banyak perbezaan pun. PH sudah bersedia sepenuhnya sejak dahulu lagi.

"Sekarang pun sudah akhir bulan Ogos, mereka tertekan hendak adakan PRU15 kerana mereka dalam dilema berdepan konflik pemenjaraan pemimpin utama dan skandal kapal tempur pesisir (LCS).

"Kalau sebelum timbul skandal LCS, PRU15 lebih awal mungkin memberi kelebihan kepada UMNO-BN. Namun, sekarang nasi sudah jadi bubur. Kita sudah kembali lawan di padang yang rata,” ujar beliau.

Klik di sini untuk terus membaca